Halaman

Khamis, April 23, 2009

Mat Sabu dapat banyak elaun sebagai ahli lembaga pengarah di Pulau Pinang

PULAU PINANG 22 April - Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) hari ini membidas pelantikan serta pemberian elaun kepada Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Mohamad Sabu yang dilantik baru-baru ini.

Datuk Jasmin Mohamed (BN-Sungai Dua) berkata, selain mendapat elaun RM1,500, beliau juga menikmati elaun luar kawasan melibatkan jumlah yang sama sedangkan Mohamad yang juga Naib Presiden Pas difahamkan berasal dari negeri ini.

Malah, beliau mendakwa, elaun tetap Mohamad sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bebas juga lebih daripada yang diterima Pengerusi, Timbalan Pengerusi dan juga Ahli Lembaga Pengarah Tidak Bebas PBAPP.

''Saya pun hairanlah, mengapa beliau ini istimewa sikit sampai dibayar elaun luar kawasan, entahlah kita pun tak tahu mungkin dia duduk di tempat lain," katanya sambil disambut gelak ketawa ADUN BN pada sidang DUN di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul ucapan terima kasih Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Rahman Abbas pada mesyuarat pertama penggal kedua sidang DUN ke-12 itu.

Mohd. Hamdan Abdul Rahman (Pas-Permatang Pasir) yang terasa 'panas' dengan kenyataan itu lantas bangun dan berkata:

''Rasanya isu tersebut tidak perlulah dicakap di dalam dewan ini, orang yang tidak ada di sini tak payahlah disebut-sebut."

Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (BN Penaga) kemudiannya mencelah dan menjelaskan bahawa perkara dibangkitkan adalah mengenai duit rakyat yang digunakan untuk dibayar kepada Ahli-ahli Lembaga Pengarah PBAPP termasuk Mohamad.

Jasmin kemudiannya menyambung usul ucapan beliau dengan menyatakan jumlah yang diterima oleh Ketua Menteri, Lim Guan Eng termasuk gaji, elaun khas dan elaun ADUN adalah sebanyak RM34,787.94.

Malah, tambah beliau, itu tidak termasuk elaun tambahan lain yang dinikmati Guan Eng, sambil beberapa ADUN BN yang lain dengan selamba mencelah: ''Lebih daripada itu, hampir RM50,000."

Tiada ulasan:

Catat Ulasan