Halaman

Jumaat, Mei 23, 2008

Tenang Dan Bersikap Matang Dalam Menerima Keputusan ICJ,

THE HAGUE, 22 Mei (Bernama) -- Menteri Luar Datuk Seri Rais Yatim berkata rakyat Malaysia perlu tenang dan bersikap matang dalam menerima apa jua keputusan berhubung kedaulatan Pulau Batu Puteh, Terumbu Karang Tengah dan Terumbu Karang Selatan yang akan disampaikan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) Jumaat ini.

"Masyarakat Malaysia perlu tenang dan bersikap matang berhubung perkara ini supaya kita tidak menterjemahkan ia kepada pergolakan politik, walau apa keputusannya. Ini amat penting," katanya kepada wartawan Malaysia di sini hari Khamis.

Rais yang tiba hari ini bagi menghadiri saat ICJ menyampaikan keputusan berhubung pertikaian antara Malaysia dan Singapura mengenai perkara itu berkata beliau sudah memberikan taklimat kepada pemimpin-pemimpin negeri Johor, dan Sultan Johor berhubung perkembangan kes itu.

Beliau berkata Malaysia optimis dengan kes itu, yang dibawa kepada ICJ selepas kedua-dua negara menandatangani persetujuan khas pada 6 Februari 2003.

"Tetapi seperti yang saya nyatakan terdahulu kewaspadaan kita penting iaitu sekiranya kemenangan berada di tahap dan di tangan kita, maka kita sebaik-baiknya tidak begitu ghairah atau meluap-luap perasaan gembira sehingga melangkaui batas kebiasaan atau batas kewarasan," katanya.

"Dan jika tidak memperolehi penghakiman positif misalnya, kita harus pandai dan berkebolehan tidak menyinggung mana-mana perasaan," tambahnya.

Beliau berkata kadangkala unjuran awal mengenai siapa menang atau kalah tidak tepat.

"Dalam keadaaan sedemikian walaupun kita optimis, kita perlu berkebolehan untuk menyesuaikan diri kita selepas esok,” katanya.

Rais berkata Malaysia memiliki hujah yang mencukupi, berdasarkan kepada bukti, aspek sejarah dan kepentingan sosial, bahawa kes itu seharusnya berpihak kepada Malaysia.

"Orang ramai mungkin ingin tahu, apa yang ingin kita lakukan terhadap sebuah pulau yang bersaiz separuh keluasan padang bola, (mengapa) kita amat bimbang mengenainya, tambahan pula tiada apa tumbuhan diatasnya. Namun jawapannya kerana ia adalah sebahagian daripada Malaysia, itulah fakta yang ingin kami katakan dan apabila ia menjadi sebahagian daripada Malaysia, kami ingin dapatkan kepastian yang ia kembali dalam tangan kami," kata Rais.

Pulau Batu Puteh terletak 7.7 batu nautika di luar pantai Tanjung Penyusuh di Johor.

Keputusan berhubung pertikaian itu akan disampaikan oleh Naib Presiden ICJ, Hakim Awn Shawkat Al-Khasawneh, yang merupakan Pemangku Presiden kes itu pada kira-kira pukul 10 pagi (4petang waktu Malaysia).

Beliau dijangka selesai membaca keputusan penghakimannya dalam masa dua jam. Satu panel 16 hakim termasuk Al Khasawneh mendengar kes itu.

Semasa perbicaraan dari 6 hingga 23 November tahun lepas, Malaysia diketuai oleh Tan Sri Abdul Kadir Mohamad, yang merupakan ejen Malaysia bagi kes itu manakala Datuk Noor Farida Ariffin adalah ejen bersama.

Turut sama di pihak Malaysia pada perbicaraan itu ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail dan kumpulan peguam antarabangsa Malaysia yang terdiri daripada Sir Elihu Lauterpacht dan James Crawford, kedua-duanya professor dalam bidang Undang-undang Antarabangsa Universiti Cambridge; Nicolaas Jan Schrijver, professor Undang-undang Antarabangsa Awam Universiti Leiden; Marcelo G. Kohen, professor Undang-undang Antarabangsa Graduate Institute of International Studies, Geneva; dan Penelope Nevill, pensyarah Downing College, Universiti Cambridge.

-- BERNAMA

Tiada ulasan:

Catat Ulasan