Halaman

Ahad, Mei 31, 2015

Mat Sabu Sindir Hj Hadi



TUMPAT 30 Mei - Krisis politik melibatkan dua pemimpin utama Pas sema­kin meruncing, apabila Timbalan Presiden parti itu, Mohamad Sabu secara terbuka mengkritik dan menyindir Datuk Seri Abdul Hadi Awang, ketika menyampaikan ceramah Kukuhkan Pakatan Pembangkang, Tumbangkan BN, di sini.

Beliau mengkritik kegagalan Presiden Pas itu menawan Terengganu dan menyindir Ahli Parlimen Marang itu yang mahu keluar daripada pakatan pembangkang.

Tegasnya, Pas tidak mampu mencapai kemenangan dalam pilihan raya sekiranya tidak mendapat bantuan parti lain dalam pakatan pembangkang.

Pada masa sama beliau turut dilihat menyindir Abdul Hadi yang diakui seorang tokoh politik dan agama yang cukup hebat di Terengganu, namun kekuatan serta kelebihan tersebut masih belum cukup membantu Pas merampas negeri itu daripada Barisan Nasional (BN).

“Pidatonya (Abdul Hadi) begitu hebat, ceramah, kuliahnya di Rusila kereta ‘parking’ berbatu... jadi macam pekan hari, tapi bila pilihan raya tetap tidak boleh ambil Terengganu daripada BN.

“Sehinggalah pada tahun 1999 kita berpakat dengan PKR, dapatlah kita memerintah Terengganu. Ertinya kita ambil Terengganu pun melalui pakatan. Bagaimana nak kuasa? Kita kena berpakat,” katanya ketika menyampaikan ceramah Kukuhkan Pakatan Pembangkang, Tumbangkan BN di sini malam tadi.
Yang turut sama calon Presi­den Pas, Ahmad Awang dan Naib Pengerusi DAP Pulau Pinang, Zairil Khir Johari.

Abdul Hadi sebelum ini membayangkan persoalan sama ada Pas akan terus bersama pakatan pembangkang atau sebaliknya ba­kal terjawab selepas Muktamar Tahunan parti itu yang bakal berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini.

Krisis antara Pas de­ngan DAP timbul apabila wujud pertikai­an membabitkan keputusan Abdul Hadi untuk membawa Rang Undang-Undang Persendirian bagi membolehkan pelaksanaan hukum hudud di Kelantan.

Malah pemimpin-pemimpin DAP terutama Setiausaha Agungnya yang belum disahkan, Lim Guan Eng secara berterusan mengkritik Presiden Pas itu termasuk mendakwa hanya jasad Abdul Hadi bersama pakatan, sebaliknya hati bersama UMNO.

Sementara itu, Mohamad turut memberi contoh senario di Kelantan ketika Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat memimpin Pas Kelantan, namun masih gagal memerintah negeri itu kerana tidak bekerjasama dengan parti pembangkang lain.

“Bila UMNO berpecah pada tahun 1990, lahir parti Semangat 46, Pas pakat dengan Semangat 46 untuk lawan UMNO dan kita menang semua kerusi Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kelantan,” katanya.

"Ertinya sehebat-hebat Allahyarham Nik Abdul Aziz, dalam hal pilihan raya tetap tidak boleh ambil Kelantan daripada BN melainkan bila tahaluf (bekerjasama) dengan Semangat 46. Dalam politik ini, kita pakat, undi banyak, kita berpecah, undi kurang," katanya.

Sementara itu Mohamad juga turut menyanggah sesetengah pemimpin Pas yang tidak mementingkan kemenangan pada pilihan raya.

"Sekarang ini ada istilah baharu (dalam kalangan pemimpin Pas) masuk pilihan raya tidak menang tidak apa, asal dapat reda Allah. Ini ilmu politik dari mana? Ini pelik, kita masuk pilihan raya hendak menang, kalau keputusan sebaliknya itu soal lain. Kita kena cari jalan capai kemenangan, bila dapat keputusan, baharu terima ketentuan Allah, jangan sebelum bertanding mengaku kalah," katanya.