Halaman

Rabu, Oktober 14, 2009

Fokus Najib - Penuhi kepuasan rakyat keutamaan saya

Hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan usaha memenuhi kepuasan rakyat menjadi keutamaan buat beliau dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Perdana Menteri.

"Setiap pemimpin ada stail masing-masing. Saya tidak tahulah apa stail yang orang lihat yang ada pada saya tetapi saya sudah gariskan bahawa apa yang saya buat adalah untuk memenuhi kepuasan rakyat.

"Ini yang saya utamakan dalam gerak kerja yang saya akan lakukan,” kata Najib yang juga Presiden Umno semasa wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabatnya sempena perhimpunan agung UMNO.

Najib yang bergiat aktif dalam politik selepas kematian bapanya Tun Razak Hussein Perdana Menteri Kedua, turut ditanya sekiranya beliau melihat ada persamaam antara cabaran politik semasa dengan apa yang dihadapi arwah bapanya yang mengharungi cabaran membangunkan negara selepas pilihan raya 1969 yang dicemari dengan rusuhan kaum pada 13 Mei.

"Ia memang satu krisis, malah hanya ada dua krisis utama dalam sejarah negara, iaitu pada tahun 1969 dan 2008,” kata beliau yang merujuk kepada kemerosotan sokongan ketara yang dialami oleh Barisan Nasional pada pilihan raya umum tahun lepas.

Ulasan AB

DS Najib berulang kali menyatakan bahawa rakyat adalah keutamaan beliau. Mungkin ini adalah cara tersendiri berliau dalam memimpin negara sebagaimana yang diwarisi oleh bapa beliau Tun Abd Razak. Kini rakyat mula merasai sentuhan TS Najib dan kesungguhan untuk memenuhi kehendak rakyat.

Kita nampak bahawa BN sentiasa bersungguh-sungguh untuk membantu rakyat.. tidak sebagaimana Pakatan Rakyat... nama sahaja pakatan RAKYAT, tetapi apa sebenarnya program mereka untuk membangun dan mebantu rakyat. Cakap berdegar-degar tetapi macam tin kosong.. semua janji palsu sahaja.... apakah yang rakyat telah menikmati hasil dasar Pakatan Rakyat... tiada?..

Apa yang dilihat sekarang pemimpin Pakatan Rakyat lebih sibuk menyalahkan orang lain dari membantu rakyat. Isu dalaman sesama mereka pun masih tidak dapat di selesaikan.

- BERNAMA

7 Cadangan Pindaan Perlembagaan UMNO

Berikut adalah tujuh cadangan yang ditekankan sebagai elemen penting dalam pindaan tersebut;

1. Jumlah perwakilan yang terlibat dalam proses pemilihan Ahli Majlis Tertinggi diluaskan dari 2010 orang pewakilan bahagian kepada 146,000 orang.

2. Penghapusan sistem kuota dan digantikan dengan sistem pendaftaran yang mempunyai kelayakan minimum untuk bertanding.

3. Sebagai mengiktiraf sumbangan Wanita, jumlah perwakilan mereka akan ditambah dalam pemilihan Jawatankuasa Pusat dari 12 orang menjadi 13 orang, Jawatankuasa Bahagian dari 7 menjadi 8 orang dan Jawatankuasa Cawangan dari 5 menjadi 6 orang.

4. Proses pemilihan serentak untuk Majlis Tertinggi, Bahagian dan Cawangan. Oleh itu satu Jawatankuasa pemilihan akan ditubuhkan untuk menyelaras isu-isu kos, logistik dan pentadbiran yang berkaitan.

5. Yuran tahunan akan dihapuskan dan digantikan dengan yuran seumur hidup.

6. Dalam proses memudahkan seseorang individu menjadi ahli UMNO, Ketua Wanita, Ketua Pemuda dan Ketua Puteri Cawangan akan diberikan mandat untuk mengesahkan sesuatu permohonan keahlian.

7. Perlantikan Setiausaha Bahagian sebagai perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO secara automatik.


Sumber : UMNO ONLINE

Ikrar Pemuda - sekat Anwar jadi PM


Pemuda Umno hari ini berikrar akan sedaya-upaya menghalang kemaraan Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang disifatkan sebagai "sesumpah lidah bercabang", menjejakkan kakinya di pejabat perdana menteri di Putrajaya.

"Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar – seorang chameleon politik, sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam.

"Tetapi Umno dan Pemuda Umno ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya," kata ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin di persidangan agung Pemuda Umno 2009 hari ini.

Dalam ucapan sulungnya mengepalai pergerakan itu, beliau juga menuduh Pakatan Rakyat sebuah gabungan yang tidak berpegang pada prinsip apabila tidak tegas mempertahankan peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Pakatan pembangkang tidak berprinsip seperti mana BN, kerana mereka tidak pun berpegang kepada perlembagaan.

"Jika tidak, mengapa DAP, misalnya, tidak habis-habis menyerang kedudukan Raja-raja Melayu, bahasa Melayu dan agama Islam dengan dibantu oleh PAS dan PKR yang langsung menolak ke tepi prinsip asas negara?" katanya di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Ucapan yang bertemakan 'Di Persimpangan Jalan Perjuangan', Pemuda Umno diseru agar tidak terperangkap dengan isu Melayu gaya lama yang mudah berang dengan desakan kumpulan lain sewaktu perdana menteri, juga presiden Umno, memperkenalkan slogan 1Malaysia.

"Kita boleh bertempik suara melaungkan semangat Melayu dan memberi amaran kepada kaum-kaum lain supaya jangan mencabar ini dan itu," kata Khairy.

"Pilihan ini mudah dan menjanjikan populariti di dalam parti. Tetapi adakah ini sebenarnya mesej yang dihasratkan oleh rakyat Malaysia, malah orang Melayu sendiri - apatah lagi pada waktu presiden parti sedang membawa mesej perpaduan dengan gagasan 1Malaysia?

"Bagi Pemuda Umno alaf baru, inilah keberanian sebenar – bagi memilih jalan untuk Pemuda menjadi perintis ke arah perpaduan negara melalui semangat 1Malaysia."

Berikut petikan 'Di Persimpangan Jalan Perjuangan'

Rakyat kini dihidangkan dengan pilihan antara gagasan yang membangunkan negara sejak sekian lama, yakni Barisan Nasional, atau pakatan pembangkang yang terus menerus memecahbelahkan rakyat.

Adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendedahkan siapa sebenarnya pakatan pembangkang ini. Bahawa mereka bukannya sebuah parti politik yang tulen – bahawa perhubungan mereka bukannya berteraskan ikatan yang sah atas prinsip yang sama.

Apa yang sebenarnya wujud hanyalah satu perhubungan rambang dan kasual, tanpa prinsip moral, tanpa cinta sejati, tanpa hormat-menghormati.

Satu pakatan yang sanggup tidur sekatil demi mimpi untuk ke Putrajaya, satu pakatan yang bernafas atas nafsu untuk menjatuhkan Kerajaan Barisan Nasional.

Anak Batak mudik bergalah
Digigit nyamuk habis lebam
Pakatan retak menanti belah
Remuk di dalam dipendam-pendam

Batang cempedak pohon pedada
Buah peria di dalam dulang
Pakatan pembangkang temberang belaka
Janji bak lidah tidak bertulang

Riuh-rendah di pintu muara
Lebai Kassim membuka silat
Pembangkang gian tamakkan kuasa
Batu api perpecahan rakyat


Insiden-insiden yang kita lihat semenjak pilihan raya umum ke-12 telah membangkitkan sangkaan bahawa tiada setiakawan dan tiada keikhlasan dalam perjuangan pembangkang.

Tidak keterlaluan, jika saya nyatakan bahawa di antara mereka, DAP yang paling berkuasa. PAS sudah lari dari asas perjuangan dan menggadaikan prinsip tulen parti tersebut apabila Negara Islam bukan lagi menjadi wawasan utama mereka.

PAS tidak lagi garang bersuara, berani mengajar, jauh sekali berani menegur PKR dan DAP tentang pelbagai perkara. PAS tidak lagi sensitif kepada perkara-perkara pokok seperti cadangan menggunakan dana zakat bagi pentadbiran negeri di Selangor.

