Oleh Anwar Hussin, Zainab Mohd Yatim dan Faiza Zainuddin
Pembangkang turut pilih Wan Junaidi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat
KUALA LUMPUR: Pembangkang menerima kejutan awal pada sidang Dewan Rakyat yang bermula semalam apabila Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Dr Tan Seng Giaw, yang dicalonkan sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, tidak mendapat sokongan penuh Pakatan Rakyat.
Sebaliknya, Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Wan Junaidi Tunku Jaafar (Santubong) bukan saja mendapat sokongan 100 peratus penyokong BN, malah turut disokong 17 wakil rakyat pembangkang yang membolehkannya meraih undian tertinggi dalam pemilihan jawatan berkenaan.
Dr Wan Junaidi memperoleh 157 undi dan seorang lagi wakil BN, Datuk Ronald Kiandee (Beluran) mendapat 140 undi, manakala Dr Tan hanya menerima 81 undi. Ini bermakna, Dr Wan Junaidi dan Ronald dipilih sebagai dua Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.
Pada pilihan raya umum lalu, BN menang 140 kerusi Parlimen manakala pembangkang 82 kerusi iaitu 31 daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), 28 DAP dan 23 Pas termasuk yang dimenangi oleh Ahli Parlimen Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali.
Dengan keputusan pemilihan jawatan Timbalan Yang Dipertua itu, timbul teka-teki siapakah di kalangan pembangkang yang tidak mengundi Dr Tan.
Naib Presiden PKR, Azmin Ali, ketika ditanya pemberita mengenai perkara itu, berkata pembangkang mempunyai satu wakil Bebas (Ibrahim).
Ibrahim bagaimanapun berkata, undinya rahsia dan terpulang kepada sesiapapun untuk bercakap apa yang mereka mahu.
"Saya adalah lelaki yang mempunyai integriti," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.
Pemilihan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu dibuat melalui undi sulit selepas tiga nama dicalonkan. Setiap ahli Dewan dibenarkan mengundi dua nama.
Datuk Ronald Kiandee
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, mencalonkan Wan Junaidi dan Ronald, manakala Penasihat DAP, Lim Kit Siang (Ipoh Timur) mencalonkan Dr Tan yang juga Ahli Parlimen Kepong.
Sebelum itu, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, 53, mengangkat sumpah dan dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat kelapan.
Pelantikan Pandikar Amin dicadangkan oleh Abdullah mengikut Perkara 57 Perlembagaan Persekutuan. Hanya satu nama dikemukakan bagi jawatan berkenaan kepada Setiausaha Dewan, Rosmee Hamzah, melalui surat bertarikh 10 April lalu.
Cadangan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Sebelum mengangkat sumpah, Pandikar Amin yang juga bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri dipakaikan songkok dan jubah oleh Rosmee dan pembantunya.
Pada mesyuarat pertama penggal pertama sidang Parlimen ke-12 itu, semua 222 Ahli Parlimen turut mengangkat sumpah jawatan, diketuai Abdullah.
Perdana Menteri yang berpakaian baju Melayu hitam, kemudian menandatangani ikrar sumpah jawatan di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat, diikuti Najib, Menteri Kabinet, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen BN lain.
Wakil pembangkang pula diketuai oleh Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Ismail (Permatang Pauh). Majlis angkat sumpah selama lebih dua jam itu diakhiri dengan Ibrahim.
Sementara itu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) mempersoalkan kesahihan ikrar beberapa Ahli Parlimen yang tidak mengangkat tangan kanan ketika membaca ikrar sumpah. Berikutan itu, Pandikar Amin meminta semua Ahli Parlimen mengangkat tangan kanan ketika membaca ikrar.
"Yang tidak angkat tangan, mana tahu mungkin tangannya sakit," kata Pandikar Amin secara berseloroh.
Karpal ketika tiba gilirannya mengangkat sumpah memberitahu Dewan, beliau tidak boleh mengangkat tangan kanan kerana sakit. Berikutan itu, beliau mengangkat sumpah dengan mengangkat tangan kirinya.
"Untuk mengelak apa-apa bantahan, saya terpaksa angkat sumpah dengan tangan kiri kerana tangan kanan saya tidak berapa sihat," kata Karpal.
Semua Ahli Parlimen kemudian bergambar beramai-ramai bersama Abdullah di tingkat bawah bangunan Parlimen, diikuti jamuan tengah hari.
Majlis pembukaan persidangan penggal pertama Dewan Rakyat dan Dewan Negara dirasmikan serentak hari ini oleh Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin. Dewan Rakyat akan bersidang selama 16 hari sehingga 27 Mei ini.
Berita Harian 24/4/08
Tiada ulasan:
Catat Ulasan