Halaman

Jumaat, Mei 23, 2008

Mahathir sudah keluar Umno, yang lain tunggu apa lagi?

Ustaz Idris Ahmad
Thu | May 22, 08 | 4:33:55 pm MYT
Saya tidak terkejut membaca berita dari Alor Star pada 19 Mei lalu bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad isytihar keluar daripada Umno dan melancarkan perang secara terbuka terhadap Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Mungkin inilah bahasa yang Abdullah boleh faham. 'Road show' serata kampung telah dibuat dan mengkritik Abdullah secara terbuka, tetapi beliau buat tidak faham, macam telinga tersumbat sahaja.

Mahathir yang dikenali sebgai manusia berani dalam segala segi kerana semua makhluk di muka bumi ini dia lawan, maka apakah sangat Abdullah yang dia anggap kerdil sahaja. Cuma kerana dia ada kuasa. Yang memerintah negara adalah menantunya. Inilah yang menjadi kemurkaan Mahathir. Dakwaan Mahathir, Abdullah mempunyai talian rapat dengan Singapura. Kita pun tahu Mahathir seorang yang cukup anti-Singapura, apa sebab wallahua'lam.

Walau bagaimanapun seperti yang pernah saya tulis dahulu setelah 62 tahun, Umno sudah tidak relevan. Keluarnya Mahathir menambah faktor bahawa Umno bukan sebuah parti untuk menjadi wadah kepada orang Melayu.

Pemimpinnya yang lemah segala segi sama ada dari segi moral, akhlak, miskin idea, korup dalam pemerintahan. Sudah cukup untuk Umno menamatkan riwayat hidupnya. Komunis yang berkuasa di Republik Soviet, hancur dalam masa 70 tahun. Komunis dibunuh oleh penganutnya, maka bukan mustahil Umno juga akan ditamatkan riwayat oleh ahlinya.

Harapan kita Mahathir dan penyokongnya tinggalkan Umno bukan kerana Abdullah, tetapi mesti atas prinsip atau agenda peribadi. Umno ini ibarat orang mengalami penyakit serba serbi. Umno juga ada penyakit jantung, kencing manis dan darah tinggi. Penyakit Umno ini syumul lengkap untuk menunggu sakaratul maut. Hendak belah kerana jantung, takut kerana luka tidak sembuh fasal kencing manis dan darah tinggi. Akhirnya tengok sahaja baca yasin dan minum air penawar sahaja.

Saya mengharapkan kepada ahli Umno bawahan yang sudah menyaksikan apa yang berlaku dalam Umno, yang tidak boleh tumpang berteduh. Justeru ayuh bersama PAS sebagai sebuah wadah untuk menegakkan idealisme perjuangan. Usah pedulikan pemimpin atasan Umno, mereka semua ada kepentingan yang tidak mampu untuk menegakkan idealisme perjuangan.

PAS sebagai sebuah parti matang, yang pernah mengalami pelbagai ujian dan tribulasi. PAS pernah kehilangan Yang Dipertuanya (sekarang Presiden) seperti Almarhum Ustaz Haji Ahmad Fuad, Almarhum Dato' Asri Muda. PAS pernah bersama dalam kerajaan campuran kemudian BN. PAS pernah ditendang daripada BN kerana menentang Rang Undang-Undang Darurat di Kelantan pada 1977.

PAS memerintah Kelantan 1959 dan kalah 1978, kemudian menang balik pada tahun 1990. PAS pernah memerintah Terengganu 1959 dan kalah melalui konspirasi Umno 1961 dan pernah menang 1999 dan kalah 2004.

Sekarang PAS bersama dengan Pakatan Rakyat di Kelantan, Kedah, Selangor, Perak dan Pulau Pinang. Kalau dilihat daripada rekod ini PAS memang hebat dan telah teruji.

Kalau PAS ibarat besi yang telah dipanas sehingga ketahap semaksimum, namun besi itu tetap tidak cair. Siapa boleh nafikan rekod sumbagan PAS dalam politik demokrasi negara ini.

PAS sebagai sebuah parti politik yang berjiwa besar menerima sesiapa sahaja yang ingin PAS atau bergabung dalam satu pakatan nyang disetujui bersama bagi mencapai cita-cita murni.

PAS yang berpegang dengan prinsip Islam sedia memaafkan musuh asalkan mereka jujur untuk bersahabat, kerana ini adalah ajaran Nabi Muhammad s.a.w. kepada kita. - lanh

P.s. Semakin seronok depa

Tiada ulasan:

Catat Ulasan