Ini menzahirkan bahawa PAS sanggup tawar menawar dengan DAP hatta menggadai jatidiri dan perjuangan asas mereka demi politik. Kalau begitulah keadaannya, tiada jaminan mereka tidak akan mempertaruh atau menjual negara, sekiranya berkuasa.

Kalau DAP yang paling berkuasa, maka kita berhak untuk bertanya: siapa sebenarnya DAP ini? Bertopengkan platform parti berbilang bangsa, tetapi hakikatnya mereka didominasi oleh satu kaum sahaja.

Selepas 40 tahun Lim Kit Siang menjadi ahli Parlimen, pembukaan satu cawangan Melayu DAP bulan lepas digembar-gemburkan seolah-olah satu pencapaian yang cukup hebat.

DAP hanya parti berbilang kaum pada namanya sahaja, sedangkan perjuangan sebenar mereka berunsur perkauman yang menyala membara seperti api dalam sekam.

PKR pula parti yang tandus ideologi, sekadar berkisar pengagungan seorang individu bernama Anwar Ibrahim.

Apa sebenarnya prinsip perjuangan PKR, atau adakah mereka sama seperti DAP yang dahagakan kuasa? Kalau kononnya berjuang atas tiket keadilan dan anti rasuah, lihat sendiri pemimpin kamu itu wahai PKR.

Anwar Ibrahim melalaikan masyarakat Malaysia, memanipulasi dan mengulit jiwa mereka dengan kata-kata indah seakan-akan dialah pemimpin yang bersih, tulen, berintegriti, dan acap kali menuduh pemimpin UMNO sebagai rasuah, rakus dan rasis.

Tetapi Anwar Ibrahim jangan kamu lupa sejarah kamu, kerana kami tidak lupa perbuatan lampau kamu. Apakah semata-mata Anwar Ibrahim beralih menjadi pembangkang, sejarah silamnya, segala dosa lamanya akan lesap begitu saja?

Sejarah akan sentiasa membayangi Anwar ke mana sahaja dia pergi dalam arena politik. Mengata dulang paku serpih, mengata orang dia yang lebih.

Siapa sebenarnya Anwar Ibrahim? Pejuang rakyat marhaen? Pejuang agama Islam? Pejuang bangsa Melayu? Pejuang hak asasi manusia? Atau apakah Anwar Ibrahim berjuang semata-mata untuk kepentingan peribadi Anwar Ibrahim?

Mungkin Anwar telah berjaya dengan helahnya terhadap sebahagian generasi muda yang tidak pernah kenal siapa Anwar yang sebenar – seorang chameleon politik sesumpah yang berubah warna mengikut musim dan ketika melompat dari pohon ke pohon; makhluk pelbagai alam.

Tetapi UMNO dan Pemuda UMNO ingat sejarah sebenar Anwar, dan kami akan memastikan Penglipurlara Lidah Bercabang Dua ini tidak akan sekali-kali sampai ke Putrajaya.

BN ditubuhkan atas dasar persaudaraan dan persefahaman untuk menegakkan Perlembagaan dan asas kewujudan negara. Inilah perkongsian platform yang wujud dalam BN.

Tetapi pakatan pembangkang tidak mempunyai sebarang persefahaman bersama melainkan nafsu untuk merampas Kerajaan – itupun kita tidak tahu siapa akan menjadi perdana menteri kalau pakatan ini mengambil alih.

Malah dalam memilih Kabinet Bayangan, mereka memilih jalan selamat untuk menamakan tiga ahli bagi setiap portfolio kabinet, kerana mereka sebenarnya langsung tidak ada persefahaman dalam perkongsian kuasa, tidak seperti BN yang telah teruji dan terbukti.

Pakatan pembangkang tidak berprinsip sepertimana BN, kerana mereka tidak pun berpegang kepada Perlembagaan.

Jika tidak, mengapa DAP, misalnya, tidak habis-habis menyerang kedudukan Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu dan Agama Islam dengan dibantu oleh PAS dan PKR yang langsung menolak ke tepi prinsip asas negara?

