Halaman

Khamis, Mei 29, 2008

7 bekas pemimpin AMK ikut Ezam

Muda Mohd Noor & Zahra Hamdan | May 29, 08 1:01pm
Tujuh orang bekas pemimpin utama Angkatan Muda Keadilan (AMK), termasuk bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan menurut jejak langkah bekas ketua AMK, Ezam Mohd Nor untuk menyertai Umno.

Mereka ialah Anuar Shaari (foto), Abdul Ghani Haron, Khairul Anuar Ramli, Ahmad Daud Che Ghani, Azwan Hamzah, Mohd Nazmi dan S D Johari.

Hasrat mereka itu diumumkan oleh Ezam dalam satu sidang akhbar di Petaling Jaya pagi tadi.

Azwan dan Abdul Ghani adalah bekas exco AMK, manakala Anuar merupakan setiausaha sulit Anwar di Kementerian Kewangan dan juga bekas ketua PKR Permatang Pauh.

Nazmi pula adalah bekas setiausaha AMK Selangor dan Johari merupakan bekas setiausaha AMK pusat.

Khairul Anuar pula adalah bekas ketua AMK Kedah dan Ahmad Daud pula bekas ketua AMK Perlis.

Anuar dan Khairul Anuar telah menyerahkan borang keahlian mereka kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di bangunan Parlimen petang ini.

Manakala yang lainnya akan menyerahkan borang keahlian masing-masing dalam masa terdekat ini.

Majlis penerangan

"Saya dapat kira-kira 1,000 sistem pesanan ringkas (SMS) dengan majoriti positif apabila saya menyertai semula Umno.

"Reaksi itu termasuk dari pemimpin PKR di negeri yang diperintah oleh parti itu sendiri," kata Ezam.

Ezam berkata, beliau akan membuat penerangan ke seluruh negara untuk memberitahu ahli PKR mengenai keputusannya menyertai semula Umno.

Bagaimanapun, katanya, beliau tidak akan memaksa mereka untuk mengikut jejaknya menyertai Umno.

"Saya membuat penerangan supaya mereka dapat membuat keputusan sendiri," katanya lagi.

Ketika ditanya sama ada beliau akan terus berada dalam Umno jika agendanya membawa perubahan di dalam Umno tidak berjaya, Ezam berkata, beliau tidak boleh meramalkan masa depan.


"Kita tidak tahu masa akan datang. Dalam politik ada keluar masuk. Tetapi saya bukan keluar Umno tetapi dipecat pada 1999 kerana mengkritik presiden parti ketika itu (Tun Dr Mahathir Mohamad)," katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan