Halaman

Isnin, Jun 01, 2009

Kekejaman, pengkhianatan komunis tidak boleh dimaafkan

RAKYAT negara ini tidak boleh menerima kehadiran Chin Peng untuk kembali ke tanah air. Jika ditanya kepada wira-wira pejuang dalam pasukan Angkatan Tentera dan juga pasukan polis yang pernah bertempur dengan gerila komunis pimpinan Chin Peng semasa negara ini diancam pengganas komunis dari Parti Komunis Malaya (PKM) dahulu, tentunya mereka akan terkenang betapa peritnya cabaran yang telah dilalui sehinggakan ribuan nyawa terkorban.

Tidak kurang juga yang telah menanggung derita dengan kecacatan kekal yang dialami akibat tersandung jerangkap samar yang dipasang oleh gerila komunis yang dikepalai oleh Chin Peng dan konco-konconya dari Rejimen Ke-10 yang berselindung di sebalik nama Tentera Pembebasan Nasional Malaya (TPNM).

Oleh itu, seluruh warga Skuad 69 PDRM Sarawak yang pernah berjuang dalam Pasukan Polis Hutan (PPH) untuk menjaga keselamatan awam ketika negara dalam keadaan darurat dahulu tidak pernah lupa betapa kejamnya gerombolan pengganas komunis ini yang menjadi 'bajingan' membunuh banyak nyawa, sehingga negara dan rakyatnya turut merasakan terancam.

Tentunya Chin Peng akan mereka cipta pelbagai alasan untuk menghalalkan tindakan mereka sebelum ini. Negara yang telah mencapai kemerdekaan pada tahun 1957 telah dinafikan oleh Chin Peng. Mereka enggan meletakkan senjata untuk meraikan kemerdekaan pada tahun berkenaan. Pada kami, semangat patriotik cintakan negara ini tidak tertanam dalam sanubari pemimpin PKM. Ia sebenarnya mahu mendominasikan negara ini dengan fahaman komunisme, tetapi rakyat telah menolaknya.

Chin Peng terpaksa mengerahkan segala kekuatannya dan telah diperkuatkan lagi dengan penubuhan Rejimen Ke-10 (Tentera Pembebasan Nasional Malaya - TPNM) yang dipimpin oleh Abdullah CD. Rejim komunis ini telah bersarang di hutan belantara dengan mengangkat senjata untuk menentang pasukan keselamatan yang mereka anggap sebagai anjing kerajaan.

Benteng pertahanan negara terpaksa diperkuatkan di perbatasan tanah air kita kerana PKM telah bertindak ganas memusnahkan balai polis, merampas senjata, mengugut rakyat marhain malah mereka bertindak kejam membunuh sesiapa saja yang dilihat pro kepada pasukan keselamatan.

Oleh itu sekali lagi kami warga Skuad 69 PDRM Sarawak menggesa pihak kerajaan supaya tidak melayan kerenah Chin Peng. Kami tidak bersetuju dengan pandangan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang yang mahukan supaya kerajaan menerima semula kehadiran bekas pemimpin PKM ini, dengan beralaskan hujah kemanusiaan.

Kita mahu Chin Peng memahami aspirasi rakyat negara ini yang tidak boleh memaafkannya lagi kerana terlalu banyak angkara khianat yang telah dipalitkannya terhadap negara ini. Kami bertegas dengan pendirian ini, kerana kami merupakan antara barisan hadapan yang telah membentengi perbatasan negara dalam menghadapi ancaman musuh utama Negara pada masa itu.

Sesungguhnya negara ini tidak perlukan lagi spesies seperti Ching Peng.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan