Halaman

Sabtu, Mac 22, 2014

#PRKKajang : Selangor bakal mendapat MB wanita pertama.. kroni juga..

wan azizah n kahlis ibrahim apOleh : Klxpress
Sebenarnya bukanlah mudah untuk merungkaikan Pilihanraya kecil N25 Kajang ini. Rakyat dan pengundi Kajang perlu mengimbau kembali kepada mengapa perlunya PRK ini dijalankan.
Kronologi kisah yang membawa kepada hari pengundian ini bermula pada 10 Januari 2014 apabila Azmin Ali mula mengirimkan posting tweet beliau yang mengumumkan beliau ditamatkan kontrak selaku Ahli Lembaga Pengarah PKNS. Minggu-minggu berikutnya terdapatlah beberapa siri kenyataan yang tidak konsisten daripada Khalid dan Azmin berkenaan penamatan kontrak tersebut.
Perkara ini diheret sehinggalah menyebabkan 2 individu berjawatan tinggi di dalam PKNS turut ditukarkan ke SUK Negeri. Mesyuarat demi mesyuarat telah dijalankan dan minit-minit mesyuarat yang lampau dibongkar semula. Akhirnya diketemui bahawa terdapat permohonan untuk membaharui kontrak baharu Azmin tetapi perkara itu tidak dibincangkan di dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri Selangor.
Dengan penangguhan perbincangan itu, maka tarikh akhir kontrak lama itu berlalu dan Azmin ditamatkan perkhidmatannya. Lebih mengejutkan lagi, tragedi selepas ini menyaksikan 22 orang pegawai kontrak PKNS turut ditamatkan perkhidmatan mereka semata-mata kerana mereka adalah lantikan rekomendasi daripada Azmin.
Fokus media terhadap pergaduhan antara Azmin dan Khalid ini berakhir dengan pengumuman perletakan jawatan Lee Chin Cheh, ADUN PKR Kajang. Pelbagai spekulasi tentang mengapa beliau meletakkan jawatan akhirnya terjawab apabila DS Anwar Ibrahim pula mengumumkan untuk mengisi kekosongan kerusi tersebut. Terpancar jelas niat DS Anwar Ibrahim untuk menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.
PKR telah mengheret rakyat dan pengundi Kajang untuk menyelesaikan kemelut dalaman parti mereka.
Namun, sehari sebelum penamaan calon, DS Anwar Ibrahim telah disabit kesalahan meliwat Saiful Bukhari dan dijatuhkan hukuman penjara 5 tahun. Lantas, kelayakan beliau untuk bertanding di Kajang telah hilang. Di sinilah Wan Azizah yang berusia 62 tahun diheret masuk ke dalam kancah politik suaminya apabila beliau diarahkan untuk bertanding sebagai calon PKR di Kajang.
Persoalan yang ditimbulkan oleh semua kelompok masyarakat termasuk penganalisis politik antarabangsa dan tempatan, adakah Wan Azizah bakal menggantikan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor?
Sekiranya tidak, maka sia-sialah Lee Chin Cheh meletakkan jawatan beliau. Segala alasan PKR yang mengosongkan jawatan tersebut untuk memperkasakan negeri Selangor menjadi tidak munasabah sekiranya Wan Azizah yang bakal mewakilkan DUN tersebut. Manifesto yang dicanangkan untuk DUN Kajang juga menjadi tidak munasabah kerana langsung tidak menyebut apakah tujuan kerusi itu dikosongkan,walhal Lee Chin Cheh tidak perlu meletakkan jawatan untuk menjalankan seperti apa yang disebut oleh manifesto tersebut.
Sekiranya Wan Azizah benar mahu menggantikan Khalid Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor, apakah pula pengalaman yang beliau ada untuk mentadbir negeri yang kompleks seperti Selangor. Dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat, tuntutan rakyat dan industri semakin meningkat dan pelbagai masalah yang melibatkan pertembungan budaya antara bangsa dan agama, mana mungkin Wan Azizah mampu mengendalikan pentadbiran negeri itu.
Khalid Ibrahim yang mempunyai pengalaman korporat selama berbelas tahun juga menghadapi masalah untuk mengendalikan negeri tersebut sehingga menyebabkan pelbagai masalah seperti masalah bekalan air bersih, perselisihan antara gereja dan umat Islam, infrastruktur rosak dan tidak berbaiki seperti jalan raya berlubang, masalah sampah sehingga menyebabkan kes denggi semakin parah dan pelbagai lagi masalah lain.
Ketika ini, rakyat Kajang mempunyai kuasa untuk menentukan siapa bakal menjadi Menteri Besar Selangor. Sekiranya benar Wan Azizah mahu menjadi Menteri Besar, maka bersedialah untuk berhadapan dengan krisis yang lebih besar di Selangor. Sekiranya tidak, maka seluruh negara telah tertipu dengan PKR dan satu pembaziran secara besar-besar telah dilakukan oleh PKR.
Di dalam hal ini, pengundi Cina lebih menggunakan rasional berbanding dengan pengundi Melayu kerana terlalu diapi-apikan oleh Anwar Ibrahim dan pemimpin pembangkang yang lain. Sentimen pengundi Cina yang mahukan suara mereka didengari dan tuntutan mereka dipenuhi pasti tidak dapat tercapai sekiranya Wan Azizah menjadi ADUN Kajang. Cuba lihat sahaja logik yang wujud dan apakah tindakan yang menguntungkan bagi warga Kajang?
Apa-apa pun, gunakanlah hak untuk berfikir sebelum menggunakan hak untuk mengundi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan