SHAH ALAM – Bekas Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Mohamad Ezam Mohd Nor menyifatkan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail gagal memikul tanggungjawabnya sebagai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam menangani kemelut yang melanda parti itu.
Katanya, kegagalan Dr Wan Azizah memberi penjelasan mengenai beberapa perkara berhubung kes liwat membabitkan Ketua Umum PKR, yang juga suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menjadi asas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah meninggalkan parti dan mengisytiharkan diri sebagai wakil rakyat Bebas.
Katanya, keputusan Badrul meninggalkan PKR mempunyai asas yang sama seperti tindakannya meninggalkan parti itu tahun lalu.
“Jika kita meragui moral pemimpin kita, sudah semestinya kita kena buat keputusan yang sukar. Tindakan keluar parti adalah salah satu daripadanya. Itulah juga asas keputusan saya keluar dari PKR dahulu,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Ezam berkata, sebagai presiden parti dan orang paling dekat dengan Anwar, Dr Wan Azizah patut menjelaskan kepada Badrul mengenai persoalan berhubung skandal suaminya.
“Memang kita faham beliau ada tanggungjawab melindungi suaminya, tetapi sebagai presiden, beliau juga perlu bertanggungjawab kepada ahli parti dan memberi penjelasan kepada ahli mengenai beberapa isu yang meragukan,” katanya.
Ditanya sama ada selepas ini akan ada lebih ramai ‘rakannya’ atau wakil rakyat PKR meninggalkan parti itu, Ezam berkata, beliau akan terus berdoa kerana kesedaran ini membabitkan asas prinsip moral dan Islam yang seharusnya menunjangi perjuangan setiap pemimpin.
“Saya berharap Allah SWT akan membuka hati lebih ramai lagi untuk meletakkan asas moral dan Islam sebagai keutamaan nombor satu. Jangan sesekali kerana kepentingan politik kita menyisihkan moral dan Islam, kerana dakwaan terhadap Anwar amat berat dan sudah semestinya pemimpin PKR yang lain juga menuntut penjelasan,” katanya.
Beliau juga membidas dakwaan pihak yang mengaitkan pengaruhnya atas keputusan Badrul yang dikatakan mengikut jejak langkahnya dan menyatakan sokongan kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Menurutnya, keputusan tersebut adalah atas pertimbangan Badrul sendiri dan beliau berharap semua pihak menghormati tindakan Badrul itu.
“Sebelum ini memang Badrul pernah minta pandangan saya, tetapi ini keputusan beliau sendiri dan ia amat besar maknanya,” katanya.
Kelmarin, pada sidang medianya Badrul berkata, kes liwat membabitkan Anwar adalah antara sebab beliau keluar PKR termasuk meragui tindakan Anwar yang menurutnya sengaja melengah-lengahkan perbicaraan dan enggan menjelaskan perkara itu kepada ahli-ahli parti.
sumber - sinar
harap lebih ramai lagi akan sedar.
BalasPadam