Halaman

Jumaat, Mei 23, 2008

BPR tidak siasat enam individu laporan klip video Lingam

Oleh amran mulup

KUALA LUMPUR 22 Mei - Badan Pencegah Rasuah (BPR) tidak akan menyoal siasat enam individu berprofil tinggi yang disebut dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video V. K. Lingam.

Timbalan Ketua Pengarah BPR, Datuk Abu Kassim Mohamed berkata, mereka tidak disoal siasat kerana siasatan pihaknya kini lebih tertumpu kepada usaha untuk mencari maklumat tambahan.

Menurut beliau, tumpuan BPR adalah untuk menyelesaikan siasatan kes Lingam yang tertangguh sewaktu Suruhanjaya Siasatan Diraja menjalankan siasatan ke atas kes tersebut.

''Enam individu tersebut tidak terbabit dalam siasatan BPR melainkan beberapa orang tertentu yang sudah dikenal pasti dalam kes Lingam dan Eusoff untuk memberi keterangan tambahan,'' katanya di sini hari ini.

Enam individu yang disebut-sebut dalam laporan tersebut ialah ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan; bekas Ketua Hakim Negara, Tun Ahmad Fairuz Sheikh Abdul Halim dan Eusoff Chin; bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor serta Lingam.

Abu Kassim berkata, BPR telah mengenal pasti beberapa orang lagi yang dikaitkan dalam klip video V. K. lingam dan akan dipanggil untuk mendapatkan maklumat tambahan.

''Siapa yang akan dipanggil sudah dikenal pasti dan mereka akan dipanggil dalam masa terdekat ini,'' katanya.

Mengenai Eusoff pula katanya, BPR akan membuka semula kes tersebut untuk melihat keterangan-keterangan sedia ada.

''Walaupun siasatan ini sudah selesai tetapi BPR tidak mahu ada maklumat-maklumat lain yang tertinggal dalam siasatan kita,'' katanya.

Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengarahkan BPR membuka semula siasatan terhadap Eusoff dan Lingam selepas laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung klip video Lingam dikeluarkan.

Siasatan tertumpu kepada dakwaan mereka 'bercuti bersama' pada tahun 1994 berdasarkan gambar percutian bekas Ketua Hakim Negara itu dengan keluarga Lingam.

Abu Kassim menambah, siasatan juga dijangka memberi tumpuan terhadap beberapa isu lain yang dibangkitkan dalam laporan suruhanjaya tersebut.

Katanya, kes itu dibuka semula kerana BPR menyedari ada perkara-perkara penting yang tidak dilihat sewaktu siasatan awal.

Beliau tidak menolak BPR dijangka mengambil masa yang agak lama untuk melengkapkan siasatan kes tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan