Halaman

Sabtu, Mei 10, 2008

Cara Karpal Singh Tegur Sultan Tidak Betul Dan Dianggap Derhaka, Kata Nik Aziz

KUALA KRAI, 9 Mei (Bernama) -- Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata tindakan Pengerusi DAP Karpal Singh mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (Jaip) Datuk Jamry Sury secara terbuka adalah tidak betul dan boleh dianggap derhaka.

Nik Aziz berkata tindakan menegur secara terbuka kepada umum dianggap tidak bermoral dan tidak patut dilakukan terhadap seseorang sultan.

"Daripada segi undang-undangnya saya tidak tahu, daripada segi moral, moralnya (perbuatan Karpal itu) tidak betul," katanya.

Mursyidul Am PAS itu berkata pemimpin parti politik, terutamanya Pengerusi DAP itu, mestilah menghormati institusi raja dan menganggap Sultan seperti ibu bapa ketika di rumah.

Katanya perbuatan tidak menghormati orang tua boleh dianggap derhaka dan ini bertentangan dengan semangat Malaysia dan budaya Melayu yang sentiasa menghormati orang lain.

"Dalam negeri raja ketuanya dan di rumah ibu bapa, dan raja seperti ibu bapalah di rumah. Apa-apa masalahnya, kalau dia ada masalah berundinglah dengan baik," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas merasmikan Projek Mini Hidro Lata Rek, 40 kilometer dari sini.

Nik Aziz berkata demikian sebagai mengulas isu Pengerusi DAP Karpal Singh yang mempertikaikan kuasa Sultan Perak berhubung pertukaran Pengarah Jabatan Agama Islam Perak oleh kerajaan negeri baru-baru ini.

-- BERNAMA 10/5/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan