Halaman

Sabtu, Mei 30, 2009

1Malaysia-Berpaksikan Perlembagaan

Oleh MOHD. KHUZAIRI ISMAIL
rencana@utusan.com.my

SEWAKTU Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperkenalkan konsep 1 Malaysia pada 3 April lalu, perkiraan awal banyak pihak ia mampu mengimbangi desakan dan tuntutan yang menjurus kepada kepentingan kaum.

1 Malaysia antara lain menekankan prinsip keadilan dan kesaksamaan di kalangan rakyat tanpa menafikan apa yang hak dan apa yang wajar dikongsi bersama dalam semangat bangsa Malaysia.

Sebelumnya atau lebih tepat selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, isu-isu sensitif yang melangkaui batas perkauman dihidupkan silih berganti oleh segelintir pihak.

Namun, selepas beberapa penjelasan dari pelbagai sudut dibuat dalam memahami semangat 1 Malaysia, hakikatnya ia masih belum dapat diterima dalam erti kata yang sebenarnya.

Sebaliknya, 1 Malaysia telah diterjemah mengikut sejauh mana ia mendatangkan manfaat atau kelebihan kepada diri atau kumpulan tertentu.

Lebih malang, ia diambil kesempatan pula untuk mewajarkan sesetengah tuntutan yang kononnya selari dengan konsep 1 Malaysia meskipun jelas melanggar batas-batas perkauman.

Desakan untuk membawa pulang pemimpin komunis, Chin Peng misalnya, secara jelas membelakangkan semangat patriotik dan nasionalisme yang menjadi tunjang kepada 1 Malaysia.

Biar dari sudut mana sekali pun, sejarah tidak pernah mencatatkan perjuangan komunis sebagai sesuatu yang berjasa kepada negara.

Sebaliknya ia lebih banyak menyimpan memori hitam dan penderitaan lebih-lebih kepada mereka yang pernah hidup sewaktu zaman Bintang Tiga (Parti Komunis Malaya) berkuasa.

Justeru apa rasionalnya apabila ada sesetengah pihak cuba menukar Chin Peng menjadi hero negara dengan membawanya pulang ke tanah air? Begitu juga dengan perdebatan mengenai peruntukan biasiswa kepada bumiputera dan bukan bumiputera.

Isu ini juga sudah dibincangkan merentasi zaman, dan penjelasannya juga tidak pernah berubah sesuai dengan objektif pelaksanaannya. Bantuan itu adalah bagi pelajar yang layak meneruskan pengajian dari keluarga miskin, yang kebanyakannya merupakan orang Melayu.

Lalu tidak timbul soal keistimewaan dalam pemberian biasiswa pendidikan sementelah ia juga mematuhi apa yang ditetapkan di bawah Perkara 153, Perlembagaan.

Menurut pensyarah di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Sivamurugan Pandian, Satu Malaysia melangkaui usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan mewujudkan peremuafakatan antara kaum.

Apa yang penting di bawah gagasan besar itu ialah pemahamannya perlu berpaksikan kepada Perlembagaan, semangat Rukunegara dan persetujuan bersama di bawah kontrak sosial.

Dalam erti kata yang lain, 1 Malaysia perlu mempunyai nilai pengorbanan dan kompromi yang tinggi.

Usaha di bawah 1 Malaysia juga adalah untuk memastikan tidak ada kelompok masyarakat yang terpinggir dan terkebelakang.

Dalam masa yang sama, ia bertujuan memastikan dalam mana-mana kelompok etnik sekalipun, jurang intra dan inter etnik tidak besar seperti hari ini.

Sivamurugan menambah, dalam keadaan politik yang tidak menentu, pasti ada usaha menekan kerajaan dengan pelbagai cadangan dan pendapat yang tidak berasas.

''Mereka yang mendesak wajar menilai semula sejarah dan menyemai nilai patriotisme dan nasionalisme sebelum membuat sesuatu cadangan. Lebih parah desakan dan cadangan itu datangnya dari ahli komponen BN sendiri!," katanya.

Dalam kedudukan hari ini, semua ahli komponen sewajarnya berpegang kepada prinsip kolektif dan cuba membina kekuatan bersama.

Bukannya menjadi gunting dalam lipatan kerana dalam jangka panjang, ia boleh meruntuhkan apa yang sudah dibina sekian lama.

Jelas Sivamurugan, apa yang mahu diatasi dalam konsep 1 Malaysia adalah penaungan politik.

Yang mahu dicapai pula adalah kebergantungan ke atas nilai-nilai yang boleh menjadi penghubung kepada usaha meraikan kepelbagaian.

Bukan penghalang atau pemusnah ke atas hubungan antara etnik dan perpaduan.

Perpaduan yang bertunjangkan kepada penerimaan ke atas perbezaan dan menyuburkan nilai-nilai kemanusiaan sebenarnya adalah roh kepada 1 Malaysia.

1 Malaysia selanjutnya tambah Sivamurugan, tidak melihat kepada latar belakang etnik.

Tetapi memastikan bahawa setiap warga Malaysia bangga menjadi bangsa Malaysia dan berpegang kepada kesemua lapan prinsip 1 Malaysia.

''Walaupun berbeza dari segi pemahaman dan kepercayaan, ia tidak boleh dijadikan alasan untuk terbelenggu dengan gaya hidup yang mundur, miskin dan hidup melarat," katanya.

Apa yang dimahukan oleh kerajaan ialah dengan berpegang kepada slogan ini, kesemua warga Malaysia akan hidup dalam keadaan rukun dan damai serta berkualiti.

Bagaimanapun Sivamurugan tidak menolak, 1 Malaysia masih dalam mencari acuan yang terbaik untuk memenuhi komposisi kependudukan negara ini.

Justeru, penerangan mengenainya perlu dijalankan secara berterusan dalam melahirkan keyakinan di bawah satu gagasan besar dan payung 1 Malaysia yang menyeluruh.

Barangkali, ramai yang terlalu seronok dengan slogan ini tanpa menyelami inti pati dan makna yang cuba disampaikan.

Maka lahir pelbagai tafsiran dan kekeliruan serta kritikan dan penolakan daripada pelbagai pihak.

Apa yang penting tambah Sivamurugan, keyakinan dan kepercayaan bahawa 1 Malaysia bukan bersifat retorik dan kosmetik semata-mata hanya dapat dibuktikan menerusi pencapaian dalam bentuk pelaksanaan.

Untuk itu, kerajaan perlu mencipta program dan aktiviti untuk menjayakannya supaya mencapai kumpulan sasar.

Sama ada di bandar atau luar bandar atau di setiap peringkat lapisan masyarakat.

Paling utama, agensi kerajaan sendiri serta kakitangan awam perlu memahami sejelas-jelasnya konsep 1 Malaysia supaya ia boleh diterjemah dalam bentuk dasar yang berterusan dan tidak bersifat bermusim.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan