Halaman

Rabu, Mei 28, 2008

'Kabinet reformasi' mesti luluskan PSM

Jimadie Shah Othman (Malaysia kini)| May 28, 08 3:44pm
Parti Sosialis Malaysia (PSM) menggesa Kementerian Dalam Negeri mengkaji semula keputusannya menolak pendaftaran parti itu berikutan sikap kerajaan yang lebih positif dalam bidang reformasi sistem kenegaraan selepas pilihanraya umum lalu.

Gesaan itu disampaikan dalam satu memorandum yang diserahkan oleh pengerusi penaja PSM Dr Mohamed Nasir Hashim dan setiausaha agungnya S Arutchelvan kepada kementerian di Putrajaya pagi ini.

"Seluruh negara dan dunia mengakui wujudnya parti PSM. Ada wakil PSM (di dewan undangan negeri dan Dewan Rakyat, masing-masing) Dr Nasir dan Dr Jayakumar (Devaraj) di Sungai Siput.

"Semua pihak merujuk kita sebagai PSM. Masalahnya hanya menteri belum bagi kita pendaftaran,” kata Arutchelvan selepas menghantar memorandum itu.

Dr Mohamed Nasir dan Dr Jayakumar masing-masing menang di kerusi-kerusi negeri Kota Damansara, Selangor dan parlimen Sungai Siput, Perak atas tiket PKR dalam pilihanraya umum 8 Mac.

Memorandum itu menuntut PSM didaftarkan segera tanpa pilih kasih selepas menunggu sepuluh tahun dan setelah melalui proses mahkamah yang panjang.

Parti itu menganggap KDN "berniat jahat" dan mencabul hak berpersatuan apabila enggan meluluskannya sedangkan beberapa parti boleh didaftarkan dengan dalam beberapa bulan sahaja, seperti Parti Rakyat Sarawak (PRS) Datuk Seri Dr James Masing dan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP) pimpinan Datuk KS Nallakaruppan.

Dalam usaha melemahkan PBS di Sabah pada 1994, menurut memorandum PSM lagi, beberapa parti mendapat kelulusan pendaftaran dengan begitu pantas antara 24 jam hingga dua minggu, masing-masing SPP, PDS dan SUPP.

Arutchelvan juga menyifkan keengganan KDN sebagai "diskriminasi, berniat jahat, pilih kasih dan bermotifkan politik."

"Kalau kita tengok baru-baru ini parti Nallakaruppan diberi pendaftaran hanya kerana parti itu akan menyertai BN. Semua parti yang dibenarkan pendaftaran adalah yang pro-BN.

"Jadi kita nak, apa yang dipanggil sebagai 'kabinet reformasi' ini dapat melihat hal sebagai sebuah hak," katanya.

Selepas BN tewas teruk dalam pilihanraya umum ke-12, perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan barisan anggota jemaah menteri sebagai “kabinet reformasi”.

Abdullah turut mengambil langkah perubahan seperti tuntutan popular, antaranya meluluskan permit penerbitan akhbar PKR, membayar ex-gratia kepada bekas hakim-hakim kanan yang terlibat dalam krisis 1988, dan merombak semula Badan Pencegah Rasuah (BPR).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan