Halaman

Isnin, Jun 01, 2009

Komunis ialah pembunuh bukan pejuang!

Oleh ZULKIFLEE BAKAR

TERNYATA sekali selepas Pilihan Raya Umum Ke-12, isu-isu berkaitan dengan perkauman seolah-olah menjadi bahan paling laris bagi sesetengah pemimpin politik untuk menjajanya.

Bermula dengan sokongan kepada pertubuhan haram Hindraf, kini ia 'merebak' pula kepada isu menuntut kerajaan membenarkan bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM), Chin Peng kembali ke tanah air.

Isu kepulangan bekas ketua pengganas itu pada mula hanya dibangkitkan oleh seorang pemimpin Parti Gerakan (salah satu komponen dalam Barisan Nasional) tetapi apabila ia dilihat mampu memberikan keuntungan politik maka parti-parti pembangkang pula menyokong saranan berkenaan.

Ternyata sekali, sokongan dan gesaan yang dibuat bukanlah atas dasar kemanusiaan tetapi disebabkan ada agenda politik tersembunyi. Justeru keputusan kerajaan menolak gesaan sebegitu adalah amat tepat. Puak-puak yang menyokong kepulangan Chin Peng ini hakikatnya sengaja meletakkan diri mereka untuk dianggap sebagai kelompok yang buta sejarah. Chin Peng adalah pengganas dan pernah mengepalai sekumpulan manusia melakukan pembunuhan dengan sewenang-wenangnya ke atas anggota keselamatan dan rakyat negara ini semata-mata untuk menegakkan perjuangan komunisnya.

Oleh itu, apakah dosa-dosa tersebut harus dilupakan begitu sahaja hanya semata-mata kerana berpendapat dia sudah uzur dan mahu mengakhiri riwayatnya di negara ini? Bagaimana dengan pembunuhan yang dilakukan olehnya sama ada secara langsung atau melalui arahan kepada pengikut-pengikutnya ketika zaman darurat dahulu.

Ingatlah Chin Peng adalah pengganas kejam yang membunuh ribuan rakyat negara ini, malah tanpa belas ihsan menyerang setiap sudut anggota keselamatan yang terdiri daripada pelbagai kaum. Justeru mengapakah dengan mudah kekejamannya hendak dimaafkan begitu sahaja?

Dalam isu Chin Peng, soal kemanusiaan tidak harus sama sekali menjadi pertimbangan kerana dia sendiri suatu ketika dulu tidak mempunyai perasaan perikemanusiaan akibat taksub kepada perjuangan komunis. Justeru janganlah mengeluarkan hujah dangkal dengan mengatakan kerajaan boleh membenarkan Chin Peng pulang dengan syarat kerajaan memastikan dia sudah meninggalkan doktrin komunisnya.

Pembunuhan

Kalau itulah hujahnya, bagaimana jika sesiapa juga yang melakukan pembunuhan dan kini berada dalam penjara atau menanti hukuman mati boleh dibebaskan dengan syarat mereka ditanya, apakah mereka mahu membunuh lagi atau tidak?

Mungkin pihak-pihak terlibat menganggap ia suatu perbandingan tidak wajar tetapi apa istimewanya Chin Peng, bukankah dia juga adalah seorang pembunuh dan sudah banyak membawa kesengsaraan kepada negara ini. Memang benar Chin Peng uzur dan sakit tetapi sekurang-kurangnya dia masih insan yang tidak cacat anggota badannya. Ini berbeza dengan ribuan anggota tentera yang kini masih hidup tetapi mengalami kecacatan sepanjang hayat akibat jerangkap samar yang dipasang oleh pengganas komunis dari Padang Besar hinggalah ke Tanah Merah, Kelantan.

Adakah ketika Chin Peng melakukan semua kekejaman berkenaan dia terfikir bahawa suatu hari kelak dia akan merempat dan mengemis untuk kembali ke tanah air bernama Malaysia ini? Kenapa Chin Peng perlu dilepaskan daripada segala perbuatan kejamnya?

Justeru kepada puak-puak yang masih mahu memperjuangkan Chin Peng ingatlah bahawa bekas ketua pengganas itu tidak mempunyai sekelumit pun jasa kepada negara ini. Daripada puak-puak yang buta sejarah itu memperjuangkan nasib Chin Peng adalah lebih baik jika mereka berusaha menggesa kerajaan mempertingkatkan lagi bantuan kepada bekas-bekas anggota tentera dan keluarga yang menjadi mangsa akibat kekejaman komunis.

Kalaupun hendak mencari keuntungan politik ia bukanlah melalui cara hendak memperjuangkan nasib seorang bekas ketua pengganas, banyak lagi insan-insan lain yang harus dibela. Kenapa perlu bercakap soal kepulangan Chin Peng sedangkan terdapat banyak lagi isu lain yang perlu diperjuangkan bagi memastikan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum hidup aman dan damai.

Percayalah, mungkin ada segelintir sahaja yang menyokong gesaan untuk membenarkan Chin Peng kembali tetapi terdapat jutaan lagi rakyat Malaysia menentang keras langkah tersebut. Puak yang menyokong itu adalah terdiri daripada mereka yang bukan sahaja buta sejarah tetapi berfahaman liberalisme, mereka tidak tahu apa itu komunis.

Apa pun, dalam memperkatakan soal ini, ia jelas membuktikan isu-isu berkaitan perkauman semakin mendapat tempat di kalangan parti-parti politik tidak kira daripada kerajaan mahupun pembangkang. Masing-masing berpendapat kononnya hanya melalui isu tersebut sahaja mereka akan mendapat sokongan politik.

Lebih memualkan, dalam menghalalkan tindakan mereka, puak-puak itu menggunakan slogan Satu Malaysia sebagai asas, seolah-olah melalui pendekatan terbaru kerajaan itu segala-galanya harus dibenarkan untuk semua kaum, termasuklah juga membenarkan Chin Peng pulang. Akibat kedangkalan pemikiran pemimpin-pemimpin politik seperti itulah yang menyebabkan dari semasa ke semasa wujud pelbagai pihak yang cuba menjadi wira kepada kaum tertentu. Perkara seumpama ini jika dibiarkan ia akan menjadi virus yang boleh menghancurkan perpaduan kaum di negara ini. Isu Chin Peng hanyalah salah satu daripada keberanian tidak bertempat sesetengah ahli politik dalam membangkitkan perkara berkaitan dengan perkauman. Sebelum ini sudah banyak isu termasuklah yang melibatkan kepentingan orang Melayu disentuh.

Kelompok yang membangkitkan isu berkaitan perkauman itu berbuat demikian kerana mereka sudah tidak ada lagi perasaan untuk menjaga sensitiviti mana-mana kaum terutamanya orang Melayu. Apatah lagi mereka melihat ada sahaja pemimpin Melayu yang atas dasar kepentingan politik sempit sanggup menyokong apa yang mereka lakukan. Kesudahannya, isu-isu perkauman terus dimainkan seolah-olah ia bukanlah isu yang sensitif. Dengan keputusan kerajaan untuk tidak membenarkan Chin Peng pulang maka semua pihak terutamanya dalam parti kerajaan harus patuh kepada pendirian itu. Mereka tidak perlu membangkitkan lagi isu-isu sensitif seumpama itu hanya semata-mata untuk menyelamatkan kedudukan sesebuah parti.

Fahamilah kekejaman komunis dan belajar memahami sejarah, jangan jadi kelompok yang sengaja memadamkan sejarah semata-mata kerana kepentingan politik kepartian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan