Halaman

Selasa, Jun 02, 2009

Pemilihan PAS -Persaingan golongan haluan sederhana dan konservatif

Oleh Ismail Mat dan Jamhariah Jaafar
rencanabh@bharian.com.my

BAHANG pemilihan barisan kepemimpinan baru Pas, kian terasa. Jika pemilihan dalam Pas dua penggal lalu, disifatkan pertembungan antara golongan profesional muda dengan ulama mewakili golongan tua, pemilihan kali ini dilihat lebih kepada saingan antara puak profesional liberal dengan golongan agama yang lebih cenderung mempertahankan jati diri asas penubuhan parti itu.

Ramai penganalisis politik sukar melarikan diri daripada melabel persaingan yang bakal berlaku sebagai ‘ulama vs profesional’, ‘Pas-Umno vs Pas-PKR’ atau calon proksi Umno atau calon proksi Anwar Ibrahim.

Tiada siapa terkejut dengan keghairahan Pas untuk menggembar-gemburkan berita mengenai pemilihan barisan kepemimpinan barunya, apa lagi calon yang bakal bertanding ramai yang suka publisiti dan tidak lagi teragak untuk menggunakan media arus perdana bagi menyerlahkan kewibawaan mereka sebagai pemimpin.

Bagi orang luar, perhatian sudah pasti tertumpu kepada pertarungan antara kepemimpinan ulama yang selama ini menjadi tonggak kekuatan Pas dengan golongan profesional yang berharap dapat membawa parti itu ke era yang lebih baik.

Kegagalan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, mendapat kuota untuk bertanding, membolehkan Datuk Seri Abdul Hadi Awang, terus menjadi Presiden yang disandangnya selepas kematian Datuk Fadzil Noor pada 2002.

Tumpuan pemilihan Pas yang akan diadakan di Stadium Malawati Shah Alam bermula Khamis ini sudah pasti bagi jawatan Timbalan Presiden yang kali pertama menyaksikan saingan tiga penjuru antara penyandangnya, Nasharuddin Mat Isa, yang juga Ahli Parlimen Bachok; pemimpin veteran, Mohamad Sabu atau lebih dikenali sebagai ‘Mat Sabu’ dan Ahli Dewan Undangan Negeri Salor, Datuk Husam Musa.

Umum mengetahui mengenai pergolakan dalaman membabitkan lapisan kedua kepemimpinan Pas yang kini diterjemah dalam persaingan jawatan kedua tertinggi parti itu.

Antara ketiga-tiga pemimpin muda ini, Husam ternyata lebih ‘mesra media’ termasuk media arus perdana. Bekas Adun Kijang dan Ahli Parlimen Kubang Kerian ini juga dilihat umum sebagai lebih pro kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) atau lebih tepat pro Anwar Ibrahim.

Exco kerajaan negeri Kelantan yang tidak teragak-agak untuk menonjolkan bakat kepemimpinannya pada peringkat pusat ini dan tindakannya mengadakan sidang akhbar di ibu pejabat Pas di Kuala Lumpur untuk mengumumkan keputusan bertanding jawatan timbalan presiden, sudah cukup untuk menenggelamkan populariti dua lagi pesaingnya di kalangan pengamal media massa.

Tetapi agak mengejutkan di kala ramai menganggap beliau seorang yang liberal dan boleh membawa Pas ke pentas yang boleh diterima penyokongnya yang Islam dan bukan Islam, Husam mengambil pendekatan mengkritik Nasharuddin.

“Saya menganggap penyandang jawatan sekarang (Nasharuddin) juga liberal tetapi terlalu liberal (condong) kepada Umno adalah sesuatu yang tidak boleh diterima. Pada pendapat saya, Pas perlu berada di tengah, bukan bersikap terbuka kepada Umno atau untuk menyelamatkan Umno,” kata Husam.

Populariti Husam yang dikaitkan dengan kumpulan Erdogan, mencetus kebimbangan di kalangan golongan ulama yang tidak mahu perjuangan untuk membentuk sebuah negara Islam tenggelam dalam keghairahan membentuk sebuah Kerajaan Pakatan Rakyat bersama sekutu mereka - PKR dan DAP.

Ada yang menyifatkan Husam sebagai pembawa ‘virus Anwar Ibrahim’ dan virus itu kini membawa konflik dalaman yang serius antara golongan haluan sederhana dan konservatif di dalam Pas.

Namun, amaran Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr Haron Din supaya parti itu harus berhati-hati terhadap usaha ‘musuh dalam selimut’, termasuk yang ditaja oleh Umno atau negara asing, di kalangan pemimpin yang bakal menguasai pucuk pimpinan parti, perlu direnungi.

Baginya, musuh-musuh parti berpeluang menaikkan pemimpin tertentu melalui liputan meluas di media seperti yang terjadi menjelang muktamar kali ini, kerana percaya faktor kemenangan dalam pemilihan parti ialah kekerapan liputan dalam akhbar seperti Harakah atau media-media lain.

“Justeru, musuh berpeluang besar mempromosikan individu-individu tajaan mereka bagi mendapatkan kemenangan dalam pertandingan parti ini. Keahlian terbuka Pas ini akan membuka peluang besar kepada Umno dan musuh luar negara untuk meramaikan ahli Pas bagi tujuan mempengaruhi pemilihan Pas atau memenangkan musuh Islam yang sedang berada di dalam,” katanya pada seminar sehari kepimpinan ulama di Markaz Tarbiyah Pas di Gombak baru-baru ini seperti dipetik oleh portal berita.

Meskipun boleh diagak siapa dimaksudkan Dr Haron, tetapi apakah benar seperti diperkatakannya itu.

Husam sebagai naib presiden yang mendapat undi tertinggi pada muktamar lalu, pastinya anak didik Nik Abdul Aziz yang rapat dengan Penasihat PKR Anwar, tidak mahu tewas dalam percaturan selanjutnya.

Kemenangan dalam pemilihan kali ini adalah penting untuk Husam terus relevan dalam politik Pas, sama ada dalam konteks pakatan pembangkang atau hieraki pentadbiran Pas Kelantan menjelang percaturan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti, apatah lagi beliau adalah antara nama yang sering dikaitkan sebagai pengganti jika mentornya, Nik Abdul Aziz, tiada dalam politik Kelantan suatu hari nanti.

Sesungguhnya, persaingan kerusi timbalan presiden Pas pada muktamar kali ini mempunyai banyak implikasi jangka panjang yang memerlukan perwakilan ke muktamar nanti membuat pendirian jelas, sama ada mahu mengekalkan Pas kekal di bawah tradisi kepemimpinan ulama yang dimulakan sejak 1982 atau sedia menerima kepemimpinan golongan profesional liberal pada masa depan.

Sejarah pemilihan Pas menyaksikan dua jawatan tertinggi, presiden dan timbalan presiden parti itu hanya diisi pemimpin yang mempunyai latar belakang agama atau ulama, sambil disokong barisan naib presiden yang menggabungkan pelbagai latar belakang.

Justeru, perwakilan Pas perlu membuat pilihan sama ada mahu mengekalkan ulama untuk terus memimpin parti itu pada masa depan atau bertukar selera kepada golongan profesional yang bukan ulama sebagai pemimpin mereka pada masa depan.

Terpulang kepada perwakilan Pas untuk menilai terutama apa yang dikatakan oleh Dr Haron. Apakah orang ini digunakan oleh orang luar yang dianggap beliau menjadi musuh dalam selimut yang menggugat kepemimpinan ulama dalam Pas?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan