Halaman

Rabu, November 03, 2010

Bila rakyat nak jumpa, kerajaan DAP cabut!!!

PULAU PINANG 2 Nov. - Hasrat Pemuda UMNO mahu menyerahkan kembali 'wang judi' kerajaan negeri yang diberikan kepada fakir miskin sempena Ramadan lalu, tidak kesampaian kerana pelbagai kerenah ditetapkan untuk tujuan itu.

Ketuanya, Norman Zahalan berkata, selain tiada wakil kerajaan negeri yang mahu menerima wang tersebut, mereka juga diminta menyerahkan wang tersebut kepada pejabat-pejabat daerah yang terlibat.

"Kami juga diminta mengisi borang tertentu bagi memudahkan proses penyerahan itu pada masa akan datang," katanya selepas berjumpa dengan wakil kerajaan negeri di bangunan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Menurutnya, RM30,000 telah diserahkan oleh warga emas dan fakir miskin kepada UMNO negeri kerana mereka tidak mahu menerima sumbangan yang datang daripada sumber judi.

Terdahulu, suasana semasa proses hendak memulangkan wang tersebut juga tegang apabila 'sesi rundingan' antara Norman dengan dua wakil kerajaan DAP Pulau Pinang berlaku pertengkaran.

Dua wakil kerajaan DAP Pulau Pinang yang terlibat masing-masing merupakan Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri (TKM) I, Datuk Mansor Othman dan TKM II, P. Ramasamy iaitu Rezal Huzairi dan M. Satees.

Malah, Norman turut mengalami kesukaran memasuki kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Lebuh Light di sini.

Namun setelah meminta beberapa kali kepada wakil kerajaan DAP Pulau Pinang, beliau akhirnya dibenarkan masuk.

Bagaimanapun, hasratnya untuk menyerahkan wang yang dipulangkan warga emas dan fakir miskin itu tidak dihiraukan kerana didakwa tidak mengikut prosedur yang betul.

Norman menyifatkan tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang yang sering melaungkan prinsip cekap, akauntabiliti dan telus (CAT), sebagai tidak bertanggungjawab.

"Saya hanya pemegang amanah kepada duit ini, jadi hari ini saya mewakili mereka mahu memulangkannya kepada kerajaan negeri, tetapi mereka tak nak terima pula.

"Sebelum ini mereka selalu sangat tanya bila kita nak serahkan duit ini tetapi apabila kita hendak beri balik, mereka tak mahu pula, macam-macam pula kerenah mereka," katanya.

Sehubungan itu, beliau bercadang meminta wakil-wakil rakyat Barisan Nasional (BN) menyerahkan wang tersebut kepada kerajaan DAP Pulau Pinang apabila DUN bersidang semula minggu depan.

1 ulasan: