Popular Today

Jumaat, Ogos 28, 2009

PERMATANG PASIR - PAKATAN RAKYAT HILANG SOKONGAN PENGUNDI MELAYU

3 Komen!!!
By M.Perry


Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.11 Permatang Pasir, Pulau Pinag telah selesai diadakan pada 25.8.2009 tanpa sebarang masalah yang melibatkan keamanan dan keselamatan negara kecuali sedikit kekecohan dilaporkan berlaku pada hari penamaan calon.

Ahli Parlimen Kawasan Padang Serai N.Gopalakrishnan laporkan ditahan oleh polis kerana tidak menghiraukan amaran Polis supaya berundur dari menyampaikan ucapan yang berbentuk mengasut di perkarangan pusat penamaan calon.

Dalam PRK tersebut, calon PAS Mohamad Salleh (52) di isytihar menang kerana memperolehi 9618 undi berbanding dengan calon BN Mohd.Rohaizat Osman (38) yang memperolehi 5,067 undi. Undi rosak adalah 83. Peratus keluar undi adalah 73 peratus. Dengan ini, PAS mengekalkan kerusi DUN Permatang Pasir dengan majoriti 4551 undi.

Namun,sekiranya kita meneliti keputusan PRK tersebut, ternyata sokongan politik terhadap parti PAS, yang menyertai gabungan Pakatan Rakyat, makin terhakis berbanding dengan sokongan yang diperolehi oleh PAS pada tahun 2008 atau Pilihan Raya Umum Ke 12 (PRU12). Majoriti undi bagi PAS telah jatuh dari 5,433 (2008) kepada 4551.

Menurut PAS, kemerosotan undi majoriti tersebut itu adalah disebabkan oleh kekurangan 10 % peratus pengundi keluar mengundi. Namun, sekiranya kita meneliti undi populariti calon PAS, jelas menunjukkan populariti PAS merosot dari 66.45 % pada PRU12 kepada 65.1% dalam PRK ini. Ini bermakna, PAS menghadapi kehakisan sokongan 1.3% dalam PRK ini. Dakwaan ketua umum PKR bahawa calon PAS memenangi semua saluran didapati tidak mengambarkan realiti keseluruhan sokongan dikalangan pengundi Melayu.

Manakala, sokongan dan polulariti BN didapati meningkat, terutamanya dikalangan pengundi Melayu. Sokongan terhadap BN di catat meningkat di kebanyakan saluran-saluran yang mempunyai majoriti pengundi Melayu. Sebagai contoh, saluran Permatang Ara yang mempunyai 97% pengundi Melayu, mencatatkan peningkatan sokongan terhadap calon BN dari 40.6 % pada tahun 2008 kepada 43.3% dalam PRK ini. Ini bermakna peningkatan sokongan 2.6%.

Pada keseluruhannya, kebanyakan saluran yang mempunyai majoriti pengundi Melayu didapati mencatatkan peningkatan sokongan 3% kepada calon BN.

Keputusan PRK Manek Urai , Kelantan, baru-baru ini juga mencatatkan peningkatan sokongan hampir 7 % terhadap BN berbanding dengan sokongan yang di perolehi oleh BN dalam PRU12. Begitu juga, BN mencatat peningkatan yang signifikan dalam peratusan sokongan di kalangan pengundi Melayu dalam PRK Bukit Gantang,Perak, baru-baru ini.

Keputusan pilihan raya kecil di kawasan-kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Melayu jelas menunjukkan pengundi Melayu kembali menyokong BN. Manakala, peratus pengundi Cina keluar mengundi merosot dalam PRK di Kuala Terengganu dan Permatang Pasir kerana diandaikan mereka menolak calon PAS.

Pada keseluruhannya, walaupun peratusan peningkatan sokongan terhadap BN dikalangan pengundi Melayu adalah kecil, tetapi ianya membayangkan berlakunya perubahan besar dalam sikap, sokongan dan pemikiran politik di kalangan pengundi Melayu.

Pada masa yang sama, sikap pengundi Cina terhadap PAS juga didapati berubah sejak PRU12,malah sokongan politik bagi calon PAS di kalangan pengundi Cina kian merosot .

Sejak PRU12, Pakatan Rakyat juga dikesan tidak mampu menembusi dan mengekal sokongan politik di kalangan pengundi Melayu yang diperolehi dalam PRU12. Pengarah Strategi PKR, Tian Chua turut mengaku bahawa akhir-akhir ini, PKR kehilangan sokongan pengundi Melayu.
Sesungguhnya, sokongan pengundi Melayu terhadap BN jelas kelihatan meningkat sejak YAB Dato’ Sri Mohd.Najib Tun Rzak mengambil alih teraju kepimpinan kerajaan. Perubahan besar dalam persepsi terhadap BN di kalangan pengundi bukan Melayu juga dijangka berlaku apabila kaum bukan Melayu dapat memahami dan menghayati gagasan 1 Malaysia yang diumumkan oleh Najib baru-baru ini.

Sekiranya dasar-dasar kerajaan yang dianggap adil bagi semua kaum yang diumumkan oleh PM dibawah gagasan 1 Malaysia itu dilaksanakan dengan berkesan,maka sebahagian besar pengundi Melayu dan bukan Melayu akan kembali menyokong BN menjelang Pilihan Raya Umum Ke 13. Pakatan Rakyat kini menghadapi dilema dalam mengekalkan sokongan politik di kalangan pengundi Melayu dan bukan Melayu kerana perjuangan PR bukanlah bagi membela kepentingan rakyat seperti digempargemburkan dalam PRU12,malah bagi membela seorang individu tertentu.

Sumber: WiraMalaysia

Selepas 52 tahun merdeka, Melayu sepatutnya kuat

0 Komen!!!
SABAN tahun sambutan kemerdekaan dirasakan semakin kurang dirasai, apatah lagi tahun ini bulan kemerdekaan jatuh pada bulan Ramadan, jadi amatlah bertepatan jika ia disambut secara sederhana dengan menzahirkan keinsafan dan memanjatkan kesyukuran kepada Allah SWT.

Kita mungkin sering tertanya-tanya apakah erti sambutan kemerdekaan yang sebenarnya? Adakah sambutan memperingati kemerdekaan itu sudah cukup dengan kilauan percikan bunga api? Adakah memadai dengan kita mengalunkan irama-irama yang menyebut ‘kemerdekaan’? Adakah mencukupi dengan sekadar mengibarkan bendera dan meletakkan bendera di kereta masing-masing walaupun secara paksa rela?

Hakikatnya erti kemerdekaan menuntut setiap penduduknya memahami, menghayati dan mempertahankan kemerdekaan yang dikecapi di bumi berdaulat dahulunya yang dipanggil Tanah Melayu daripada tercemar dengan kerakusan kita sendiri agar generasi pewaris bangsa dapat memahami dan menilai erti sebuah kemerdekaan.

Walaupun saya tidak dapat merasai keperitan bersama mereka yang terdahulu memperjuangkan kemerdekaan, namun saya cukup berbangga dan bersyukur kerana dilahirkan pada tarikh keramat 31 Ogos, sekurang-kurangnya aura kemerdekaan itu dapat dirasai.

Namun apa yang menjadi persoalan berdasarkan isu-isu yang berlaku kebelakangan ini, tidak ada sebab untuk kita menolak daripada memikirkan di mana Melayu disaat kita meraikan kemerdekaan? Sepatutnya dengan kematangan 52 tahun kemerdekaan, orang Melayu menjadi bertambah kuat dan bersatu bukannya berpecah hanya kerana sedikit perbezaan ideologi.

Cuba kita fikirkan kenapa setiap hari di dada akhbar kita diseru untuk bersatu? maknanya cukup mudah iaitu adanya bibit-bibit perpecahan dan persengketaan, sama ada kita sedar atau buat-buat tidak sedar, tepuk dada tanyalah diri masing-masing.

Jika kita merasa risau dan bimbang tentang untung nasib bangsa Melayu, kita tidak akan pernah merasa jemu dan menyerah kalah untuk membangkitkan kesedaran serta menyeru bangsa yang hebat ini untuk bersatu.

Pelbagai resolusi, debat, seminar dan bermacam-macam lagi telah dicanang namun hakikatnya masih sama, adakah kita sudah berpuas hati dengan sekadar seorang dua saja bangsa kita yang terselit di celah-celah senarai orang terkaya?

Adakah cukup dengan seorang dua bangsa kita yang menerima pelbagai anugerah kecemerlangan? Hakikatnya kita perlu melahirkan lebih ramai jaguh di kalangan bangsa Melayu, tetapi di mana Melayu? Apa yang dibimbangkan, bagaimana untung nasib bangsa kita dalam jangka masa 10 atau 20 tahun akan datang? Adakah hanya Melayu akan tinggal nama saja? Kita perlu bangkit dari dibuai mimpi semalam.

Jika orang Melayu tidak bangkit dan berusaha, kita bimbang putaran waktu akan mempercepatkan kejadian yang amat kita takuti itu. Apa yang lebih dibimbangkan jika suatu hari nanti kita menjadi pedagang di bumi sendiri, lebih menakutkan jika kita menjadi ‘tetamu’ di rumah sendiri dan yang lebih merisaukan jika di saat kita membangkitkan bangsa Melayu ada di kalangan kita yang berkenduri besar atas apa yang berlaku.

Jika kita tidak memperjuangkan nasib bangsa dan kedudukan kita, siapa lagi yang akan ambil peduli?

Persoalannya adakan kita semua sedar di mana kedudukan kita sekarang ini? atau sekadar membiarkan apa yang berlaku kepada pemimpin yang ada? Ternyata tanggungjawab ini bukan terletak di atas bahu seorang individu sahaja tetapi setiap warga bangsa Melayu perlu memikul tanggungjawab agar segera bangkit dari lamunan memperjuangkan nasib bangsa.

Kita perlu tanya pada diri sendiri kenapa semua permasalahan ini berlaku? Kenapa kita dianggap lemah? Kita mudah melatah dan melenting apabila dicuit tetapi kembali berlembut apabila sduah sejuk.

Sempena bulan Ramadan yang mulia dan penuh keberkatan serta bulan untuk menyambut kemerdekaan yang ke-52, atas dasar Melayu/Islam marilah kita bersatu. Kita perlu buang ego masing-masing, buang jauh-jauh ‘peperangan emosi’, hindarkan peperangan psikologi dan tolak sama sekali peperangan politik.

Sebaliknya ambillah kesempatan walau sedetik untuk duduk semeja bertemu empat mata di antara kedua-dua pihak untuk membincangkan perpaduan Melayu/Islam. Jangan sampai gajah dengan gajah berperang tetapi kancil yang tersempit di tengah-tengah.

Rakyat ternyata sudah ‘muak’ dengan apa yang berlaku. Pilihan raya demi pilihan raya mengajar kita betapa pentingnya erti sebuah perpaduan Melayu/Islam. Apa salahnya demi kerana sebuah penyatuan kita lupakan seketika sengketa remeh dan perbezaan ideologi sebaliknya bulatkan tekad untuk duduk semeja bertemu secara empat mata-mata dari hati ke hati. Percayalah bahawasanya seekor ular yang bisa menyusur akar tidak akan hilang bisanya.

sumber: Utusan Malaysia

Kongsi Link Anda