Halaman

Selasa, Oktober 21, 2014

Elakkan ditipu PKR - fahami kronologi kes liwat



PUTRAJAYA – Mahkamah Rayuan menolak dakwaan bahawa rayuan pihak pendakwaan dalam kes liwat membabitkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan diputuskan dalam keadaan tergesa-gesa.

Sebaliknya, penetapan tarikh pendengaran pada 6 dan 7 Mac lalu dibuat tanpa sebarang bantahan oleh mana-mana pihak yang terlibat sewaktu pengurusan kes di hadapan Hakim Datuk Aziah Ali pada 28 Februari lalu.

Selain itu, panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Balia Yusof Wahi dalam penghakiman bertulisnya menyatakan, kebanyakan penangguhan dalam kes tersebut terjadi adalah disebabkan oleh tindakan Ketua Pembangkang itu sendiri selaku responden antaranya memfailkan satu demi satu permohonan.

“Pendengaran kali pertama rayuan telah ditetapkan pada 22 Julai 2013 dengan kedua-dua pihak sepatutnya memfailkan hujahan bertulis masing-masing. Bagaimanapun, hanya pihak perayu (pendakwaan) telah memfailkan hujahan bertulis iaitu pada 18 Julai 2013 bersama-sama dokumen-dokumen berkaitan.

“Pihak Mahkamah hanya menerima hujahan bertulis responden yang pertama pada 12 Februari 2014 dan satu lagi hujahan bertulis pada hari pertama pendengaran iaitu pada 6 Mac lalu,” menurut panel tersebut dalam penghakiman kes itu yang diperoleh pihak media hari ini.

Menurut mahkamah, adalah menjadi kepentingan awam bahawa rayuan kes jenayah dikendalikan oleh mahkamah secepat mungkin.

Ujar panel itu, adalah tidak wajar bagi peguam yang mengendalikan kes seringkali gagal mempercepatkan pendengaran rayuan semata-mata untuk kesenangan anak guamnya atau bertujuan menyebabkan pihak satu lagi gagal mendapatkan keadilan yang sewajarnya.

“Seringkali dinyatakan bahawa melengahkan adalah taktik utama pembelaan. Peguam bela tidak sepatutnya dengan niat menggunakan prosedur sebagai alat untuk melengah-lengahkan prosiding tanpa sebarang asas undang-undang,” kata mereka.

Sementara itu, menurut rekod, kes tersebut telah ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar sebanyak sembilan kali selepas petisyen rayuan difailkan pada 9 Julai 2012.
Pendengaran kali pertama ditetapkan pada 22 Julai 2013 dengan panel tiga hakim yang diketuai oleh Datuk Ramly Ali. Pendengaran itu bagaimanapun ditangguhkan ekoran peguam utama Karpal Singh yang mewakili Anwar dimasukkan ke hospital kerana sakit belakang.

Pada pengurusan kes ke-10, peguam responden memaklumkan bahawa pihak mereka akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan peguam, Tan Sri Dr. Muhammad Shafee Abdullah daripada mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan tersebut.

Pada 23 Ogos 2013, permohonan tersebut difailkan dan ditetapkan untuk pendengaran pada 17 September tahun sama.

Bagaimanapun, pada tarikh pendengaran itu, Karpal memohon agar Hakim Datuk Tengku Maimun Tuan Mat menarik diri daripada mendengar permohonan itu berikutan beliau pernah mengetuai panel dalam satu kes saman fitnah oleh Anwar terhadap bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Secara keseluruhan, Anwar memfailkan tiga permohonan agar Muhammad Shafee disingkirkan daripada mengetuai pasukan pendakwaan, namun setiap permohonan itu ditolak sehingga ke peringkat tertinggi bermula Ogos 2013 sehingga Mac tahun ini.

Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga memfailkan permohonan untuk memanggil semula bekas pegawai penyiasat kes itu, Supritendan Judy Balcious Pereira bagi mencabar kredibiliti saksi pendakwaan ke-15 itu. Permohonan itu juga ditolak sehingga peringkat tertinggi





sumber : the unspinner

Tiada ulasan:

Catat Ulasan