Halaman

Rabu, Ogos 02, 2017

DAP berbohong isu Air di Pulau Pinang?


KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) — Berikut kenyataan penuh Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berhubung kerajaan DAP Pulau Pinang.

Parti DAP perlu jujur kepada diri mereka dan dicabar untuk meminta pembatalan perjanjian penstruktruran air dengan Kerajaan Persekutuan jika mahu berterusan mendakwa berjaya mengurangkan hutang negeri.

1 Ogos 2017

1. Saya menyokong tindakan Gerakan yang mengambil inisiatif memfailkan saman fitnah terhadap Lim Guan Eng atas dakwaan berulang kali DAP kononnya kerajaan Barisan Nasional Pulau Pinang lalu telah menjual tanah pada harga RM1 untuk sekaki persegi.

2. DAP adalah pakar putar belit dan propaganda. Mereka tidak akan teragak-agak untuk mengulangi sesuatu tidak benar untuk mengelirukan pengundi.

3. Satu lagi putar belit yang tetap diulangi adalah kononnya kerajaan DAP Pulau Pinang berjaya mengurangkan hutang negeri sehingga 95 peratus ekoran usaha CAT mereka.

4. DAP juga berterusan mendakwa Kerajaan Persekutuan tidak membantu secara kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

5. Kedua-duanya adalah pembohongan dan perlu diperbetulkan.

6. Hakikat sebenar adalah 95 peratus pengurangan hutang Kerajaan Negeri Pulau Pinang direalisasikan Kerajaan Persekutuan melalui penstrukturan perjanjian air pada 2011 di mana Kerajaan Persekutuan bersetuju untuk mengubah hutang sedia ada Kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM655.24 juta kepada bayaran ansuran RM14.56 juta setahun selama 45 tahun.

7. Melalui perjanjian yang sama, Kerajaan Persekutuan turut bersetuju untuk memberikan geran berjumlah RM1.2 bilion kepada Kerajaan Pulau Pinang untuk memperbesarkan empangan Mengkuang, di sebalik fitnah DAP kononnya Kerajaan Persekutuan tidak membantu Pulau Pinang.

Sebahagian besar dari jumlah dana itu sudahpun disalurkan.

8. Kerajaan Persekutuan tidak mengamalkan diskriminasi terhadap negeri ditadbir pembangkang dan sudah menandatangani perjanjian penstrukturan air yang sama.

9. Selangor turut mendapat manfaat RM9.7 bilion dari pakej bantuan kewangan Kerajaan Persekutuan yang ditandatangani pada 2015 manakala Kelantan menerima bantuan kewangan yang serupa pada 2016.

Bagaimanapun, hanya Kerajaan Pulau Pinang sahaja yang menggunakan bantuan dari Kerajaan Persekutuan untuk berbohong kepada rakyat.

10. Pada ketika negeri lain tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau memperdaya rakyat, hanya Kerajaan Pulau Pinang menyalahgunakan niat baik dan bantuan Kerajaan Persekutuan untuk meraih nama dan memperdaya rakyat.

11. Kerajaan Persekutuan akan terus mengotakan janji untuk membantu semua negeri dan tidak akan berganjak sehingga menggugat penstrukturan air di negeri-negeri.

12. Bagaimanapun, jika Kerajaan DAP Pulau Pinang masih lagi mahu mendakwa ia adalah usaha mereka dalam pengurangan hutang negeri dan menuduh Kerajaan Persekutuan tidak membantu Pulau Pinang, mereka seharusnya meminta Kerajaan Persekutuan untuk membatalkan perjanjian penstrukturan air 2011 agar dapat berlaku jujur kepada diri mereka sendiri dan rakyat.

13. Kerajaan Pulau Pinang kemudian boleh perolehi semula hutang RM655 juta untuk ditanggung kerajaan negeri dan membayar semula geran RM1.2 bilion kepada Kerajaan Persekutuan.

14. Biarpun dengan berbuat demikian, hutang kerajaan Pulau Pinang tidak lagi sebagaimana didakwa turun 95 peratus dan terendah di Malaysia malah meningkat tiga kali ganda, sekurang-kurangnya Kerajaan Pulau Pinang berpeluang untuk berlaku jujur kepada diri mereka sendiri.

15. Atau, DAP perlu berhenti membuat dakwaan terhadap pengurangan hutang negeri dan memohon maaf kepada rakyat kerana selama enam tahun mengulangi pembohongan ini.

Abdul Rahman Dahlan Pengarah, Komunikasi Strategik Barisan Nasional

— BERNAMA