KUALA KANGSAR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak
dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada Khamis memberi penghormatan terakhir
kepada Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah, yang mangkat pada Rabu.
Najib yang sedang dalam rangka lawatan rasmi ke China, tiba
di Balairong Seri Istana Iskandariah, Bukit Chandan di sini pada 9 pagi dan
akan kembali ke Beijing untuk menyambung lawatan enam hari yang bermula Selasa
sempena ulang tahun ke-40 hubungan diplomatik antara Malaysia dan China.
Beliau diiringi Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah dan
Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan turut bertemu kerabat diraja
Perak untuk merafak sembah ucapan takziah atas kemangkatan baginda.
Istiadat penghormatan terakhir dimulakan dengan kumpulan
orang awam dari pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi sebelum disusuli orang kenamaan,
menteri, timbalan menteri, menteri besar, ketua menteri dan perwakilan asing
dari 11.45 pagi hingga 1.15 tengah hari.
Ini diiikuti Raja-Raja Melayu, Yang Dipertua Negeri, Ketua
Negara dan Ketua Kerajaan dari 1.30 tengah hari hingga 2.15 petang.
Antara yang terawal tiba adalah pengerusi Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar, Presiden dan Ketua
Pegawai Eksekutif Kumpulan Sapura Kencana, Tan Sri Shahril Shamsuddin dan exco
kerajaan negeri Perak.
Presiden Gerakan, Datuk Mah Siew Keong menghentikan seketika
kempennya untuk Pilihan Raya Kecil Teluk Intan bagi menghormati pemergian
Sultan Perak itu.
Sultan Azlan Shah, 86, mangkat pada pukul 1.30 tengah hari
Rabu dan jenazah baginda akan dimakamkan di Makam Diraja Kuala Kangsar selepas
solat Asar pada Khamis.
Jenazah baginda kini disemayamkan di Balairong Seri Istana
Iskandariah, Kuala Kangsar untuk penghormatan terakhir.
Baginda memerintah Perak selama tiga dekad sejak ditabalkan
pada 3 Februari 1984.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan