Apr 23, 08 4:29pm
Parti Rakyat Malaysia (PRM) membantah usaha beberapa pemimpin Pakatan Rakyat yang sedang menggerakkan kempen lompat parti wakil-wakil BN seperti diuar-uarkan, khususnya oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sambil menyifatkan usaha sedemikian "tidak sah dan tidak beretika", presiden PRM Hassan Abdul Karim menggesa keputusan pilihanraya umum lalu harus dihormati semua pihak.
"PRM berpendapat kerajaan BN perlu diberi peluang untuk mentadbir kerajaan pusat bagi lima tahun lagi dengan aman dan tanpa diganggu-gugat secara yang tidak demokratik," katanya.
"Begitu juga PRM menyeru BN tidak mengganggu-gugat lima buah kerajaan di peringkat negeri yang kini diperintah oleh Pakatan Rakyat."
Hassan berkata partinya percaya kacau-bilau dan huru-hara boleh terjadi jika kerajaan BN yang sah sekarang pilihan rakyat melalui pilihanraya ditumbangkan dengan cara yang tidak demokratik akibat amalan politik berpaling tadah dan lompat-melompat.
"Rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah kerajaan yang ditadbir oleh parti politik yang berprinsip yang benar-benar mendapat mandat..., bukannya sebuah kerajaan yang ditubuhkan secara pintas dan segera dengan melakukan tindakan seolah rampasan kuasa dari pintu belakang," tambahnya dalam satu kenyataan.
"PRM amat yakin amalan politik lompat-melompat untuk cepat berkuasa bukan sahaja bercanggah dengan amalan demokrasi tetapi ia juga menggalakkan amalan korupsi dalam politik dan pada akhirnya ia akan membunuh amalan demokrasi yang baru hendak hidup dan berkembang di negara ini."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan