Halaman

Sabtu, Mei 10, 2008

Penahanan Raja Petra ancaman kepada blogger penyokong Pakatan Rakyat

Tarmizi Mohd Jam
Fri | May 09, 08 | 9:19:53 am MYT
Apakah penahanan blogger Raja Petra merupakan sebahagian dari serang balas Barisan Nasional (BN) terhadap usaha "membunuh" pengaruh Pakatan Rakyat?

Ketika penulis diundang berceramah bersama Ahli Parlimen Batu, Tian Chua dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu di Sentul pada malam Raja Petra menjadi tetamu Rancangan BLOG RTM, terdapat satu maklumat yang boleh dikongsi bersama.

Tian Chua membangkit tentang terdapatnya usaha dari dalam Umno untuk "memanaskan" pertandingan dalam parti yang kian nazak itu pada Disember depan.

Pertempuran antara kumpulan anak Badawi + Najib dengan kumpulan Ku Li dijangka akan "meletup" dan "memburai" dengan kempen-kempen yang di luar kawalan.

Sudah tentulah Ku Li akan bekerja kuat untuk menumpaskan anak Badawi dan anak Badawi juga akan bekerja keras untuk mempertahankan serambi kuasanya.

Antara Ku Li dan anak Badawi, maka kecenderungan anak Badawi untuk berbuat apa sahaja lebih berpotensi dengan segala kemudahan, modal dan penasihat rakus di sekelilingnya.

Kata Tian Chua dan kemudian disokong oleh Mohamad Sabu dalam ceramah berikutnya; apabila bahang kempen dalam Umno menjadi panas, Umno akan dikelam-kabutkan, media ligat tonjolkan isu ketidakstabilan politik yang ketara. "Negara dalam bahaya", begitulah adanya!

Macam yang dibuat MMMM di Johor itu. Membakar perkauman Melayu dengan harapan yang satu, mereka bangkit. Bangkit untuk apa? Ini kena dijawab oleh Umno! "Melayu dalam bahaya", begitulah adanya juga!

Apabila bahang panas membakar rentung hati dan perasaan perwakilan dan ahli-ahli Umno akar umbi, maka ketika ini, ada strategi licik yang dikatakan akan diatur untuk menangkap pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat dengan perangkap Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan menyumbat mereka di Kem Tahanan Kamunting, selama yang mungkin.

Apa yang menimpa Raja Petra boleh dilihat sebahagian dari taktik licik untuk memulihkan Umno dan BN pasca PRU Ke 12.

Taktik licik ini bukan sahaja menyiarkan siaran langsung sidang parlimen dan mengundang blogger ke Angkasapuri untuk berdebat dalam Rancangan BLOG, tetapi jauh lebih licik asalkan matlamatnya memulihkan Umno yang sudah mati pucuk itu berjaya bertenaga semula.

Penahanan Raja Petra saya lihat sebagai usaha "memutihkan" mana-mana blogger yang berani membongkar kepincangan BN dan juaknya, dari terus menjadi "hantu" Pakatan Rakyat.

Malah ada yang meramalkan, selepas ini lebih banyak tangkapan akan dibuat atas apa jua sebab yang boleh disabit dengan kesalahan mengikut akta-akta yang begitu banyak boleh digunakan.

Jika kebimbangan Tian Chua dan Mohd Sabu diambil kira, sudah pasti tiada apa halangan untuk anak Badawi berbuat strategi demikian bagi mengekalkan kuasa.

Ku Li barangkali hanya menjadi faktor sampingan yang diperelokkan bagi menjayakan strategi ini.

Sama seperti Umno mengeksploitasikan isu serangan Karpal Singh terhadap istana Perak dalam cerita penukaran 24 jam Pengarah JAIP oleh Menteri Besarnya, Nizar Jamaluddin.

Semua pihak dalam Umno berkokok dan menjerit mempertahankan institusi Sultan. Walhal, mereka jugalah yang menikus dan menikam institusi itu.

Paling dekat, dalam perlantikan Menteri Besar Perlis, Dr Mohd Isa Sabu. Istana dengan jelas menolak kemahuan anak Badawi (Umno) mengekalkan Shahidan Kassim.

Apa yang Shahidan buat? Penyokongnya bertindak macam mana di Perlis? Sekalipun berakhir dengan "patah hati".

Tragedi yang sama juga tercetus di Terengganu. Idris Jusoh terpelanting "ditendang" oleh istana sekalipun watikah Perdana Menteri dijadikan sandaran sokongan kerajaan BN ke atas beliau.

Slogan "Kami Nak Deris, Natang!" jauh lebih teruk sifat penghinaan dan penderhakaan oleh penyokong Idris Jusoh ketika menentang penolakan Istana Terengganu terhadap mantan MB itu berbanding Karpal yang hanya mengulas berdasarkan fakta dan undang-undang.

Nampaknya, serangan diatur rapi dalam usaha menjatuhkan Karpal Singh yang sudah tentu bertujuan untuk "membunuh" imej Pakatan Rakyat.

Kini media prmitif kuasaan mereka menggambarkan semua pemimpin PKR, PAS dan DAP tidak sensitif dengan isu-isu membabitkan kesultanan Melayu. Esok lusa, tulat tonggeng, pastinya ia terus dimainkan.

Harapan mereka, isu ini akan membangkitkan rasa kebangsaan Melayu di kalangan rakyat untuk menyokong Umno kembali.

Namun, tafsiran dan ramalan mereka kian meleset.

Jika pendedahan Tian Chua itu jadi kenyataan, maka amatlah malang bagi demokrasi di Malaysia. Rakyat harus menghalang dari perkara ini terjadi.

Namun kebimbangan Tian Chua bertempat. Logiknya ada. Relevannyapun kuat. Tiada apa sekatan untuk anak Badawi melancarkan strategi ini, selagi kuasa ada ditangan.

Strategi ini pernah dibuktikan berjaya dalam Operasi Lallang sekitar tahun 1987 oleh Dr Mahathir yang sedang "nyawa-nyawa ikan" pada waktu itu.

Niat asalnya untuk menahan ISA para pemimpin PAS dan DAP yang lantang. Namun, beberapa pemimpin Umno juga turut ditahan sebagai "wayang pacak" bagi menunjukkan tangkapan itu tidak berat sebelah.

Isu Melayu dimainkan. Poster diedar mengundang orang-orang Melayu berhimpun di Stadium TPCA, Kg. Baru. Bawa sekecil-kecil; senjata mancis api. Antara orang kuatnya ketika itu Ibrahim Ali, Tajuddin Abdul Rahman dan ramai lagi.

Beberapa akhbar termasuk The Star dan Watan, digantung permit penerbitannya. Ia kelihatan betul-betul gawat dan membahayakan.

Ketika itu bahang panas dari pertarungan Ku Li + Mahathir berebut kerusi Presiden Umno. Hingga membawa kepada pengharaman parti berpengaruh (Umno) itu dan sokongan terhadap Mahathir dinilai dengan kelebihan hanya 43 undi.

Itupun dengan beberapa taktik kotor dijalankan oleh Mahathir untuk menongkat kuasa. Taktik kotor itulah yang mnejadi punca Umno diharamkan dan akibatnya Tun Salleh Abbas, Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim lain dipecat.

Semua penyokong Pakatan Rakyat harus memainkan peranan positif bagi menjaga keamanan dan sekaligus menyekat sebarang "niat" jahat pemimpin Umno untuk mengISAkan pemimpin terpilih dari Pakatan Rakyat ini. - mr

Laporan Harakah Daily 10/5/08

Tiada ulasan:

Catat Ulasan