Halaman

Jumaat, Mei 23, 2008

Minyak melambung - Cecah AS$135 setong ekoran kebimbangan kurang bekalan

LONDON 22 Mei – Harga minyak mentah dunia terus meningkat lagi hari ini mencecah paras ketinggian baru melebihi AS$135 (RM432) setong ekoran kebimbangan terhadap kekurangan bekalan dan peningkatan permintaan.

Minyak mentah Brent North Sea melonjak ke paras tertinggi baru kepada AS$135.13 (RM432.41) setong dan penanda aras pasaran, harga minyak berkualiti tinggi Light Sweet New York merekodkan harga tertinggi baru pada AS$135.09 (RM432.28) setong.

Harga minyak di pasaran hadapan telah meningkat lebih daripada satu pertiga sejak awal tahun ini apabila ia buat kali pertama mencapai paras AS$100 (RM320) setong.

Ini berikutan ketidaktentuan senario politik di negara pengeluar minyak, pengurangan stok bahan tenaga, keengganan Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) meningkatkan pengeluaran, permintaan tinggi dari negara-negara Asia serta kelemahan mata wang dolar Amerika Syarikat (AS).

Harga minyak mentah dunia telah mencecah AS$130 (RM416) semalam sebelum terus mengalami peningkatan berikutan berita mengenai kejatuhan stok simpanan tenaga AS minggu lepas.

Peningkatan harga minyak telah menimbulkan kebimbangan dalam kalangan negara-negara dunia yang memberikan subsidi minyak kepada rakyatnya untuk menampan kesan buruk kenaikan harga komoditi berkenaan.

Menurut sebuah firma penyelidikan di Kuala Lumpur, Kenanga Research, rakyat Malaysia mungkin berdepan kemungkinan harga bahan api dinaikkan dengan perkembangan terbaru itu.

Ini kerana katanya, kerajaan dilihat tidak mungkin mampu lagi untuk mengekalkan kos memberikan subsidi minyak sekiranya harga minyak mentah terus meningkat mencatat rekod terbaru.

‘‘Kami percaya kerajaan mungkin terpaksa menaikkan harga bahan api sekiranya harga minyak mentah melepasi dan kekal di paras AS$140 setong,’’ kata firma itu.

Pelbagai jenis subsidi yang diberikan oleh kerajaan sekarang kepada rakyat telahpun mencecah paras RM50 bilion dengan jumlah terbesar daripadanya atau RM45 bilion adalah untuk subsidi minyak.

Penganalisis Purvin and Gertz di Singapura, Victor Shum pula menjelaskan, pada masa ini, kesan psikologi lebih mempengaruhi pasaran berbanding dengan dasaran atau fundamental.

‘‘Meskipun tiada kekurangan bekalan, permintaan minyak dunia terus meningkat dan pertumbuhan adalah terhad.

‘‘Minyak menjadi pilihan berbanding ekuiti dan bon kerana minyak menawarkan pulangan yang baik,’’ katanya.

Selain itu, peningkatan harga minyak secara mendadak juga berpunca daripada tindakan Rizab Persekutuan AS menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi AS, negara pengguna minyak yang terbesar di dunia.

Harga minyak yang tinggi dilihat sebagai faktor utama yang menjejaskan momentum peningkatan itu.

Kelemahan mata wang AS juga menjadi sebahagian daripada punca kelemahan dolar yang menjadikan komoditi yang diurus niaga menggunakan dolar lebih murah kepada pembeli berbanding mata wang lain.

Pada masa yang sama, Agensi Tenaga Antarabangsa hari ini juga melaporkan bekalan minyak global akan berkurangan berbanding jangkaan dalam tempoh 20 tahun akan datang, setelah agensi berkenaan menjalankan penyelidikan terhadap prospek pengeluaran.

Laporan itu bermakna bekalan minyak mentah pada masa depan dijangka lebih sukar untuk diperoleh berbanding apa yang dijangkakan sebelum ini.

Sementara itu, pemimpin OPEC, Abdalla Salem El-Badri melahirkan kebimbangannya terhadap ketidaktentuan harga minyak dalam pasaran.

– Agensi

Tiada ulasan:

Catat Ulasan