Halaman

Ahad, Jun 07, 2009

Us Nasha tak sangka dapat sokongan besar



Nasharuddin Mat Isa

KELOMPOK ulama yang diwakili Nasharuddin Mat Isa akhirnya dipilih mengekalkan jawatannya sebagai orang nombor dua Pas selepas berjaya mengetepikan dua wakil kumpulan pembaharuan atau Erdogan yang juga bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu dalam pemilihan pada Muktamar Tahunan Pas ke-55 di Shah Alam, semalam. Wartawan Berita Minggu, WAN JAILANI RAZAK dan TUAN NAZURI ISMAIL mendapatkan ulasan Nasharuddin mengenai kemenangannya itu. 

TAHNIAH YB kerana berjaya mengekalkan jawatan Timbalan Presiden Pas. 

Ini adalah keputusan yang dibuat perwakilan. Saya serahkan sepenuhnya kepada perwakilan untuk membuat pilihan siapa saja yang mahu dipilih. Pertandingan ini bukan antara musuh tetapi pertandingan antara sahabat dalam parti.

Adakah kemenangan ini menandakan perwakilan Pas mahu ulama menerajui parti. 


Jika dilihat kombinasi Ahli Jawatankuasa (AJK) Pusat, keputusan ini agak seimbang dengan pemimpin pelbagai latar belakang. Ada ulama dan bukan. Keputusan ini manifestasi untuk Pas dipimpin secara bergabung. Seperti kata Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, kepemimpinan Pas bersifat kolektif. 

Adakah YB akan meneruskan agenda terdahulu, termasuk mengadakan muqabalah (perbincangan)

Seperti ucapan dasar Presiden, kita tidak pernah menutup pintu untuk perbincangan dengan sesiapa saja, termasuk badan bukan kerajaan (NGO), parti politik atau gerakan Islam. Pintu perbincangan tidak akan ditutup dengan sesiapa pun. Kita akan terus berbincang. 

Kemenangan YB ini dilihat selari dengan kehendak Presiden parti yang mencadangkan kerajaan perpaduan. 

Perwakilan tidak terikut dengan mainan media sepanjang tempoh sebulan ini. Mereka datang dengan satu keputusan dan persiapan. Saya rasa mereka tahu arah mana parti patut dibawa. 

Apakah komitmen peribadi YB terhadap Pakatan Rakyat.

Kita akan meneruskan dan berusaha meningkatkan kerjasama yang menjadi dasar parti. Kita teruskan agenda yang sudah ditetapkan parti. 

Datuk Husam Musa kata bukan mudah untuk kepemimpinan Pas meneruskan perbincangan dengan Umno. 

Bukan mudah atau tidak mudah bukan menjadi persoalan. Tetapi kita tidak pernah menutup pintu perundingan dengan pihak luar. 

Tetapi parti dalam Pakatan Rakyat tidak selesa dengan kerajaan perpaduan ini. 

Kita bercakap mengenai isu yang memberi manfaat kepada kerajaan kecuali ada keputusan besar yang perlu dibawa semula untuk dibincangkan pada peringkat parti dan kepemimpinan Pakatan Rakyat. 

Husam mendakwa wujud unsur dalaman dalam Pas menjatuhkan beliau. 

Saya ambil sikap tidak membuat sebarang komen. Ramai rakan media yang marah kerana saya ambil sikap ini. Saya tidak mahu guna media untuk berkempen. Ini urusan dalaman parti biar ahli parti yang buat keputusan. 

Bagaimana YB mahu meyakinkan ahli parti yang setuju dengan idea Husam bahawa Pas tidak patut berbincang dengan Umno. 

Dalam parti bukan seorang boleh membuat keputusan, apa lagi jika membabitkan dasar. Ia harus kembalikan ke muktamar. Sebarang perubahan besar membabitkan parti, muktamar sebagai kuasa tertinggi akan tentukan. 

YB menang dengan majoriti yang besar. 

Berdasarkan apa yang sudah saya buat dalam parti sejak empat tahun lalu seperti meningkatkan imej parti pada peringkat domestik dan antarabangsa dan membawa parti hingga tahap ini, saya memang yakin akan menang. Tetapi tidak sangka boleh menang seperti ini. 

Nampak berlaku perpecahan dalam parti selepas pemilihan. Bagaimana untuk rapatkan balik hubungan. 

Ini bukan pertama kali (pemilihan). Pemilihan sering berlaku. Ada yang menang dan kalah. Selepas berlaku perubahan, barisan saf akan dirapatkan semula dan tumpuan kita selepas ini ialah Pilihan Raya Umum ke-13, memantapkan Pakatan Rakyat, pamerkan keupayaan tadbir lima negeri dan persembahkan kepada rakyat kemampuan kita. 

Wujud percanggahan mengenai isu kerajaan perpaduan. Adakah ahli tidak mendapat maklumat cukup. 

Beberapa negeri bahas isu ini dan minta pintu perbincangan tidak ditutup. Sudah tentu maklumat lanjut tidak diperoleh dan kerana itu Presiden parti minta isu ini ditangguhkan sehingga maklumat lanjut diberikan kepada semua ahli. 

Adakah benar Pas mahu menjadi ketua dalam Pakatan Rakyat. 

Pakatan Rakyat membabitkan ramai pemimpin antara tiga parti. Banyak isu besar yang dibincangkan bersama pada majlis Presiden yang diuruskan sekretariat yang sudah ada dan aktif. Apabila tiga parti berbeza ideologi bergabung sudah tentu keputusan tidak boleh buat berseorangan. Perlu ada pihak yang menjadi ketua. 

DAP dan PKR tidak setuju dengan kerajaan perpaduan kerana perkara itu dakwa mereka tidak pernah dibincangkan. 

Sebenarnya kenyataan Presiden disalah petik. Beliau menyebut perbincangan dan bukan keputusan kepada satu dasar. Hanya berbincang. Belum ada dasar konkrit. Sebarang reformasi yang hendak dibuat perlu diperhalusi. 

Bagaimana YB melihat apabila sebahagian besar jawatan tertinggi Pas dimonopoli ulama. 

Ini bukan keputusan seorang. Bertepatan dengan parti Islam, kita mahu menyelesaikan masalah berdasarkan prinsip Islam. Kita tidak nafikan ada yang bukan golongan ulama tetapi jika berbalik kepada asasnya, kita mahu pemimpin yang tahu hukum syarak dan syariah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan