Halaman

Selasa, Disember 23, 2008

Hudud: Husam sudah 'corner baring'

Oleh Mohd Sayuti Omar

BELUM sampai 36 jam atau kalau tanam kacang belum sempat kulit arinya pecah, Naib Presiden Pas, Husam Musa telah memperbaiki kenyataannya berhubung perlaksanaan hukum hudud yang dibuat ketika berwacana bersama Khairy Jamaluddin dan Abdul Aziz Bari di Balai Islam malam Sabtu lalu.

Semasa respon kepada provokasi Khairy Jamaluddin yang ingin tahu apakah Pas akan laksanakan hudud kalau Pakatan Rakyat menang, Husam menegaskan Pas akan melaksanakan hukum hudud sekiranya Pakatan Rakyat memerintah.

"Iya kita akan laksanakan," begitulah jaminan Husam apabila diasak lebih dua kali oleh Khairy. Kurang diketahui pula MB Kelantan dalam penantian itu sedar atau tidak ketika beliau mengeluarkan kata-kata itu.

Tetapi hari ini Husam telah membuat pembetulan ke atas persetujuannya semalam. Katanya perlaksanaan itu akan ditangguhkan dan ia akan dimaklumkan kepada DAP dan Keadilan terlebih dulu.

Kononnya pemberitahuan itu kerana Pakatan Rakyat telah menandatangani dasar Pakatan itu Ogos lalu? Kata Husam pihaknya tidak akan membuat keputusan secara uniteral sebalik akan membuat secara multiultra.

Barang kali baik juga kalau isi kandungan perjanjian itu didedahkan kepada umum untuk ketahui apakah semangat dan roh perjanjian itu.

Kenapa Husam nampak gelabah dengan jaminannya malam kelmarin itu? Mungkin dia tahu ia bakal menjadi isu dan polimek dalam Pakatan Rakyat seperti mana yang saya jangkakan sebelum ini. Dugaan ini ternyata benar apabila DAP sudah kelam kabut dengan kenyataan itu sehingga mahu rujuk kepada Pakatan Rakyat, Anwar Ibrahim.

Media kroni pula sudah tentu sedang menyusun untuk mengeksploitasikan isu itu di Kuala Terengganu nanti. Justeru pada saya penegasan Husam malam itu kurang berhemah dan memakan diri!

Sebenarnya Husam tidak payah membuat pembetulan atas kenyataan itu. Kenyataan beliau malam tadi mendapat sambutan hangat dan itulah yang diharapkan. Langkah beliau membetulkan kenyataan itu menyebabkan ia akan mengelirukan penyokong Pas dan orang Islam sendiri serta mereka yang rindukan hudud.

Pembetulan itu juga menjadikan orang akan pertikaikan pengakuan Husam itu sebagai bersifat politik semata-mata. Dengan kenyataan pembaikian itu Husam melakukan dua kali kesilapan dalam satu masa.

Apa yang beliau tegaskan kelmarin (ketika menegasnya siap dengan mengangkat telunjuk ke langit), sudah tepat dan satu kebenaran yang dibanggakan. Sebagai orang Islam, pemimpin parti Islam sewajarnya agenda melaksanakan hudud itu diletakkan di atas.

Segala unsur dan usaha mengenepinya perlu ditentang habis-habisan. Hukum hudud tidak boleh dikorbankan atas maslahat politik atau ia ditangguhkan atas dasar menghromati orang lain.

Saya rasa orang Pas lain juga cukup senang dengan jaminan Husam itu. Golongan ulama yang selama ini berjuang bermati-matian untuk melaksanakan hudud merasakan mereka mendapat semangat baru apabila ia disanggupi sendiri oleh seorang pemimpin bertaraf Naib Presiden yang profesionalis dan dianggap bijak.

Ketika dipersoalkan oleh Khairy, Husam ada menjelaskan Kelantan merayakan hari memperingati hudud setiap tahun.

Dengan penuh bangga beliau memaklumkan itu kepada audience. Tetapi sesudah sehari penegasan itu menerawang masuk ke rongga kepala rakan bukan Islam Husam semacam gelabah pula. Kenapa?

Sebagai pemimpin yang meletakkan taqwa sebagai syarat orang untuk menjadi Perdana Menteri, Husam tidak perlu takut sebenarnya.

Beliau juga tidak perlu merasa malu dan gerun kalau tidak popular dari kalangan bukan Islam kerana menjadi juara hudud. Bila beliau mengubah dan meralatkan kenyataannya ini menyebabkan orang boleh mengatakan Husam tidak istiqamah dalam iltizamnya.

Sepatutnya ia tidak perlu dibimbangkan Husam, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat sudah membela Husam mengenai kenyataannya tentang hudud itu. Kata Nik Aziz hudud bukan hak Pas tetapi hak Islam.

Katanya fungsi atau martabat hudud sama dengan sembahyang, kalau sembahyang wajib boleh buat kenapa hudud yang juga wajib tidak boleh dibuat? Jadi apabila tuan guru sudah memberi isyarat dan beranalogi begitu nah, teruskan saja.

Tidak patut dan wajar kalau Husam bermain sorong tarik dengan hukum hudud dan qisas ataupun aspirasi Islam lainnya. Beliau juga sesungguhnya tidak perlu bimbang dengan penerimaan bukan Islam mengenai penegasannya itu.

Bukankah beliau sendiri mengatakan bahawa kefahaman Islam dari kalangan bukan Islam termasuk DAP dan orang seperti Pengerusi Kelab Penyokong Pas dari kalangan orang Cina itu lebih baik berbanding dengan Umno atau Khairy Jamaluddin.

Jadi apa yang nak dibimbangkan lagi laksanakan Islam yang menjadi cita-cita dan matlamat perjuangan Pas itu? / msomelayu.blogspot.com

Tiada ulasan:

Catat Ulasan