Halaman

Khamis, Mei 29, 2008

Khalid: Islam hadhari 'bukan isu besar'

Jimadie Shah Othman | May 28, 08 6:41pm
Selangor menyifatkan larangan penyebaran Islam hadhari di institusi agama di negeri itu "bukan isu besar", kata menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

"Isu Islam hadhari itu adalah masalah konsep, bukan praktikal. Ini bukan isu besar," katanya apabila diminta mengulas kenyataan exco hal-ehwal agama negeri Datuk Dr Hassan Mohamed Ali kelmarin.

"Kita dah bincangkan. Isu Islam hadhari adalah isu konsep. Konsepnya, adakah tamadun Islam atau satu usaha meningkatkan tamadun Islam?

"Jawapan negeri Selangor, tamadun Islam sudah ada. Jadi kita meneruskan tatacara tamadun Islam. Terjemahan Islam hadhari adalah 'Islam bertamadun'.

"Maknanya, kita masih dalam proses lagi. Pada pendapat kita, tidak ada lagi proses, hanya tatacara. Itu pandangan (Selangor)," kata Khalid di sidang media selepas mesyuarat exco kerajaan negeri di Shah Alam petang ini.

Mengulas sama ada Selangor mempolitikkan isu Islam hadhari, Khalid menjawab:

"Ini bukan isu yang besar. Tetapi kalau orang tanya saya apa bezanya (Islam hadhari dan tamadun Islam), saya terangkan sebagai (seseorang) yang pernah mengikuti kursus kebudayaan, dan kebudayaan Islam.

"Sekurang-kurangnya saya terangkan maknanya. Itu saja. Tapi sebenarnya tak ada apa," katanya.

Di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Isnin lalu, exco Selangor itu tidak membenarkan semua masjid dan surau mengadakan sebarang program yang menyentuh konsep Islam itu yang diperkenal oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sejak empat tahun lalu.

"Kita haramkan Islam hadhari di Selangor ini kerana Islam yang kita amalkan dulu dan hari ini tidak berubah dan sudah cukup.

"Oleh yang demikian, kita mahu sandarkan ajaran Islam sebenar untuk memerintah Selangor ini dan bukannya Islam hadhari," kata Dr Hassan.

Mengulas kenyataan exco itu yang memberi amaran akan menarik balik tauliah imam-imam yang menyebarkan konsep Islam hadhari, Khalid berkata "tidak, tidak, tidak, belum ada tarikan (balik tauliah)."

Dr Hassan memberitahu Malaysiakini semalam: "Kita mengambil keputusan tidak mempromosikan Islam hadhari di sekolah, dalam khutbah Jumaat dan program- program keagamaan."

Menurut Harakahdaily.net pula, beliau mengingatkan imam-imam yang membaca khutbah berunsurkan Islam Hadhari boleh dikenakan tindakan sedemikian.

Tiada cacat celanya

Sementara itu, Perak pula disaran mengikut jejak langkah kerajaan Selangor mengharamkan program yang promosi konsep Islam hadhari.

Saranan tersebut dibuat oleh Pemuda PAS kawasan Ipoh Timur dan Pasir Salak hari ini.

Mufti Perak semalam bagaimanapun dilaporkan berkata kerajaan Selangor tidak harus mengharamkan program berkonsepkan Islam hadhari.

Datuk Seri Dr Harussani Zakaria berkata, tindakan tersebut boleh mengelirukan umat Islam terhadap konsep Islam tersebut yang diperkenalkan perdana menteri.

Pulau Pinang, sebuah lagi daripada lima negeri Pakatan Rakyat, bercadang mencontohi Selangor dalam satu kenyataan negeri itu semalam.

"Negeri (Pulau Pinang) akan mengambil tindakan yang sama dalam masa terdekat," kata timbalan ketua menteri Mohammad Fairus Khairuddin kepada Malaysiakini.

Tarikh pelaksanaannya bagaimanapun tidak dinyatakan.

Manakala beberapa pihak, khususnya yang dekat dengan kerajaan persekutuan, semalam tidak menyokong langkah Selangor.

Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) menyifatkan langkah Selangor mengharamkan program berkaitan Islam hadhari merugikan umat Islam.

Yang dipertuanya Datuk Mohd Nakhaie Ahmad berkata, konsep itu yang diperkenalkan oleh perdana menteri bertujuan memajukan pemikiran umat Islam, meliputi semua bidang yang mengambil kira kedudukan masyarakat majmuk di negara ini.

Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyifatkan arahan itu tidak wajar kerana pendekatan Islam hadhari yang mengandungi 10 prinsip "tiada cacat celanya".

Ketua pengarahnya Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata satu persidangan Islam di Putrajaya tahun lepas yang dihadiri lebih 90 ulama Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) dan 1,000 ulama yang menghadiri multaqa alumni al-Azhar awal tahun ini, "telah sepakat menerima pendekatan Islam hadhari".

Tiada ulasan:

Catat Ulasan