Halaman

Khamis, Mei 22, 2008

Harga lepasi AS$130 setong

LONDON 21 Mei - Harga minyak dunia melonjak melepasi paras AS$130 (RM418.79) setong buat kali pertama berikutan terdapat kebimbangan terhadap bekalan yang berkurang dan kelemahan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS), kata para penganalisis.

Harga minyak mentah berkualiti tinggi, Light Sweet bagi kontrak hantaran hadapan bulan Julai mencapai paras rekod apabila diniagakan pada AS$130.47 (420.26) setong di pasaran New York. Harganya kemudiannya jatuh sedikit kepada AS$138.98 (RM415.52) setong, meningkat sebanyak AS$1.40 berbanding penutup pada hari Selasa.

Para penganalisis berkata, pasaran sedang menunggu laporan mingguan simpanan bahan api AS yang merupakan pengguna minyak terbesar dunia, dikeluarkan oleh pihak kerajaan.

Penganalisis minyak dengan syarikat antarabangsa Mitsubishi Corp., Tony Nunan berkata, kebimbangan terhadap bekalan minyak tidak selari dengan keperluan telah mengakibatkan harga bahan bakar itu terus meningkat.

Beliau berkata, pelabur bertindak melabur dalam pasaran hadapan minyak mentah untuk meraih pulangan yang tinggi.

Pakar strategi komoditi dengan Commonwealth Bank of Australia , David Moore pula berkata, kelemahan mata wang AS dan aliran terbaru penganalisis membuat semakan menaik terhadap ramalan harga minyak mereka juga membantu meningkatkan harga minyak.

''Harga minyak diesel menjadi pemancu harga bahanapi,'' kata seorang penganalisis dengan MF Global Ed Mier ketika terdapat laporan China memerlukan penjana kuasa menggunakan diesel untuk kegunaan di kawasan yang terjejas akibat gempa bumi di China.

Sementara itu, Menteri Minyak Venezuala menyalahkan spekulator pasaran terhadap kenaikan mendadak harga minyak mentah dan menolak untuk menaikkan pengeluaran sebagai cara menstabilkan pasaran.

''Harga meningkat tinggi disebabkan oleh spekulasi kerana kejatuhan dolar AS dan inflasi dunia,'' kata Menterinya Rafeal Ramirez semalam selepas mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), Abdullah el-Badri.

Ramirez berkata, peningkatan pengeluaran akan memberikan kesan buruk kepada harga komoditi itu kerana masalah bukan berkait dengan permintaan dan penawaran. ''Terdapat cukup bekalan minyak di pasaran,'' tambah beliau.

Kebanyakan para penganalisis berkata, keputusan Arab Saudi meningkatkan pengeluaran minyak tidak membantu mengurangkan harga minyak.

Menurut penganalisis dengan Wachovia Securities, Eric Wittenauer berkata, pasaran bimbang terhadap laporan menyatakan Presiden AS George W. Bush merancang untuk menyerang Iran sebelum penggal pemerintahannya berakhir.

Di Washingston, Dewan Perwakilan AS juga telah meluluskan rang undang-undang untuk membenarkan Kerajaan Persekutuan menyaman OPEC atas dakwaan mengatur harga minyak yang melonjak tinggi.

Kebanyakan pegawai OPEC, sebelum ini menyifatkan harga minyak mencapai paras rekod kerana kegiatan spekulator ekoran krisis di Nigeria dan Afrika, pengeksport terbesar minyak mentah di rantau Afrika.

- AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan