Halaman

Ahad, Disember 14, 2014

Keputusan buku Kristian dirampas terserah kepada Peguam Negara, kata polis Johor

cyril_mannayagam_church_FBpic
Paderi Cyril Mannayagam berucap di sebuah gereja, dalam gambar yang dimuat naik di laman Facebook miliknya. Cyril berkata buku-buku agama yang dirampas pihak polis adalah bagi kegunaan penganut Katolik Orang Asli di kawasannya. – 14 Disember, 2014.

Jabatan Peguam Negara akan memutuskan samada 31 naskhah buku agama Kristian yang menggunakan nama "Allah" perlu dikembalikan kepada pemiliknya atau tidak, kata polis Johor hari ini.
Timbalan Ketua CID Johor, Assistant Commissioner Dennis Lim mengesahkan buku bertajuk "Mari Kita Memuji Allah" itu dirampas pada 5 Disember lalu sebagai sebahagian dari penyiasatan polis.
Kes itu disiasat di bawah Sekssyen 298A Kanun Keseksaan, kerana menyebabkan ketidakharmonian, perpecahan, atau merasa tidak senang, kebencian atau sakit hati tentang agama.
Lim mendedahkan kes itu dirujuk kepada timbalan pendakwaraya pada 7 Disember dan sedang menunggu jawapan.
"Kita tidak boleh membuat keputusan tentang buku ini sehingga timbalan pendakwaraya memberi jawapan," kata Lim.
Lim juga menafikan paderi Katolik, Father Cyril Mannayagam, ditahan, sebaliknya hanya kenyataan beliau dirakamkan sebelum beliau dibenarkan pergi.
"Merakamkan kenyataan adalah sebahagian dari siasatan polis. Cyril dibenarkan pergi selepas kenyataannya diambil," kata Lim.
Lim berkata pada 5 Disember lalu, polis mendapat maklumat buku itu dijual di sebuah kedai buku yang terletak di hadapan Ibu Pejabat Polis Ledang di Tangkak, dan bukan berlaku di Muar, Johor seperti dilaporkan.
"Polis pergi ke kedai buku itu untuk mengesahkan mengenainya, adakah dijual di situ dan siapa pembelinya," jelas Lim.
Bila Cyril sampai selepas makan tengahari, dia diminta ke Ibu Pejabat Polis Ledang untuk dirakamkan kenyataannya.
Lim berkata, selepas disoal satu hingga dua jam, Cyril dibenarkan pergi tetapi buku yang dirampas tidak dikembalikan.
The Malaysian Insider pagi ini melaporkan Cyril ditahan bersama 30 naskhah buku miliknya yang dikatakan bagi kegunaan Orang Asli di bawah seliaannya.
Cyril, 44, berkata, walaupun polis tidak meneruskan kes terhadapnya, buku itu dirampas dan masih belum dikembalikan kepadanya.
"Saya memberitahu mereka ia untuk kegunaan gereja di kawasan saya, dan saya mahu gunakannya untuk pengikut Orang Asli di Bekok, Tangkak," kata paderi Gereja St. Andrew di Muar itu kepada The Malaysian Insider.
Cyril, yang sudah lima tahun menjadi paderi, berkata buku itu dihantar untuk dibuat salinan kira-kira jam 1 petang di Tangkak pada 5 Disember lalu sebelum kembali empat jam kemudiannya untuk mengambilnya.
"Bila saya sampai semula di kedai, penjaga kaunter berkata ada dua anggota polis sedang menunggu saya di luar kedai. Jadi saya pergi bertemu mereka.
"Mereka bertanya sama ada buku itu milik saya dan saya jawab ya. Kemudian mereka tanya saya sudah membuat pembayaran atau belum," katanya.
Selepas pembayaran dibuat, dua lelaki itu mengenalkan diri sebagai anggota polis serta mengarahkannya mengikut mereka ke balai. – 14 Disember, 2014.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan