Halaman

Selasa, April 15, 2008

DAP bantah kenyataan Nik Aziz

Oleh suffian abu bakar

MUAR 14 April - Bibit-bibit perpecahan gabungan pakatan pembangkang semakin 'kelihatan' apabila DAP hari ini membidas sikap pemimpin Pas yang mendakwa pakatan tersebut akan menerima undang-undang Islam termasuk hukum hudud.

Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo berkata, DAP kesal dengan kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa pakatan itu akan menerima undang-undang Islam yang diketengahkan oleh Pas kerana ia tidak berasas sama sekali.

Sebaliknya, Setiausaha Biro Perundangan DAP itu berkata, DAP tetap dengan pendirian bahawa mereka tetap menolak kerajaan Islam yang dibawa oleh Pas dan akan terus berpegang kepada prinsip negara sekular.

"Kenyataan yang dibuat oleh Menteri Besar Kelantan itu tidak menggambarkan pendirian semua ahli pakatan pembangkang kerana kami tidak menyokong langkah kerajaan negeri itu melaksanakan undang-undang Islam.

"Sebaliknya, DAP ingin mempersoalkan bahawa Pas perlu melaksanakan terlebih dulu manifesto negara kebajikan yang diumumkan sebelum pilihan raya umum lalu sehingga semua pengundi DAP memilih calon mereka," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Gobind Singh yang merupakan anak Pengerusi DAP, Karpal Singh berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar berbahasa Cina hari ini yang menyebut, Nik Abdul Aziz dalam satu wawancara dengan akhbar itu berkata, pakatan pembangkang akan menerima negara Islam yang ditubuhkan oleh Pas.

Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas menolak mana-mana parti di kalangan mereka untuk menjadi parti tunjang dalam pakatan pembangkang yang kini menguasai lima negeri pada pilihan raya umum lalu.

Ketiga-tiga parti pembangkang juga tidak mahu pakatan tersebut dijadikan medan untuk mana-mana pihak memperjuangkan ideologi persendirian.

Dalam satu kenyataan bersama baru-baru ini, pakatan pembangkang menyatakan dasar-dasar mereka adalah berpaksikan kepada perkara-perkara yang dipersetujui dan disepakati pemimpin tertinggi parti-parti berkenaan.

Sehubungan itu, kata Gobind Singh, DAP akan mengadakan pertemuan dengan pemimpin Pas itu bagi membincangkan isu-isu berkaitan yang boleh menjejaskan pakatan tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menafikan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang tersebar sejak kebelakangan ini bahawa parti itu memperuntukkan RM85 juta bagi 'membeli' dua wakil rakyat untuk melompat parti.

Katanya, DAP tidak menyokong sebarang usaha membeli wakil rakyat dan telah membuat laporan polis berhubungan penyebaran SMS tersebut.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan dengan terperinci identiti dua wakil rakyat yang cuba dibeli itu serta dari negeri mana.

Katanya, setiap wakil rakyat yang memenangi pilihan raya dipilih oleh rakyat yang menyokong parti itu dan tindakan melompat parti itu tidak pernah didokong oleh DAP.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan