Halaman

Rabu, Mei 07, 2008

Cubaan Kit Siang hujah makan diri

PERIBAHASA 'meludah ke langit jatuh ke muka sendiri' barang kali menepati keadaan yang berlaku ke atas Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) di Dewan Rakyat semalam.

Sikapnya yang gemar menjolok `sarang tebuan' setiap kali berhujah di Dewan Rakyat semalam menyebabkan beberapa `tebuan' menyengatnya semula dan sengatan daripada Pengerusi Kelab Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC) Datuk Seri Tiong King Sing menyebabkan Lim terpaku.

Lim yang membahaskan usul menjunjung kasih Titah Yang di-Pertuan Agong pada perasmian persidangan minggu lalu, membangkitkan beberapa isu yang didakwanya menunjukkan unsur rasuah dan salah guna kuasa oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), selain mempertikaikan keikhlasan wakil rakyat BN memperjuangkan masalah rasuah.



Tiong kemudian bangun meminta laluan dan bertanya sama ada isu kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor mengeluarkan arahan merobohkan halangan yang menutup laluan masuk ke Bandar Mahkota Cheras dari arah Lebuh Raya Kajang-Cheras baru-baru ini tidak tergolong sebagai salah guna kuasa.

Lim yang terdiam seketika kemudian menjawab beliau tidak tahu isu itu, menyebabkan suasana di Dewan Rakyat kecoh apabila BNBBC dan pembangkang saling bertukar ejekan.

Desakan Tiong yang bertalu-talu agar Lim membuat pendirian berhubung isu itu hanya menerima jawapan "saya langsung tidak tahu kes apa itu," daripada Lim yang jelas cuba mengelak.

Lim `diselamatkan' oleh Teo Nie Ching (DAP-Serdang) yang bangun meminta laluan dan berkata kerajaan negeri yang dipimpin oleh Parti Keadilan Rakyat, DAP dan Pas itu tidak salah guna kuasa dalam hal itu kerana penutupan laluan berkenaan yang dilakukan pada 2005 dibuat secara tidak sah.

Turut `dijolok' Lim ialah anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Mukhriz yang juga Ahli Parlimen Jerlun yang ditanya sama ada bersetuju atau tidak era pentadbiran Dr Mahathir terkenal sebagai era `KKN' iaitu era kronisme, korupsi dan nepotisme.

Tindakan Lim yang berterusan menyentuh karektor dan peribadi pemimpin, bekas pemimpin dan wakil rakyat menyebabkan Timbalan Pengerusi BNBBC, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) bangun dan mengemukakan Peraturan Mesyuarat 36(6) dan 36(3).

Kedua-dua peraturan itu mensyaratkan anggota Dewan Rakyat tidak menyentuh peribadi wakil rakyat dan anggota kerajaan.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang mempengerusikan persidangan ketika itu bersetuju dan meminta Lim agar berhenti daripada secara langsung menyentuh peribadi individu.

Bagaimanapun pada akhir perbahasannya, Lim sekali lagi sengaja melanggar kedua-dua peraturan itu apabila merujuk Ahli Parlimen BN Rembau, Khairy Jamaluddin sebagai `the richest unemployed man in the world'.

Kenyataan Lim menyebabkan Khairy bangun mengemukakan peraturan mesyuarat 36(3) dan 36(6).

"Saya hanya meminta penjelasan yang ringkas tetapi Yang Berhormat Ipoh Timur menyentuh peribadi saya. Saya minta Yang Berhormat Ipoh Timur berhenti daripada mengeluarkan kenyataan seperti itu," kata Khairy.

Khairy sebelum itu bangun bertanya kepada Lim sama ada semua kerajaan yang ditadbir Pakatan Rakyat akan melaksanakan sistem tender terbuka sepenuhnya seperti dibuat oleh kerajaan Pulau Pinang.

Lim pada awal perbahasannya juga beberapa kali membangkitkan nama Ketua Menteri Melaka dan Umno sebagai memberi arahan kepada polis untuk menahan tiga wakil rakyat DAP kerana didakwa melakukan `vandalisme'.

Kenyataan itu menyebabkan beberapa wakil rakyat BN dari Melaka bangun menuntut Lim menarik balik kenyataan itu, antaranya ialah Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Idris Haron (BN-Tangga Batu). – Bernama

Berita Harian 7/5/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan