Halaman

Khamis, Mei 29, 2008

Apa 'dosa' Islam Hadhari sehingga diharamkan

KERAJAAN Selangor telah mengarahkan pengharaman sebarang program untuk menyebarkan Islam Hadhari, tafsiran agama yang dikembangkan sejak Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjadi Perdana Menteri.

Peliknya mengapa Islam Hadhari yang menjadi mangsa Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr. Hassan Ali? Adakah langkah itu memberi kepuasan kepada dirinya sehingga Pulau Pinang pun mengambil tindakan yang sama dengan Selangor. Adakah bersubahat dengan DAP untuk meluluskan ladang ternakan babi di Sepang itu lebih mulia dari Islam Hadhari. Tidakkah ini dinamakan pembelot kepada agama Islam itu sendiri.

Bagaimana pula dengan pusat-pusat hiburan yang semakin bersepah di seluruh negeri Selangor sekarang.

Mengapa tidak ada apa-apa tindakan dari exco hal ehwal agama untuk mengharamkannya. Ini termasuk juga dengan kilang-kilang arak di Selangor.

Sepatutnya kalau benar-benar mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor, perkara-perkara ini yang sepatutnya diharamkan terlebih dahulu.

Rakyat menggesa agar kerajaan negeri Selangor tidak mempolitikkan Islam Hadhari sebaliknya menumpukan usaha untuk menunaikan segala janji yang terkandung dalam manifesto mereka.

Mungkin Dr. Hassan sedang berusaha 'mengulamakan' diri beliau supaya dapat diterima kembali menjadi salah seorang ahli ulama di dalam kepimpinan Pas Pusat. Dan mungkinkah Islam Hadhari menjadi salah satu 'ujian' nya? Atau ini mungkin untuk menutup malu Pas di Selangor berikutan kes ladang babi di mana Pas bersubahat meluluskan pembiakan babi di Selangor.

Pas juga bersubahat tidak menutup kilang arak di Shah Alam dan Petaling Jaya serta pusat hiburan di seluruh Selangor. Apa hukumnya bersubahat dengan DAP. Adakah disebabkan DAP adalah 'abang besar', Pas terpaksa bersetuju dan bersubahat. Maknanya Pas lebih takutkan DAP dari hukum Allah.


Sebenarnya banyak perkara yang menbuatkan Dr. Hassan Ali marah, kecewa dan menyimpan dendam. Setelah mendapat bantahan yang bertubi-tubi dari rakyat Selangor dengan kes babi, marahkan UMNO dengan pelbagai isu rupa-rupanya dia sendiri kecewa dengan rakan-rakan pemimpin di dalam Pas.

Hakikatnya Islam Hadhari tidak menyesatkan dan memesongkan akidah. Jika ulama sedunia termasuk Sheikhul Azhar pun boleh menerima dan memuji pendekatan tersebut kenapa ia perlu diharamkan.

Kerajaan negeri Selangor tidak perlu berasa takut dan terancam dengan pendekatan Islam Hadhari ini. Mereka sepatutnya perlu lebih takut kalau mereka tidak mampu menunaikan janji-janji pilihan raya lalu.

- TAMINSARI

Shah Alam Selangor Darul Ehsan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan