Halaman

Khamis, Mei 29, 2008

Siapa Ganas?

Jurugambar Utusan cedera dipukul

KAJANG 27 Mei - Jurugambar Utusan Malaysia, Roy Azis Abdul Aziz cedera dipukul sekumpulan lelaki dalam kekecohan yang berlaku di Lebuh Raya Cheras- Kajang, Grand Saga Sdn. Bhd., (Grand Saga), malam ini.

Ketika kejadian kira-kira pukul 7.20 malam, Roy Azis, 20, yang mengambil gambar kekecohan semasa penduduk Bandar Mahkota Cheras dipukul oleh mereka dengan kayu dan topi keledar.

Pada masa itu, kira-kira 200 penduduk sedang merobohkan tembok yang dibina bagi menutup laluan kenderaan ke Bandar Mahkota Cheras di sini.

Berdasarkan laporan polis yang dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang malam ini, Roy Azis mendakwa dipukul dengan kayu dan topi keledar sehingga mengalami kecederaan pada telinga serta tangan kanan.

Laporan itu menyebut, kumpulan yang terdiri daripada 15 hingga 20 lelaki itu turut merampas dan memecahkan kamera jenis Canon yang digunakannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Sakarudin Che Mood berkata, mangsa adalah antara kira-kira 10 orang yang tercedera termasuk wanita dan kanak-kanak dari taman perumahan itu.

"Kumpulan ini sanggup memukul dan bertindak kasar terhadap wanita dan kanak-kanak, malah tidak langsung menunjukkan sikap prihatin terhadap golongan ini.

"Polis sedang memburu kesemua suspek terbabit dan siasatan segera akan dibuat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata merbahaya,'' katanya kepada pemberita di IPD Kajang di sini hari ini.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim baru-baru ini dilaporkan menyokong tindakan penduduk Bandar Mahkota Cheras meroboh tembok yang dibina Grand Saga sebelum ini.

Menurut beliau, ini kerana ia dibina semata-mata untuk menghalang penduduk daripada tidak membayar tol sedangkan ia tidak sepatutnya demikian.

Sakaruddin berkata, pihaknya sedang mengumpul laporan daripada mangsa termasuk seorang yang dimasukkan ke Hospital Kajang kerana cedera parah di kepala dan patah tangan.

Jelasnya, polis akan menjalankan proses pengecaman sebaik sahaja mendapat maklumat mencukupi daripada mangsa bagi memastikan mereka yang terbabit menerima hukuman setimpal.

Ditanya sama ada suspek merupakan kontraktor yang dilantik Grand Saga seperti didakwa penduduk, beliau berkata, polis akan menyiasat perkara itu.

Beliau berkata, walaupun terdapat beberapa pegawai serta anggota polis ketika kejadian, namun mereka tidak mampu berbuat apa-apa kerana ia berlaku dengan pantas.


BMC: Polis belasah remaja

Syed Jaymal Zahiid (Malaysia Kini) May 28, 08 5:49pm
Menurut ceritanya, dia hanya ingin melihat apa sedang berlaku di tempat pembinaan benteng konkrit dekat Bandar Mahkota Cheras (BMC) malam tadi.

Bagaimanapun, apa yang berlaku, Chang Jiun Haur berlumuran darah selepas dibelasah oleh 20 anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dengan cota dan ditendang.

Chang, 21, bersama adik perempuannya dan dua lagi rakan lelaki, sedang memandu keluar dari tapak benteng tersebut pada kira-kira jam 11.30 malam, apabila kereta yang mereka naiki dikepung oleh anggota polis yang sebelum ini, menyeleraikan pergaduhan membabitkan penduduk BMC.

Seorang pegawai tinggi yang berada di situ, mendakwa Chang melanggar seorang anggota FRU dengan keretanya.

Apabila diminta menunjukkan anggota yang kena langgar itu, pegawai berkenaan pada mulanya menghadapi kesukaran meminta anggota berkenaan tampil ke hadapan.

Anggota berkenaan yang nampak tidak apa-apa mendakwa: "Dia cuba langgar saya...lihat cota patah. Nak bukti apa lagi?"

Bagaimanapun, seorang pegawai polis yang membawa Chang ke Hospital Kajang berkata tidak seorang pun anggotanya dilanggar oleh kereta remaja itu.

Ketika ditemui di hospital pada kira-kira jam 12.30 tengah malam, Chang juga menafikan yang dia telah melanggar anggota polis.

"Kami baru sahaja balik (ke Kuala Lumpur) dari Port Dickson dan mahu melihat apa yang sedang berlaku," kata Chang yang terbaring di katil dengan mulutnya yang berdarah.

Bajunya telah dikoyak oleh polis manakala seluarnya berlumuran darah. Difahamkan Chang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Adik perempuan dan dua rakan lelakinya turut ditahan malam tadi, tetapi menurut pengerusi Jawatankuasa Buka Jalan BMC, Tan Boon Hwa, mereka dibebaskan hari ini.

Ahli exco kerajaan negeri Selangor, Ronnie Liu, yang melawat Chang malam tadi berkata, polis telah menggunakan kekerasan yang keterlaluan.

"Polis sepatutnya menjaga undang-undang dan ketenteraman awam dan bukannya memukul orang. Saya amat kecewa. Parti saya (DAP) akan menyediakan peguam untuk Chang dan yang lain-lainnya," kata Liu.

‘Wartawan diserang'

Akhbar-akhbar berbahasa Cina melaporkan hari ini bahawa lebih daripada 10 orang cedera parah dalam kejadian malam tadi, selepas penduduk BMC dibelasah oleh ‘samseng' yang ditugas menjaga benteng konkrit di situ.

Syarikat konsesi lebuhraya Cheras-Kajang, Grand Saga, bagaimanapun, menafikan terbabit dalam kejadian tersebut.

Kira-kira jam 7 malam semalam, penduduk yang cuba meruntuhkan benteng yang baru dibina semula pada sebelah siangnya, bertembung dengan sekumpulan lelaki yang bersenjatakan batang besi, topi keledar dan batang kayu.

"Mereka terus menyertang penduduk terbabit. Kira-kira 10 orang dipukul dan tiga daripadanya adalah wartawan. Kamera juga turut dirampas," dakwa Tan.

Akhbai Star melaporkan bahawa jurugambar Utusan Malaysia, Roy Azis Abdul Aziz dipukul ketika di cuba mengambil gambar pergaduhan tersebut.

Penduduk BMC, Chin Kee Chong patah tangan kanannya serta turut cedera di bahagian kepala, manakala seorang lagi penduduk - Lee Ah Seng - cedera parah di kepalanya yang memerlukan tujuh jahitan.

Sesetengah penduduk mendakwa, beberapa anggota polis yang berada di situ tidak berbuat apa-apa untuk meleraikan keadaan yang berlaku.

Bagaimanapun, Ketua Polis Kajang Shakaruddin Che Mood berkata mereka hanyalah anggota polis trafik yang dihantar untuk mengawal lalulintas di situ.

"Mereka sibuk mengawal lalulintas dan tidak dapat berbuat apa-apa," katanya kepada pemberita sambil menambah, lima laporan polis telah dibuat berhubung kes pergaduhan tersebut.


P.s: Siapa pukul siapa?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan