Halaman

Jumaat, Mei 23, 2008

Anwar ada peluang cerah selepas Mahathir keluar Umno?

Wan Nordin Wan Yaacob
Thu | May 22, 08 | 9:15:27 am MYT
KUALA LUMPUR, 22 Mei (Hrkh) - Dua hari lalu kecoh cerita ahli Umno, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mana nombor keahliannya ialah, 001 mengisytihar keluar Umno Baru yang beliau sendiri asaskan selepas berjaya mengharamkan Umno yang asal.

Mengulas isu itu, seorang Ahli Majlis Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) berkata, pengumuman Mahathir itu dijangka merancakkan lagi 'percaturan perebutan kuasa' dalam Umno yang dilihat amat mendebarkan kebelakangan ini.

Perkara ini akan lebih dramatik apabila Tengku Razaleigh Hamzah (Kuli) juga dijangka lambat laun akan mengekori rentak Mahathir yang memberikan tekanan hebat kepada Presiden Umno, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Umno itu sendiri, katanya.

Perkembangan terdahulu beberapa puluh jam sebelum pengumuman keluar Umno oleh Mahathir ini membayangkan betapa Umno dalam keadaan yang sangat tidak stabil.

"Kuat khabar yang bertiup menyatakan kemungkinan Mahathir dan lima lagi akan didakwa. Ini ekoran pendedahan laporan penyiasatan yang dibuat oleh Suruhanjaya Di Raja menyiasat kes Pita Linggam," katanya.

Suruhanjaya Diraja yang menyiasat kes Pita Lingam mencadangkan agar Dr Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri untuk disiasat berhubung dengan peranan beliau dalam pelantikan hakim-hakim sewaktu berkuasa dahulu, katanya.

Selain Mahathir, Tengku Adnan, Vincent Tan, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim, Eusof Chin dan VK LIngam turut dicadangkan untuk disiasat.

Dalam pertarungan di antara Dato' Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Perdana Menteri, Mohd Najib Tun Razak untuk merebut kekuasaan, Anwar kini mendapat sedikit kelebihan apabila 'mentor' Najib Tun Razak, bekas Perdana Menteri Malaysia akan dihadapkan ke muka pengadilan.

"Rakyat kini sedang menanti plot selanjutnya, adakah benar Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Badawi berani merealisasikan saranan suruhanjaya diraja menyiasat kes pita Linggam.

"Ini kerana Abdullah memang terkenal sebagai 'penubuh suruhanjaya dan jawatankuasa penyiasat' tetapi tidak berani menjalankan saranan suruhanjaya atau jawatankuasa yang dibentuk," katanya.

Anwar sendiri dalam komentarnya berhubung tindakan Dr Mahathir keluar Umno menyatakan secara serius betapa rakyat kini tidak perlu lagi mengharapkan Umno yang kian lemah.

Sebaliknya Anwar menyeru rakyat beralih kepada Pakatan Rakyat yang mempunyai misi dan visi yang akan mensejahterakan rakyat. - mks.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan