Halaman

Ahad, Mei 11, 2008

Kuasa melayu belum terhakis

(Wawancara Bersama Perdana menteri oleh Wartawan Mingguan Malaysia)

Hari ini UMNO menyambut ulang tahunnya yang ke-62. Berbanding tahun-tahun sebelumnya, sambutan kali ini dianggap menjadi pentas terbaik untuk parti berkenaan bermuhasabah berikutan prestasi dalam Pilihan raya Umum ke-12, baru-baru ini.

Pelbagai tafsiran dibuat mengenai kekuatan UMNO berikutan keputusan berkenaan, apatah lagi apabila Barisan Nasional (BN) kehilangan majoriti dua pertiga di Parlimen manakala empat negeri terlepas kepada pembangkang iaitu Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Di Wilayah Persekutuan pula, BN hanya menang tiga daripada 13 kerusi dan BN juga gagal menawan kembali Kelantan. Sokongan yang diterima oleh Pas dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) juga dijadikan sandaran untuk menimbulkan persepsi bahawa UMNO kini semakin ditolak oleh orang Melayu.

Walaupun pelbagai tafsiran dibuat berhubung kedudukan UMNO, namun Presiden UMNO, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mempunyai pandangan beliau sendiri.

Dalam wawancara khas dengan Mingguan Malaysia yang dijawab secara bertulis oleh Perdana Menteri, beliau mengulas pandangan-pandangan yang dilemparkan kepada UMNO.

Bagi Abdullah, UMNO tidak mengalami kemerosotan sokongan daripada orang Melayu biarpun prestasi parti itu agak menurun dalam pilihan raya umum.

‘‘UMNO masih kekal tunjang kekuatan Melayu,’’ itulah hujah Abdullah.

Bagi Perdana Menteri, UMNO tetap dengan perjuangan asal dan tetap mempertahankan maruah Melayu. Menurut beliau, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO dan kuasa Melayu belum terhakis.

Dalam wawancara itu juga, beliau turut mengulas mengenai dakwaan kononnya UMNO tunduk kepada tekanan parti komponen BN. Bagi Perdana Menteri tidak timbul soal tunduk kerana apa juga keputusan yang dibuat dalam BN ia dilakukan secara konsensus.

Sempena sambutan ulang tahun UMNO hari ini, Abdullah memberikan pesanan kepada ahli-ahli parti dengan berkata, “Kita tidak ada masa untuk bertelagah atau memikirkan mengenai apa jawatan yang perlu kita pegang semata-mata kerana ada Mesyuarat Agung.’’

MINGGUAN: Bagaimana Datuk Seri melihat UMNO selepas enam dekad?

ABDULLAH: Selepas enam dekad, UMNO telah mengalami pelbagai peristiwa, rintangan dan cabaran politik dalam sejarahnya. Ujian dan cabaran ini datang dalam pelbagai bentuk.

Yang terbesar adalah masalah parti-parti serpihan yang tumbuh dan tertubuh apabila beberapa pemimpin telah membawa pengikut-pengikut mereka keluar parti UMNO atas sebab-sebab yang berbeza dari semasa ke semasa.

Bermula dengan Pas pada tahun 1951; Parti Negara yang dipimpin sendiri oleh Datuk Onn, Pengasas UMNO; Parti Melayu Semangat 46 yang dipimpin oleh Tengku Razaleigh Hamzah dan yang mutakhir adalah PKR di bawah pimpinan "de facto leader"nya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Apapun yang berlaku, sejarah melihat UMNO terus dengan perjuangannya untuk membela orang-orang Melayu, orang-orang Islam dan di samping itu menjadi pelopor kepada perjuangan untuk semua orang Melayu, Cina, India dan lain-lain bangsa bagi mendapat tempat dan perhatian dalam negara ini.

Jangan pula kita lupa, di sebalik peristiwa-peristiwa tersebut, UMNO terus memenangi setiap pilihan raya umum bermula dari pilihan raya pertama pada tahun 1955 dan seterusnya, selama 12 kali berturut-turut termasuk pilihan raya pada tahun ini. Kemenangan UMNO adalah bersama parti-parti komponen dalam Perikatan dan seterusnya dalam Barisan Nasional (BN).

Keputusan pilihan raya umum (PRU) lalu menunjukkan sokongan orang Melayu di beberapa negeri semakin terhakis, apakah ini menunjukkan bahawa UMNO tidak lagi dilihat sebagai tunjang kekuatan Melayu?

ABDULLAH: Kalau diperhatikan secara teliti akan keputusan Pilihan Raya Umum ke-12 yang lalu, UMNO tidak mengalami kemerosotan seperti yang didakwa. UMNO memenangi 85 peratus daripada kerusi yang ditandinginya tetapi majoriti yang telah diperoleh oleh calon-calon UMNO kurang daripada yang diperoleh dalam pilihan raya umum 2004.

Walaupun begitu, orang Melayu tidak meninggalkan UMNO secara total. Kuasa orang Melayu belum terhakis. Saya setuju jika prestasi kita diperkatakan menurun, tetapi UMNO masih kekal sebagai tunjang kekuatan Melayu.

Sebagai Presiden UMNO, apakah yang dilakukan oleh Datuk Seri dalam usaha mengembalikan semula keyakinan orang Melayu terhadap UMNO di semua peringkat?

ABDULLAH: Sebaik sahaja tamat Pilihan Raya Umum Ke-12 yang lalu, saya telah menemui semua ahli Perhubungan UMNO Negeri di seluruh negara yang terdiri daripada Ketua-Ketua Bahagian UMNO di setiap bahagian. Mereka telah menyuarakan pandangan, saranan, pendapat dan cara-cara memperkukuhkan semula parti.

Pertemuan ini telah diadakan di kediaman saya dalam beberapa siri secara tertutup. Pertemuan tersebut diikuti dengan lawatan Jawatankuasa Pengurusan ke negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor. Pertemuan-pertemuan selanjutnya akan diadakan dari semasa ke semasa.

Pada pendapat saya, di samping usaha mengukuhkan parti, UMNO bersama-sama dengan parti-parti komponen lain dalam BN perlu meyakinkan rakyat tentang kemampuan Kerajaan Barisan Nasional untuk memberikan khidmat yang terbaik, melaksanakan tanggungjawabnya dan memenuhi janji-janji yang dibuat dalam PRU ke-11 dan 12 yang lalu.

Ada pandangan yang menyatakan kemerosotan sokongan terhadap UMNO juga disebabkan oleh kepimpinan parti yang dilihat terlalu liberal dan sering tunduk kepada tekanan parti komponen BN. Apa komen Datuk Seri?

ABDULLAH: UMNO bukanlah parti yang tunduk kepada tekanan daripada mana-mana pihak. Jika ada apa-apa permohonan yang wajar, UMNO tidak keberatan untuk memberi sokongan kepada permohonan tersebut. Ini adalah amalan yang berlaku dalam muafakat BN. Parti-parti komponen dalam BN semuanya membuat keputusan mengenai satusatu perkara berasaskan konsensus. Soal liberal dan sikap terbuka tidak timbul.

Dalam Kongres Permuafakatan Melayu di Johor Bahru, mereka mendesak supaya UMNO dan Melayu tidak terlalu tunduk kepada tekanan kaum lain termasuk komponen BN. Apakah jaminan bahawa UMNO akan benar-benar tegas dalam soal ini?

ABDULLAH: UMNO tetap dengan perjuangan asal. UMNO tetap mempertahankan maruah Melayu. Itu sudah termaktub dalam perlembagaannya. Yang penting dan perlu diingat adalah UMNO berada dalam Barisan Nasional. Muafakat dan kebijaksanaan, kesederhanaan serta keadilan dan kesaksamaan perlu menjadi amalan dalam mengambil tindakan.

Sama ada hendak akui atau tidak, salah satu sebab kenapa UMNO dikatakan ditolak oleh orang Melayu di peringkat akar umbi ialah kerana parti itu kini dilihat seperti 'dikuasai' golongan elit. Apa kata Datuk Seri?

ABDULLAH: Sekali lagi ingin saya tegaskan, UMNO tidak ditolak di akar umbi. Di luar bandar UMNO tetap kukuh. Kekuatan UMNO dibina dari peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya peringkat Majlis Tertinggi. Yang menganggotai barisan kepimpinan parti terdiri daripada mereka yang mendapat sokongan ahli-ahli parti di semua peringkat. Di samping itu, kebanyakan mereka terdiri daripada individu-individu yang telah memenangi pilihan raya dengan sokongan majoriti rakyat.

Bagaimana hendak membina balik semangat perjuangan yang sudah terhakis itu?

ABDULLAH: Semangat juang tentulah mesti relevan dengan masa. Dulu perjuangan menuntut kemerdekaan. Selepas merdeka, perjuangan bagaimana mengisi kemerdekaan sehingga berjaya. Bila berjaya, perjuangannya adalah bagaimana mengurus kejayaan. Tiada yang terhakis. Cuma kaedah dan isi perjuangan berbeza kerana peredaran masa. Tetapi soal pokok, iaitu pembelaan nasib bangsa, agama dan negara terus menjadi 'core' kepada perjuangan. Mungkin ini yang perlu dihidupkan semula, diperkukuhkan. Sejarah perjuangan bangsa perlu diterap semula. 'Legitimacy' kewujudan orang Melayu di bumi ini mesti difahami oleh semua kaum tanpa menjejaskan hak-hak kaum lain.

Bagaimana hendak mengembalikan rasa bangga menjadi ahli UMNO?

ABDULLAH: UMNO mesti terus memperkasa dan membangunkan bangsanya melalui penguasaan ilmu pengetahuan, kedaulatan bahasa, kemuliaan akhlak dan agama, integriti dan maruah bangsa, kedaulatan Raja-Raja dan kesucian Islam. Semua ini adalah perkara-perkara yang tidak boleh dikompromi. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini terhakis dan dipinggirkan. Itulah intipati perjuangan yang menjadi kebanggaan kita.

Pilihan raya umum yang lalu juga menunjukkan generasi muda Melayu seolah-olah tidak peduli terhadap apa yang akan terjadi kepada UMNO, oleh itu apakah usaha yang akan dilakukan oleh UMNO untuk memberi pemahaman dan menarik sokongan golongan berkenaan?

ABDULLAH: Inilah cabaran besar kepada golongan muda dalam UMNO khususnya Pergerakan Pemuda dan Puteri bagi memastikan orang muda Melayu mengetahui, memahami dan menghayati sejarah perjuangan UMNO.

UMNO mesti pergi kepada mereka, tidak boleh membiarkan atau menunggu mereka datang. Pemuda UMNO mesti mencari ahli-ahli baru, menyebar risalah, memilih 'kader' dan melatih mereka. Golongan muda mesti didekati dan diajak bersama. Secara tegas, Pemuda dan Puteri UMNO mesti menjadi contoh sebagai pejuang yang bersemangat patriotik, berintegriti dan berjaya dalam hidup mereka serta tidak angkuh.

Bagaimana Datuk Seri melihat sokongan orang Melayu terhadap parti-parti lain seperti Pas dan PKR, apakah kehadiran mereka boleh menghakis populariti UMNO dan bolehkah mereka mengambil alih peranan UMNO membela Melayu?

ABDULLAH: UMNO parti sederhana. Kita bela Islam, kita bela Melayu, tetapi dalam waktu yang sama kita bela juga kaum-kaum lain yang berbeza agama.

Saya percaya, rakyat akan terus memilih UMNO sekiranya mereka memahami perjuangan dan dasar UMNO. UMNO tidak boleh membiarkan persepsi buruk yang dilemparkan oleh pembangkang terhadapnya.

UMNO mesti berkerja kuat untuk melenyapkan persepsi negatif tersebut. Jika ini dapat dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas dalam memberikan khidmat kepada rakyat, UMNO akan tetap menjadi parti pilihan pertama rakyat Malaysia.

Tahun ini UMNO akan berhadapan dengan pemilihan parti. Pada pandangan Datuk Seri barisan kepimpinan seperti manakah yang sepatutnya dibentuk dalam UMNO bagi memastikan ia terus relevan dan diterima kembali oleh rakyat?

ABDULLAH: Perjuangan asal UMNO mesti terus dikekalkan. Kita mahu pemimpin yang ikhlas, jujur, beramanah serta memahami perjuangan UMNO. Perjalanan kita masih jauh. Bangsa-bangsa yang besar memerlukan antara 100-150 tahun untuk membina tamadun mereka.

Kita baru 50 tahun tetapi kita sudah mula menunjukkan kejayaan. Kita mesti mengurus kejayaan kita ini dengan baik serta memperbaiki kelemahan kita. Kita mesti bersatu dan bersetia. Itu sahaja rahsia dan petuanya.

Sempena ulang tahun UMNO yang ke-62, apakah seruan Datuk Seri kepada ahli UMNO dan orang Melayu?

ABDULLAH: Slogan UMNO cukup jelas dan sentiasa relevan. Bersatu, Bersetia, Berkhidmat. Kita tidak ada masa untuk bertelagah atau memikirkan mengenai apa jawatan yang perlu kita pegang semata-mata kerana ada Mesyuarat Agung.

Parti kita telah mendapat mandat rakyat untuk terus mentadbir negara ini. Kita mesti menguruskan kejayaan ini dengan baik dan menangani masalah dengan penuh hemah, jujur dan bertanggungjawab.

Banyak kerja yang kita mesti lakukan. Kita mesti memastikan negara terus aman, stabil dan makmur. Kualiti hidup rakyat mesti terus diperbaiki. Bekalan makanan mencukupi dan kita mesti menyediakan tempat tinggal yang selesa dan elok, serta menjamin kebebasan rakyat untuk terus hidup di negara ini dengan harmoni dan selesa. UMNO dan orang Melayu mesti menguruskan kejayaan yang telah dibina selama ini untuk terus menjadi bangsa yang bermaruah dan dihormati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan