Halaman

Rabu, Jun 24, 2009

Pembelit Rakyat (PR) putar belit fakta

Oleh ZULKIFLEE BAKAR


Barisan Nasional perlu memberi tumpuan untuk membangunkan negara dan membantu rakyat termasuk mendirikan lebih banyak projek perumahan rakyat (PPR) untuk golongan miskin daripada membuang masa melayan kerenah pembangkang yang suka memutarbelitkan fakta.

BEBERAPA bulan lalu, berikutan kemelut politik yang berpanjangan biarpun pilihan raya umum sudah berakhir, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tampil mengemukakan idea kerajaan perpaduan.

Melalui idea berkenaan, beliau mahu semua parti politik tanpa mengira ideologi, berada dalam satu pasukan bagi menangani segala krisis - politik mahupun ekonomi.

Bagaimanapun cadangan itu mendapat tentangan termasuk di kalangan sesetengah pemimpin dan ahli Pas sendiri. Namun Abdul Hadi tetap mempertahankan idea tersebut termasuklah ketika di Muktamar Tahunan Pas Kali Ke-55 di Shah Alam baru-baru ini.

Malah idea Abdul Hadi dikatakan mendapat sokongan padu golongan ulama dalam Pas. Satu kumpulan pemikir parti itu dikatakan telah menghasilkan penjelasan panjang lebar mengenai idea itu. Ia disiarkan dalam blog-blog yang dikendalikan oleh pemimpin atau ahli Pas yang menyokong cadangan kerajaan perpaduan tersebut.

Jelaslah, fakta yang tidak boleh dinafikan atau diputarbelitkan ialah idea kerajaan perpaduan itu dicetuskan oleh Abdul Hadi sendiri. Beliau pula ialah Presiden Pas iaitu sebuah parti yang berada dalam gabungan pembangkang bersama Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP. Maka apabila pakatan pembangkang menolak cadangan itu, bermakna mereka menolak idea di kalangan mereka sendiri bukannya menolak idea Barisan Nasional (BN) atau UMNO.

Tetapi malangnya, pakatan pembangkang kini cuba menggambarkan seolah-olah idea tersebut datang daripada UMNO. Malah sehingga sanggup melemparkan tohmahan bahawa ia adalah fitnah daripada UMNO dan merupakan usaha untuk menggugat kekuatan pembangkang.

Ternyata sekali kejayaan yang dicapai dalam pilihan raya umum lalu telah menyebabkan pakatan pembangkang menjadi angkuh sehingga fakta berhubung siapa sebenarnya yang mencetuskan idea kerajaan perpaduan berkenaan pun sanggup diputarbelitkan.

Bagi pembangkang, biarpun apa yang didakwa itu sebenarnya fitnah tetapi mereka yakin rakyat akan mempercayai apa yang mereka kata. Lanjutan itu, apabila mereka membuat kenyataan menolak idea itu, mereka tidak kata ia idea Pas tetapi datang daripada UMNO.

Kesudahannya Abdul Hadi sendiri turut menandatangani kenyataan bersama menolak cadangan kerajaan perpaduan - yang beliau sendiri cetuskan. Tidak cukup dengan itu, mereka juga menuduh idea penubuhan kerajaan perpaduan itu adalah tindakan terdesak UMNO untuk menggugat kekuatan pembangkang.

Persoalannya, siapakah sebenarnya yang terdesak? Selama ini biarpun terpaksa memerintah tanpa majoriti dua pertiga di Parlimen dan kehilangan kuasa di Kedah, Perak (selama 11 bulan) dan Selangor serta terus gagal menawan kembali Kelantan, BN tidak pernah berperangai "hemoi" - loghat utara bermaksud tebal muka - untuk berpakat dengan pembangkang.

Malah BN terus tabah memperbaiki kelemahan sendiri dan berusaha melaksanakan amanat yang diberikan oleh rakyat sebaik mungkin dengan UMNO terus kekal sebagai parti terkuat di negara ini apabila mempunyai 78 kerusi di Parlimen.

Tetapi UMNO bersikap terbuka apabila Abdul Hadi melontar idea kerajaan perpaduan kerana seperti mana kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak: "Kita tetap dengan pendirian bahawa apabila sesuatu yang baik itu untuk negara, ia mesti diusahakan bersama walaupun idea itu datang daripada pembangkang."

Oleh itu pembangkang termasuk Pas tidak harus mengamalkan sikap "membutakan mata dan hati" terhadap isu sebenar. Dalam hal ini, jangan secara tiba-tiba menuding jari mempersalahkan UMNO apabila idea Abdul Hadi itu ditolak oleh pakatan sendiri.

Kalau pun hendak bermain politik atau merasakan diri "sudah besar" berikutan kejayaan pada pilihan raya umum lalu, jangan sampai mengambil tindakan yang hanya memperbodohkan diri sendiri.

Budak sekolah rendah pun tahu bahawa idea kerajaan perpaduan adalah idea Abdul Hadi bukan idea UMNO dan bukan idea BN. Jadi tidak perlulah melakukan tohmahan kepada UMNO.

Berdasarkan kepada perkembangan itu, penulis merasakan UMNO dan BN juga tidak perlu lagi melayan sebarang pelawaan atau hasrat pembangkang untuk membincangkan apa juga perkara berkaitan dengan kepentingan rakyat dan negara. Kalau itu dilakukan juga, tidak mustahil sekali lagi pembangkang akan melemparkan tuduhan tidak berasas kepada UMNO.

Kerajaan Malaysia ditadbir oleh BN yang diterajui oleh UMNO. Biarlah BN memerintah walaupun terpaksa menempuh pelbagai cabaran dan dugaan. Jika selama ini BN sudah berniat baik apabila sikap terbuka terhadap idea Abdul Hadi, masanya sudah tiba untuk BN menutup apa juga pintu rundingan dengan pembangkang termasuk Pas.

Tidak usah terpedaya dengan "madah berhelah" Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menyatakan kesediaan bertemu dengan BN bagi membincangkan isu-isu melibatkan kepentingan rakyat dan negara.

Kalau pembangkang sudah merasakan mereka hebat, maka BN juga perlu mempunyai perasaan yang sama.

Memang benar sebagai orang Melayu, kita mahu melihat sekurang-kurangnya UMNO dan Pas duduk semeja tetapi ternyata dalam hal seumpama ini Pas tidak ikhlas. Pas lebih menitikberatkan soal hubungannya dengan pakatan pembangkang walaupun pertemuan dengan UMNO ialah untuk berbincang mengenai kepentingan Melayu dan umat Islam.

Maka biarlah Pas hanya menjadi anak kapal di atas bahtera pembangkang yang nakhodanya adalah PKR dan DAP. Tiada gunanya BN dan UMNO berniat baik kepada mereka, kalau akhirnya UMNO sendiri yang dipersalahkan.

Isu kerajaan perpaduan ini sudah jelas menampakkan bahawa pembangkang lebih mementingkan permainan politik daripada kesejahteraan rakyat. Segala-galanya mahu dipolitikkan dan akibat terlalu yakin bahawa mereka kini kuat, pembangkang tidak mahu berkompromi dalam apa juga perkara biarpun ia demi kebaikan negara apatah lagi untuk kepentingan bangsa Melayu.

Dalam soal ini, BN dan UMNO tidak rugi apa-apa. Kuasa pemerintahan tetap berada dalam genggaman. Penolakan pembangkang terhadap idea oleh rakan mereka sendiri sama sekali tidak menjejaskan kemampuan BN. Sebaliknya, ia menonjolkan wajah sebenar pakatan itu terutamanya Pas yang jelas hanyalah pengikut PKR dan DAP.

Pas seolah-olah tidak ada suara, hatta untuk mempertahankan idea Presiden sendiri.

Oleh itu, tidak perlulah UMNO hendak bekerjasama atau berbincang dengan manamana juga parti yang dilihat tidak mempunyai prinsip yang tegas.

BN seperti mana kata Perdana Menteri, tetap berupaya mentadbir negara ini dan ia sudah dibuktikan sejak selepas pilihan raya umum lalu. Pentadbiran negara berjalan dengan lancar dan setiap krisis berjaya ditangani dengan bijaksana. Semua kejayaan itu tidak melibatkan pembangkang.

Apa yang pembangkang tahu sepanjang tempoh tersebut hanyalah merancang menubuhkan kerajaan melalui pintu belakang berdasarkan "Perancangan 16 September" yang gagal.

Pembangkang juga dengan sewenang-wenangnya menuduh apa sahaja masalah di negara ini sebagai kelemahan BN hatta dalam krisis ekonomi yang turut melanda dunia.

Malaysia bernasib malang kerana mempunyai pembangkang seumpama ini yang hanya tahu melihat segala-galanya dari sudut politik semata-mata.

Idea kerajaan perpaduan adalah sesuatu yang baik dan setiap usaha yang baik itu sudah tentu akan diberkati Allah. Tetapi ia tidak akan sampai ke mana kalau manusia sendiri awal-awal lagi sudah "menjatuhkan hukuman" dengan menyifatkan ia sebagai niat jahat bagi menggugat kekuatan mana-mana kelompok.

Kini idea berkenaan hanya akan menjadi catatan dalam lipatan sejarah politik tanah air. Biarlah ia berlalu begitu sahaja kerana sejak awal lagi banyak pihak sudah menjangka ia tidak akan menjadi kenyataan. Ramai yang sudah memahami di mana kedudukan sebenar Pas dalam pakatan pembangkang dan betapa hebatnya kekuatan DAP dan PKR. Kita pasti Pas selama-lamanya akan menjadi pak turut jika tidak berani mempertahankan pendirian.

PENULIS ialah Pengarang Rencana Mingguan Malaysia.

2 ulasan:

  1. Salam Bro

    Kalau dah selalu bercakap bohong...selamanya akan berbohong..dah macam jadi barah dalam darah daging...kita anggap aje yang menyokong Pembelit Rakyat ni kurang cerdik walaupun dah diberi pendidikan ketahap yang paling tinggi...sendiri mahu ingatlah hukum kalau kita suka menipu/bohong...Fitnah tu

    BalasPadam
  2. Aslkum bro...

    Salam ziarah,,memang dah perangai PAS mcm tu dok jaja fitnah sana-sini. Nik Aziz sendiri pernah berkempen di Kuala Krai maalm Isnin lalu dengan mencerca UMNO serta menyamakan UMNO seperti "Ayah PIN"..bukankah itu merupakan fitnah yang disampaikan oleh seorang bergelar ulama

    BalasPadam