Kita perlu terus mendedahkan taktik kotor pembangkang ini. Kita tidak pernah barang sedetik gentar dengan mereka kerana mereka yang sebenarnya takut dengan kita. Mereka yang yang takut dengan kepimpinan YAB Datuk Seri Najib. Mereka tiada idea baru.

Dalam ketandusan tersebut mereka amat licik mencucuk rakyat, menyebar fitnah, menimbulkan huru hara, membuat rakyat akhirnya merana. Bak kata pepatah, kita membawa jarum, dia menyambut dengan gunting.

Pakatan pembangkang takut tindakan kejam mereka terhadap penduduk Kampung Buah Pala akan diingati rakyat. Mereka takut rakyat menuntut janji RM1,000 kepada setiap anak Selangor yang ditawarkan masuk ke universiti, yang masih tak tertunai.

Apatah lagi janji menurunkan 20 peratus cukai pintu yang sampai hari ini belum dilaksanakan walaupun sudah hampir 20 bulan berkuasa.

Pokoknya, mereka takut akan kesedaran rakyat yang telah terpedaya dengan segala janji manis, tipu muslihat dan dakyah mereka terburai begitu sahaja.

Oleh itu, saudara sekalian, marilah kita bersama-sama bersatu mendedahkan helah dan dakyah pembangkang ini. Mari kita tewaskan mereka dalam permainan politik berbahaya mereka ini, yang sanggup menggadaikan segalanya hanya untuk berkuasa.

Jangan kita biarkan kerajaan Barisan Nasional ditumbangkan oleh satu kumpulan yang sebenarnya saling tindas-menindas, yang sebenarnya tidak ikhlas dalam perjuangan mereka sehingga tidak teragak-agak untuk menghalalkan yang haram, mengiyakan yang palsu, melupakan yang jitu demi mengejar mimpi mereka yang tamakkan kuasa.

Daun mengkudu di atas dulang
Anak udang mati dituba
Negara berpecah pembangkang girang
Demi kuasa dan tamak haloba

Pergi berburu nun ke sempadan
Dapat kancil kongsi bersama
Selagi hayat dikandung badan
Pemuda kekal pertahankan negara

Sumber : Malaysiakini

PAS terus menghina pengundi Pos.

Akibat tidak puas hati kerana kekalahan teruk di Bagan Pinang, PAS terus menyerang dan menghina pengundi Tentera iaitu pengundi POS.

Terkini menurut laporan harakahdaily:

Pengerusi Jawatankuasa Khas berkaitan Undi Pos DPP, Suhaizan Kayat membuat cabaran debat tersebut melalui blognya http://kentong-suhaizan.blogspot.com menamakan dirinya sebagai wakil PAS dan mencabar Mohamad Hassan atau Pemuda Umno mewakili parti pemerintah itu.

Manakala tajuk yang dicadangkannya adalah "Ruang Manipulasi Dalam Pengurusan Undi Pos Di Malaysia".

Image "Atas nama Pemuda PAS Pusat saya mencabar Pengerusi Badan Perhubunan Umno Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan atau mana-mana pihak dalam Umno terutamanya Pemuda Umno untuk berdebat dengan saya di bawah tajuk, "Ruang Manipulasi Dalam Pengurusan Undi Pos Di Malaysia,"tulisan di laman blognya dipetik.

Mohammad Hassan dalam kenyataannya sebelum ini memadankan pribahasa berbunyi 'tak tahu menari, dikatakan lantai jongkang-jongket' kepada pemimpin PAS kerana didakwa menyalahkan undi Pos sebagai faktor kekalahan pada PRK Bagan Pinang.
Laporan yang berasingan pula dari Harakah daily:

Selain itu juga, PAS mengulangi saranan supaya pengundi pos di kalangan tentera mendaftar sebagai pengundi biasa di mana-mana kawasan yang mereka mahu. Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Harun Taib berkata, dengan cara itu menjadikan proses pengundian di kalangan anggota tentera menjadi lebih telus.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS negeri menyatakan demikian pada sidang media sempena Majlis Sambutan Hari Raya PAS Terengganu yang diadakan di pekarangan pejabat PAS negeri, Jalan Sultan Omar di sini, hari ini.

"Kita harap pengundi pos (tentera) kembali tempat masing-masing, jadi pengundi biasa, biar dia daftar di mana-mana kawasan yang dia mahu," ujarnya.


Cara PAS reaksi boleh dilihat sebagai parti yang sangat terdesak dan tidak mendapat terima kenyataan serta takdir Allah SWT.

Alasan manipulasi undi POS ialah satu pembohongan besar dari PAS dan sekutunya kerana menyaksikan proses pengundian dan pengiraan dilakukan di depan mata mereka.

Tindakan mereka boleh dikatakan sebagai tidak menghormati demokrasi dan hak perlembagaan yang membolehkan tentera membunag undi sebagai rakyat Malaysia yang sah. Ini merupakan penghinaan yang nyata dari PAS terhadap golongan tentera ini.

Sebagaimana diketahui memang terdapat juga pengundi pos yang mengundi pembangkang dalam mana-mana pilihanraya kecil. Dan setakat ini tidak pernah mereka ini dibuang kerja kerana itu.

Hakikatnya inilah kedangkalan pemikiran PAS yang dapat dilihat rakyat bertindak hanya untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan keselamatan negara. Idea supaya tentera pengundi pos di kalangan tentera mendaftar sebagai pengundi biasa di mana-mana kawasan yang mereka mahu. Kerana tentera perlu menjaga post keselamatan mereka yang telas ditugaskan. Bukan boleh dibuat sesuka hati kerana ini berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara.

Alangkah sempitnya pemikiran politik PAS... jangan salahkan lantai jika tidak pandai menari... PAS patut cermin diri mereka... sebelum menyalahkan orang lain...

Dan jangan lagi menghina pengundi POS!

Wahdatul Fikr, Qalb, Amal dan Hadaf - 4 rukun pembaharuan UMNO


MUHYIDDIN Yassin bersama Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ketua Puteri, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin serta barisan Exco ketiga-tiga sayap parti melaungkan slogan Hidup UMNO! pada majlis perasmian serentak Perhimpunan Agung Tahunan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di PWTC, Kuala Lumpur, malam tadi.


KUALA LUMPUR 13 Okt. – Tan Sri Muhyiddin Yassin menggariskan empat rukun yang perlu digerakkan oleh seluruh warga UMNO bagi menjayakan perubahan dan pembaharuan demi kelangsungan perjuangan parti terus relevan serta mendapat kepercayaan rakyat.

Dalam ucapan bertajuk Menggalas Tuntutan Perubahan ketika merasmikan serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri di sini malam ini, Timbalan Presiden parti mengingatkan tanpa kesediaan untuk berubah, UMNO akan diubah.

Muhyiddin menekankan betapa perlunya menerima hakikat bahawa landskap politik negara sudah berubah, nilai dan budaya politik masyarakat Melayu sendiri juga telah berubah.

“Tidak ada ertinya sekiranya kita hanya mampu berubah tetapi tidak menjadikan UMNO relevan dengan putaran masa. UMNO perlu relevan memahami suara, bahasa, gaya dan nuansa politik baru,” kata beliau dalam ucapan perasmian sulungnya itu yang dihadiri oleh 2,379 perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri.

Empat rukun bagi melakukan perubahan dan pembaharuan parti itu perlu bermula dengan kesatuan minda (wahdatul fikr); dihayati dengan kesatuan hati (wahdatul qalb); bergerak dengan kesatuan amal (wahdatul amal); dan menuju kesatuan matlamat (wahdatul hadaf).

“ Dengan terbinanya kesatuan minda, UMNO akan mempunyai visi perjuangan yang jelas. Terjalinnya kesatuan hati, setiap daripada kita akan menjiwai erti perjuangan UMNO. Dengan terbentuknya kesatuan amal, kita bergerak dan bertindak di atas satu landasan dan satu pasukan. Dengan terpaterinya kesatuan matlamat, kita akan dapat mencapai tujuan perjuangan kita demi agama, bangsa dan tanah air.

“ Sekiranya kita dapat menghayati dan melaksanakan keempat-empat rukun ini, kita pasti akan melahirkan generasi pemimpin Ulul Albab yang teguh imannya, tajam ilmunya dan berkat perjuangannya.”

Sambil merujuk peringatan Allah dalam ayat al-Quran surah al-Shof, ayat 4, Muhyiddin berkata, parti perlu sentiasa diperkukuh dan dimantapkan, perlu bergerak sederap dan senafas, setia memikul amanah, menurut perintah dan meletakkan matlamat perjuangan parti mengatasi kepentingan amarah diri.

“Marilah kita menterjemahkan amanat Presiden agar tidak ada lagi di antara kita yang menjadi batu api, batu ronson, kaki cucuk, talam dua muka, pepat di luar rencong di dalam dan si Kitol yang lidah bercabang, langkah menyilang.

“Tidak ada lagi perpecahan dalaman, tidak ada lagi Team A, Team B seperti dulu, tidak ada lagi gerakan jatuh menjatuhkan pemimpin dan tidak ada lagi perebutan kuasa sehingga parti menjadi mangsa. Yang ada hanya satu wadah, satu pasukan, satu UMNO,” kata beliau.

Timbalan Presiden menegaskan, UMNO tidak tertegak sebagai parti yang statik, jumud dan beku ketika zaman sedang berubah dengan pantas.

“ Saya yakin UMNO mahu berubah. UMNO telah mula berubah. Dan UMNO akan terus membuat perubahan untuk kebaikan. Sebagai sebuah parti yang lahir dari suara Melayu dan yang mendapat dokongan rakyat, UMNO pasti akan melakukan perubahan untuk mencapai kebaikan.

“UMNO mengambil serius tuntutan ke arah perubahan ini kerana proses pembugaran semula adalah kunci kekuatan UMNO masa kini bagi menghadapi cabaran semasa dan akan datang,’’ katanya.

Tradisi perjuangan UMNO membela bangsa, kata Muhyiddin, tidak pernah padam meskipun terpaksa berhempas pulas dalam gelombang sistem politik demokrasi.

“Kita sedar demokrasi tidak mengenal rekod pencapaian dan sejarah perjuangan silam. Sebuah parti yang banyak berjasa dan gah berkuasa sekalipun boleh rebah sekiranya tidak lagi diterima rakyat,” jelasnya.

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan: “UMNO mampu menempuh cabaran ini dan memenuhi harapan baru. Ini kerana UMNO adalah parti yang pragmatik dan pantas membaca keadaan serta berani membuat perubahan.”

Beliau bagaimanapun menarik perhatian bahawa bukan UMNO sahaja perlu berubah tetapi parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) yang lain juga perlu berubah.

“Kita perlu bersedia untuk melakukan transformasi yang lebih mendalam termasuk mencapai muafakat baru dalam hubungan antara parti-parti dalam BN. Muafakat baru ini mestilah berlandaskan semangat penerimaan antara kaum dan penyanjungan terhadap kepelbagaian sebagai sumber kekuatan kita sebagaimana digariskan oleh Presiden dalam gagasan 1Malaysia.”

Dalam mendepani cabaran semasa, Muhyiddin menyatakan keadaan zaman gila (jaman edan) seperti digambarkan oleh pujangga Ronggowarsito dapat dirasakan apabila rakyat dihidangkan dengan fitnah dan pembohongan sehingga kekeliruan dan kepalsuan menjadi kebiasaan.

“Khabar angin, provokasi, cerita palsu, berita sensasi sengaja direka untuk membangkitkan rasa benci terhadap musuh. Masyarakat sukar untuk membezakan antara kebenaran dan kepalsuan, antara kebaikan dan kemungkaran. Akhirnya, yang benar menjadi palsu, yang palsu menjadi benar. Yang maaruf menjadi mungkar, yang mungkar menjadi maaruf. Yang adil menjadi zalim, yang zalim menjadi adil. Yang hak menjadi batil, yang batil menjadi hak.

“ Ini adalah hasil tangan-tangan mereka yang melakukan kerosakan atas nama kebebasan, kesaksamaan, keadilan dan juga atas nama agama. Matlamat menghalalkan cara, walaupun taruhannya sebuah bangsa dan negara.”

Dalam menangani situasi tersebut, Muhyiddin mengajak warga UMNO terus berjuang dengan berbekalkan semangat dan iltizam membela agama, bangsa dan negara


Sumber: Utusan Malaysia