Halaman

Isnin, Oktober 20, 2008

Nasihat kepada MCA : jalankan tugas, jangan sibuk hendakkan jawatan

Beberapa hari lepas, Ketua Pemuda MCA, Datuk Liow Tiong Lai mencadangkan jawatan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditambah daripada satu kepada dua dengan satu daripadanya diisi pemimpin MCA.

Persoalannya adakah ianya relevan?

Apakah sebenarnya yang lebih penting menjalankan kerja atau jawatan? Bagi pendapat saya permintaan orang kuat MCA ini banyak yang perlu difikirkan dan diambil pertimbangan.

Pertama - Hakikatnya MCA kini masih dilihat lemah dan tidak mendapat sokongan majoriti masyarakat Cina sebagaimana Pilihanraya Umum yang lalu.

Kedua - MCA juga perlu mempunyai ahli yang ramai dan aktif yang bergerak dalam MCA. Trend masyarakat Cina, mereka tidak aktif di dalam parti politik tetapi lebih aktif dalam NGO's. Dengan kata lain, MCA gagal memberikan perspektif politik negara kepada kaum Cina dan seterusnya gagal memahami politik Malaysia.

Ketiga - Jika dilihat dari gerak kerja dan jentera pilihanraya yang aktif dan bekerja keras pada setiap Pilihanraya kecil mahupun Pilihanraya Umum hanyalah jentera UMNO sahaja. Berbanding dengan jentera komponen yang dianggap tidak aktif dan tidak bermaya termasuklah dalam melaksanakan aktiviti, menyelaras bilik gerakan dan berkempen.

Keempat - kegagalan memberi penerangan isu-isu semasa kepada masyarakat cina sehingga isu Ketuanan Melayu dan Kontrak Sosial menjadi polemik di kalangan masyarakat Cina dan seterusnya menyaksikan negeri yang majoriti Cina jatuh ke tangan pembangkang. MCA sepatutnya memberi sokongan yang jitu kepada UMNO.

Kelima - Wujudnya pelbagai parti yang mewakili kaum Cina seperti Gerakan menyebabkan sokongan kaum Cina terhadap MCA terpecah dua dan seterusnya tidak menunjukkan sokongan sepenuhnya kaum Cina terhadap parti MCA. Kaum Cina perlu pilih satu parti politik sahaja mewakili mereka jika tidak mahu dilihat sebagai tamakkan kuasa.

Jadi jika ini menjadi ukuran pastinya cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) ditambah daripada satu kepada dua adalah tidak relevan. Hakikatnya MCA masih perlu bekerja keras jika mahukan kerusi timbalan presiden BN ini. Sokongan kaum Cina perlu diterima secara berterusan dari satu Pilihanraya Umum kepada Pilihanraya umum yang berikutnya iaitu sokongan secara konsisten bukan sebaliknya. Sikap sambil lewa dan malas berkempen semasa pilihanraya juga hendaklah dibuang. Jika tidak MCA masih tidak layak untuk jawatan presiden.

Nasihat kepada MCA, jalankan tugas dahulu jangan sibuk hendakkan jawatan!