Halaman

Sabtu, Mei 10, 2008

Kerajaan akan tangani isu panas - PM

KUALA LUMPUR 9 Mei - Kerajaan akan berusaha menangani isu-isu panas termasuk kenaikan harga barangan sekarang ini sebagai salah satu cara untuk mengembalikan sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) khususnya UMNO.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, langkah tersebut juga merupakan salah satu cara untuk meyakinkan rakyat supaya terus memberikan sokongan kepada BN dan UMNO pada masa depan.

Sambil melahirkan keyakinan bahawa UMNO masih boleh memerintah dengan baik, beliau berkata, sokongan rakyat pada pilihan raya lalu bukannya terhakis memandangkan bilangan kerusi dimenangi UMNO masih banyak.

"Kita akan berusaha meyakinkan rakyat bahawa UMNO masih boleh memerintah dengan baik berikutan sokongan yang diberikan (pada pilihan raya umum lalu) bukan satu satu sokongan yang kecil.

"Ia bukannya satu sokongan yang terhakis... (atau) dah tak ada lagi dah. Sebenarnya masih ada lagi sokongan, masih banyak kerusi dimenangi.

"Daripada usaha yang dapat dicetuskan oleh kerajaan BN (dalam menangani) isu-isu panas, rakyat mahu melihat kita dapat menyelesaikannya," kata beliau.

Beliau menyatakan demikian pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Menurutnya, amat penting ketika ini bagi memastikan sokongan terhadap UMNO dapat dikekalkan dengan melakukan usaha bagi menarik kembali sokongan yang hilang.

"UMNO mesti menerima hakikat bahawa sokongan telah berkurangan dan kita harus mengekalkan sokongan sedia ada tetapi semuanya bergantung bergantung kepada apa yang kita lakukan," katanya.

Beliau turut ditanya mengenai kenyataan beberapa pihak yang menguar-uarkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menjadi Perdana Menteri tidak lama lagi.

Presiden UMNO itu berkata, perkara tersebut tidak timbul langsung kerana UMNO sentiasa dijaga dengan baik bagi memastikan ahlinya sentiasa setia dengan perjuangan.

"Tidak timbul langsung. Tak risau. Kita sentiasa jaga parti kita. Kita bawa parti dan ahli-ahli parti kita setia pada parti dan perjuangannya," kata beliau.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan