Halaman

Rabu, Disember 31, 2008

14 Pesuruhjaya Kehakiman baru angkat sumpah

PUTRAJAYA - Seramai 14 Pesuruhjaya Kehakiman yang baru dilantik, mengangkat sumpah di hadapan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Zaki Azmi di Dewan Persidangan, Istana Kehakiman di sini, semalam.

Lapan daripada mereka dipilih daripada kalangan ahli kehakiman iaitu Yang Dipertua Mahkamah Perusahaan, Datuk Umi Kalthum Abdul Majid, 51; Pengerusi Mahkamah Perusahaan, Datin Yeoh Wee Siam, 55; Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Datuk Halijah Abbas, 51; Pendaftar Mahkamah Rayuan, Datin Zabariah Mohd Yusof, 49; Pendaftar Mahkamah Tinggi Malaya, Tarmizi Abdul Rahman, 52; Pendaftar Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak, Rhodzariah Bujang, 47; Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Akhtar Tahir, 49, dan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu, Ravinthran a/l Paramaguru, 46.

Turut menerima pelantikan yang berkuat kuasa 5 Januari ini ialah Peguamcara Negara, Datuk Zaleha Yusof; Penggubal Undang-undang Parlimen, Datuk Nor Bee Ariffin, 51; Pesuruhjaya Penyemak dan Pembaharuan Undang-undang, Datuk Mary Lim Thiam Suan, 51; Ketua Pengarah Biro Bantuan Guaman, Dr Hassan Abdul Rahman, 54, dan dua Pengerusi Lembaga Penasihat Jabatan Perdana Menteri, Kamardin Hashim, 53, dan Yaacob Md Sam, 50.

Dalam ucapan tahniahnya, Zaki mengingatkan semua Pesuruhjaya Kehakiman baru itu supaya menguruskan mahkamah masing- masing pada tahap yang paling maksimum dan menjalankan tugas dengan bijak.

“Mereka juga perlu bersedia membuat pertimbangan menggunakan kaedah terbaik termasuk penyusunan kes mengikut kepentingan serta menggunakan masa paling optimum.

“Mereka tidak perlu membazir masa berhujah perkara tidak berkaitan, sebaliknya sentiasa ingat bahawa ramai masih menunggu untuk kes mereka dibicarakan,” katanya selepas upacara mengangkat sumpah yang turut disaksikan Hakim Besar Malaya, Datuk Ariffin Zakaria; Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff dan Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Tan Sri Richard Malanjum.

Beliau juga menasihati Pesuruhjaya Kehakiman baru itu agar bersikap jujur dan bijak menangani persekitaran serta berupaya mengelak pengaruh luar.

“Semua yang dilantik boleh meneruskan persahabatan dengan rakan, namun jika ada antara mereka bersikap tidak jujur dan ingin mengambil kesempatan atas jawatan yang dipegang, mereka perlulah berterus-terang,” katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan