Halaman

Rabu, Mei 28, 2008

Kecoh wakil pembangkang berbisik kepada Yang Dipertua

KUALA LUMPUR 27 Mei - Selepas 'pesta suka ria' di lobi Parlimen minggu lalu, seorang ahli Parlimen pembangkang hari ini melakukan satu lagi kejutan apabila bertindak naik ke tempat duduk Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semasa dewan sedang bersidang untuk membisikkan sesuatu ke telinga beliau.

N. Gobalakrishnan (PKR-Padang Serai) bertindak demikian dengan alasan untuk menjelaskan kepada Pandikar Amin perkataan Tamil 'okkaru' (bererti duduk) yang disebut oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron semasa meminta Mohd. Nasir Zakaria (Pas-Padang Terap) untuk duduk.

Insiden itu menimbulkan bantahan penyokong kerajaan yang menyifatkan ia sebagai biadap dan ala samseng serta tidak boleh dimaafkan kerana perbuatan itu tidak pernah berlaku sepanjang sejarah Dewan Rakyat.

Perkataan Tamil itu digunakan oleh Idris pada sesi soal jawab bagi menyuruh Mohd. Nasir duduk setelah beliau terus bangun mencelah kerana tidak berpuas hati dengan jawapan Timbalan Menteri itu.

Ia menaikkan kemarahan wakil rakyat pembangkang termasuk Gobalakrishnan dan M. Kulasegaran (DAP-Ipoh Barat) kerana sebutan tidak tepat boleh membuatkan maknanya bertukar menjadi lucah.

Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatangan) yang marah dengan perilaku wakil rakyat pembangkang itu yang disifatkan sebagai ala samseng bangun membangkitkan Fasal 36 (12) Peraturan Mesyuarat.

Fasal itu membolehkan Gobalakrishnan dihadapkan kepada Jawatankuasa Hak dan Keistimewaan Parlimen untuk dikenakan tindakan.

"Saya sudah tiga penggal di Dewan ini, inilah pertama kali kejadian seperti ini berlaku," tegas Bung Mokhtar.

Desakan Bung Mokhtar itu mendapat sokongan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) yang menyokong supaya Gobalakrishnan dihadapkan ke jawatankuasa itu.

Kulasegaran yang tidak berpuas hati kemudian bangun mencelah supaya Idris memohon maaf serta menarik balik kenyataannya itu.

"Bahasa lucah sudah digunakan. Mungkin Yang Berhormat (Idris) tak tau nak sebut dengan betul.

"Kalau tak tau jangan gunakan perkataan itu kerana bila salah sebut ia membawa maksud lain," kata Kulasegaran.

Bangun mempertahankan diri, Idris meminta dua wakil rakyat pembangkang berkenaan membetulkan sebutannya yang dianggap lucah itu kerana yang dimaksudkan sebenarnya ialah duduk.

Idris kemudiannya menggunakan perkataan Mandarin kepada Kulasegaran pula iaitu 'zuo xia' yang juga bermaksud duduk.

Kekecohan reda apabila Ketua Whip wakil rakyat pembangkang, Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak) bangun dan meminta Gobalakrishnan meminta maaf kepada Yang Dipertua dan berharap perkara itu tidak berulang.

''Setelah saya merujuk kepada Ketua Pembangkang (Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail), saya dengan ini memohon Yang Berhormat Padang Serai untuk bangun meminta maaf atas tindakannya sebentar tadi," tegasnya.

Gobalakrishnan kemudiannya bangun dan meminta maaf dengan membuat kenyataan ringkas: '' Saya pohon maaf kerana saya buat tanpa sedar."

Pandikar Amin kemudiannya mengingatkan semua wakil rakyat supaya tidak menggunakan perkataan yang tidak selaras dengan etika Parlimen.

Katanya, Gobalakrishnan tidak perlu bertindak demikian kerana ia tidak selaras dengan etika Parlimen.

"Lama-lama Parlimen kita akan jadi macam Parlimen negara lain sehingga pembangkang dan wakil kerajaan melempar kasut, buku dan kerusi. Speaker juga diserang nasib baik yang berhormat Padang Serai tidak serang, dia cuma berbisik," katanya.

Sementara itu, Gobalakrishnan yang ditemui di lobi Parlimen mempertahankan tindakannya bukan perbuatan yang salah.

"Saya minta maaf kerana ini yang dimahukan penyokong kerajaan dan kerana tidak mahu kekecohan dipanjangkan sehingga 15 minit lagi," jelasnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan