Popular Today

Selasa, Julai 07, 2009

Mustafa - jangan politikkan isu royalti minyak, bawa isu ke mahkamah!

2 Komen!!!
KUALA KRAI: Kerajaan Pas Kelantan disaran membawa isu tuntutan royalti minyak ke mahkamah daripada terus mempolitik isu berkenaan semata-mata untuk mengelirukan rakyat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, berkata Kerajaan Pas Kelantan wajar merujuk kepada undang-undang selepas enggan menerima penjelasan Kerajaan Pusat.

Katanya, Kerajaan Pusat sudah menjelaskan yang kerajaan negeri tidak layak mendapat royalti daripada pengeluaran petroleum di kawasan bertindih antara Malaysia, Vietnam dan Thailand itu.

"Berikutan kedudukan Pas sebagai parti pembangkang, saya tidak jangka mereka akan bersetuju dengan kenyataan itu dan menerima penjelasan yang dibuat Kerajaan Pusat, itu biasa dan mereka terus mempolitikkan tuntutan itu.

"Sedangkan negara ini berasaskan undang-undang dengan setiap rakyat dan kerajaan negeri mempunyai hak masing-masing. Siapa yang tak puas hati, mereka berhak mengambil tindakan undang-undang mengikut saluran yang ada.

"Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, boleh menghantar surat mengenai royalti itu tanpa sebarang halangan dan Kerajaan Pusat akan menjawabnya mengikut apa yang termaktub dalam undang-undang," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu, Mustapa yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan, kecewa dengan tohmahan pihak tertentu yang mendakwa beliau menjadi dalang yang menyekat segala pembangunan ke negeri ini.

Beliau berkata, jika benar beliau bersikap demikian terhadap Kelantan, adalah mustahil untuk negeri ini menikmati segala kemajuan seperti dikecapi sekarang yang sebahagian besar sumber kewangan serta projek mega disalurkan Kerajaan Pusat.

"Saya kecewa dengan tohmahan pihak tertentu mengatakan saya bertanggungjawab menyekat segala pembangunan di negeri ini, sedangkan segala nikmat pembangunan yang dinikmati Kelantan, sebahagiannya melalui usaha saya seperti peruntukan menerusi Rancangan Malaysia Ke-Sembilan (RMK-9) yang menyaksikan Kelantan menerima RM7.6 bilion, iaitu negeri paling banyak mendapat peruntukan sepanjang RMK-9.

"Ada pihak tertentu yang mungkin tidak berpuas hati terhadap sesuatu perkara dan melemparkan tohmahan itu. Adalah mustahil untuk saya menyediakan sesuatu itu 100 peratus lengkap sepenuhnya. Saya akui ada kelemahannya dan kita akan atasinya dengan sebaik mungkin untuk kemajuan negeri ini," katanya.

Mustapa berkata, untuk membuktikan bahawa segala tohmahan yang dilemparkan kepadanya termasuk Barisan Nasional (BN) itu tidak benar, rakyat Kelantan harus memberi peluang bagi membolehkan beliau serta BN buktikan segala janjinya pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (Dun) Manek Urai, Selasa depan.

Katanya, sekiranya BN menang, kawasan Manek Urai akan menjadi model transformasi kepada kejayaan BN dan sekali gus membuktikan bahawa masyarakat Kelantan masih inginkan pembangunan.

"Beri peluang kepada kami (BN) untuk buktikan dalam tempoh tiga tahun ini sebelum pilihan raya umum ke-13 nanti, untuk membuktikan keikhlasan BN yang selama ini memperjuangkan nasib rakyat serta pembangunan negeri ini," katanya.

Gempar - Nizar cuba pujuk YB Jamal!

3 Komen!!!
Setelah ‘berpisah’ kira-kira empat bulan, bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin, hari Selasa lepas (30 Jun 2009) buat pertama kalinya cuba menghubungi bekas Exconya yang kini ADUN Bebas kawasan Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi.

Jamaluddin yang dihubungi Agendadaily mengesahkan Nizar menghubungi beliau melalui telefon bimbitnya.

Bagaimanapun beliau menegaskan, beliau tidak menjawab panggilan tersebut kerana tidak mahu melayan bekas Menteri Besar itu.

“Dulu masa kita minta dia hubungi kita, dia enggan berbuat demikian…sekrang pula baru nak telefon. Tak payahlah, saya tak minat nak bercakap dengannnya,” kata beliau.

Menurut Jamaluddin, Nizar menghubunginya jam 12.09 tengah malam dan semasa menerima panggilan tersebut, beliau sedang mengadakan pertemuan dengan beberapa Ketua UMNO Cawangan di Behrang.

Bagi membuktikan memang Nizar yang menghubunginya, beliau telah meminta salah seorang yang hadir pada pertemuan itu menghubungi semula nombor telefon berkenaan dan sah nombor tersebut adalah milik Nizar.

Ditanya kenapa beliau tidak menjawab panggilan Nizar bagi sekurang-kurangnya mengetahui apa tujuan beliau membuat panggilan berkenaan, Jamaluddin mengulangi “Saya tak minat nak bercakap dengannya”. – 7/7/2009

Isnin, Julai 06, 2009

manek Urai - waspada fitnah PAS pecah belahkan jentera UMNO

1 Komen!!!
Jika pihak pembangkang mengatakan UMNO Manik Urai pecah kepada kepada 2 team,calon tidak diterima oleh ahli UMNO sendiri , ini komen oleh Ketua Bahagian UMNO Kuala Krai Datuk Ramzi Abd Rahman

“Dia diterima oleh semua kumpulan, termasuk veteran UMNO di Kuala Krai,” kata Ramzi.
Pemilihan Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manik Urai, Kelantan adalah pilihan terbaik untuk para pengundi di kawasan itu, kata Datuk Seri Najib Razak.

Tidak hairanlah jika Perdana Menteri menaruh keyakinan kepada Tuan Aziz berdasarkan kemampuannya dalam melaksanakan tugas sebagai pegawai Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) dan daya kepimpinan beliau selama ini yang mengatasi calon Pas berdasarkan rekod perkhidmatan dan kemampuannya.

"Calon kita ini terbukti kemampuannya sebagai pegawai Kesedar dan dia ni banyak berurusan dengan orang ramai dan orang tempatan.

"Orang tempatan kenali dia dan kalau kita lihat dari segi kemampuan dan daya kepimpinannya, saya lihat apa yang telah dia lakukan selama ini mengatasi calon Pas dari segi 'track record' dan kemampuannya.

"Maknanya kita telah menetapkan calon yang terbaik untuk para pengundi di Manek Urai," kata Najib mengulas keupayaan Tuan Aziz.

Pertandingan satu lawan satu BN-Pas di Manek Urai

1 Komen!!!
KUALA KRAI: Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan menyaksikan persaingan satu penjuru antara calon BN dan Pas.

BN menampilkan bekas Pengurus Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar), Tuan Aziz Tuan Mat, manakala Pas diwakili peniaga, Mohd Fauzi Abdullah.

Nama calon diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Adnan Hussin jam 11.10 pagi di pusat penamaan calon di Dewan Petra, Sekolah Menengah Sultan Yahya Petra 1.

Kerusi DUN Manek Urai kosong selepas penyandangnya, Ismail Yaakob, 60, dari PAS meninggal dunia pada 22 Mei lalu. Jika ada pertandingan pengundian akan dijalankan 14 Julai.

kisah PIS PAS PUS!

0 Komen!!!

Mula-mula penubuhan... sewaktu masa dahulu..
PIS - Parti Islam Semalaysia tetapi di sebut PAS.... Parti Ajaran Sesat... kemudian PUS- PAS Untuk Semua..

Mula-mula slogan...
Membangun bersama Islam, kemudian tukar negara kebajikan

Mula-mula tujuan...
Negara Islam, kemudian tukar dengan negara Sekular sesuai dengan hasrat Pakatan Rakyat

Mula-mula...
Bersama kepimpinan ulama, kemudin tukar bersama kepimpinan erdogan..

Mula-mula...
Haramkan kerjasama UMNO, MCA dan MIC, kemudian halalan kerjasama DAP.. walaupun dengan syaitan pun boleh berkawan..



PADA Pilihan Raya Umum 1990, rakyat dipujuk untuk menukar kerajaan negeri Kelantan daripada Barisan Nasional (BN) kepada Pas supaya negeri itu "membangun bersama Islam".

Rakyat Kelantan akhirnya setuju menukar kerajaan. Oleh itu, BN tewas pada PRU tersebut. Pas pula memerintah Kelantan hingga ke hari ini.

Walaupun hampir 20 tahun berlalu, janji Pas untuk membolehkan rakyat dan negeri Kelantan "membangun bersama Islam" masih dinanti-nantikan. Sepanjang tempoh itu, majoriti hasil Kelantan bergantung kepada tanah, balak dan lombong. Hasil perindustrian yang besar hanya sekadar impian.

Contohnya, kerajaan negeri menjangka hasil sebanyak RM401 juta menerusi Belanjawan 2008. Perbelanjaan mengurusnya pula melebihi perolehan hasil, iaitu sebanyak RM424.73 juta. Ini bermakna ia adalah belanjawan defisit.

Anggaran hasil bagi 2008 sebanyak RM401 juta itu, majoritinya daripada hasil tanah dan perhutanan. Hasil tanah sebanyak RM166.68 juta atau 41.57 peratus, dan hasil perhutanan sebanyak RM90.97 juta atau 22.69 peratus daripada jumlah seluruhnya.

Lain-lain sumber hasil adalah daripada penjualan batu kuari, fee Mahkamah Syariah, fee untuk Laporan Cadangan Pemajuan di bawah Jabatan Perancang Bandar dan Desa, serta pungutan fee pendaftaran nikah melalui e-nikah.

Ini bermakna kerajaan negeri hanya bergantung sepenuhnya kepada tanah, hutan, batu kuari, Mahkamah Syariah dan pernikahan rakyatnya untuk mendapatkan hasil negeri.

Kedudukan kewangan seperti ini sebenarnya sangat mengecewakan rakyat Kelantan kerana hasil sebuah syarikat yang tersenarai di Papan Kedua BSKL pun lebih besar daripada itu.

Jika ramai rakyat Kelantan tidak bayar cukai tanah, kayu balak makin pupus, batu kuari tidak ada pembeli, kes-kes Mahkamah Syariah berkurangan dan pernikahan juga kian merosot, maka akan kosonglah kocek kerajaan negeri.

Sekiranya Kerajaan Pusat memberhentikan terus pembiayaan projek-projek pembangunan di Kelantan yang bernilai berbilion ringgit, rakyat negeri berkenaan pasti hanya mampu menghisap jari kerana kempunan.

Hakikatnya ia tidak harus berlaku. Kerajaan negeri sepatutnya memajukan sektor perindustrian. Tetapi, mengapakah ia gagal dilakukan? Kenapa kilang-kilang yang sedia ada memberhentikan operasinya?

Ekonomi Kelantan sepatutnya sudah menjadi lebih kukuh daripada sewaktu pemerintahan BN. Di Kelantan ada banyak pantai yang indah dan menarik. Ada air terjun dan ada gua. Sungai Kelantan pun patut penuh dengan restoran terapung seperti di Sungai Nil di Mesir.

Anehnya, mengapakah potensi pelancongan seperti ini tidak dibangunkan? Kenapa tidak dieksploitasi wang pelabur dari dunia Islam? Tempoh 20 tahun adalah terlalu lama untuk berdepan dengan kegagalan!

Beribu-ribu anak Kelantan telah lulus universiti, menjadi tenaga professional dan warga korporat di luar Kelantan. Sumber intelek dan tenaga insan seperti ini juga mengapa tidak digembleng untuk membangunkan negeri?

Kelantan mempunyai beraneka jenis kuih- muih yang unik dan lazat. Ada jala emas, ada tahi itik, ada akuk dan lain-lainnya. Ini pun tidak mampu untuk dikomersialkan?

Begitu juga Kelantan mempunyai budaya yang tersohor. Ada mak yong dan menora. Ada dikir barat, ada wayang kulit. Ini semua tidak boleh dijadikan sumber pendapatan negeri? Kelantan cukup masyhur dengan kraf, batik dan songket. Itu pun tidak mampu untuk diperkasakan oleh kerajaan Pas?

Kalau ini semua sukar untuk dilaksanakan, industri serban, kopiah dan jubah seperti dibangunkan oleh masyarakat Islam di China, pun susah untuk dimajukan?

Kerajaan Kelantan sepatutnya sudah menganjurkan seminar untuk menarik pelaburan negara-negara Islam. Kerajaan negeri juga sepatutnya sudah menganjurkan misi perdagangan ke Arab Saudi, Kuwait, Qatar, Iran dan lain-lain negara di Asia Barat.

Namun semua ini hanya tinggal harapan. Ia belum jadi kenyataan. Malangnya bila rakyat bersuara, kerajaan negeri mula menuding ke arah kerajaan pusat sebagai punca kegagalannya.

Berdasarkan seluruh hakikat di atas, rakyat Kelantan perlu berani bangkit dan mempersoalkan kegagalan Pas dalam melaksanakan manifesto "membangun bersama Islam" yang dijanjikan pada 1990. Tindakan ini diizinkan oleh Islam.

Kerajaan Kelantan perlu menjelaskan kepada rakyat, apakah punca yang menggagalkan pelaksanaan manifesto itu.

Saya memang menghuraikan seluruh perkara di atas sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai.

Pilihan raya kecil itu adalah pentas terbaik untuk rakyat memulakan gerakan mengaudit kerajaan Kelantan yang gagal melaksanakan manifesto itu.

Rakyat perlu insaf, pembangunan bukan setakat mengharamkan kedai empat nombor ekor. Pembangunan bukan hanya membuka pasar raya besar. Pembangunan bererti mampu menjana peluang pekerjaan yang besar untuk rakyat.

Oleh itu, isu pembangunan ekonomi dan kesejahteraan rakyat perlu mengatasi seluruh retorik politik dalam kempen di Manek Urai.

Pihak BN perlu menggunakan isu-isu ini sebagai "serangan ke tahap maksimum". Jangan asyik bersikap defensif dan akhirnya terjebak dengan retorik Pas.

Jika BN juga masih belum mengotakan apa-apa janji, tunaikan segera sebagai bukti BN bersikap budiman dan tetap mengotakan janjinya.

Pas pula perlu menggunakan Manek Urai sebagai pentas utama untuk memberitahu rakyat mengapakah ia gagal melaksanakan manifesto PRU 1990.

Pas jangan asyik salahkan pihak lain. Jangan enggan bermuhasabah diri. Jangan marah bila ditegur. Dan janganlah pihak yang menegur secara ikhlas pula didesak untuk meletak jawatan atau keluar parti.

Para pengundi Manek Urai akan berkesempatan menilai parti manakah yang mampu menunaikan janji dan mampu pula membawa pembangunan.

Menerusi kaedah ini, calon yang wajar diberikan sokongan dan kemenangan hendaklah dikaji daripada sudut kemampuan partinya untuk membawa pembangunan fizikal kepada rakyat.

Rakyat Kelantan perlu bertindak sekarang. Kalau dalam PRU 12, rakyat bertindak menyedarkan BN supaya jangan asyik terlena, di Manek Urai kita sedarkan Pas bahawa mandat rakyat jangan dipersia-siakan.

Tindakan ini perlu terutamanya bila situasi mutakhir ini menyaksikan agama Islam, bahasa Melayu, Raja-Raja Melayu dan keistimewaan Melayu sedang diganggu-gugat oleh sesetengah pihak.

Rakyat perlu diberitahu dan dididik untuk memilih kail, bukannya ikan.

Akhir sekali, rakyat perlu insaf bahawa Kelantan boleh jadi maju jika pemimpin Pas bersikap berani, jujur dan penuh kreativiti.

Sejak 20 tahun lalu, semuanya hanya retorik bukannya realiti. Bertindaklah sekarang demi kemajuan bersama!

DATUK IBRAHIM ALI ialah Ahli Parlimen Pasir Mas, Kelantan dan juga Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa)

Sabtu, Julai 04, 2009

Lim Guan Eng - saya tak boleh bantu penduduk Kg Buah Pala!

6 Komen!!!

Istilah Pakatan Rakyat hanyalah lipstik smata-mata, perkataan rakyat hanya untuk mengumpan rakyat memilih mereka bukan bererti ianya jaminan untuk rakyat di jamin kebajikannya oleh Pakatan Rakyat. Setakat 23 keluarga tidak mengundi DAP tidak apa bagi Ketua Menteri... masyarakat minoriti akan terus tertekan kerana dasar dap yang hanya menjaga kepentingan majoriti sahaja.

Lim berkata selain menjaga kepentingan 23 keluarga itu, kerajaan negeri juga perlu melihat keperluan 1.5 juta penduduk negeri ini..

Kg Buah Pala adalah menefestasi kegagalan Kerajaan Pulau Pinang. DAP Pulau Pinang hari ini mengakui tidak mampu untuk mengambil alih tanah di Kampung Buah Pala daripada sebuah koperasi dan pemaju untuk membolehkan 23 keluarga terus tinggal di situ kerana kosnya terlalu tinggi.

Walaupun Guan Eng bersimpati...ianya hanya gula manis dibibir DAP semata-mata. Jika ianya berlaku kepada UMNO mereka mesti telah menuduh UMNO merampas tanah rakyat.. tapi bagaimana pula jika DAP dan Pakatan yang memerintah!

Dalam keadaan tersepit antara tuntutan penduduk dan perintah undang-undang, beliau kemudiannya mengambil jalan tengah dengan meminta kerajaan persekutuan untuk mengambil balik tanah itu daripada Koperasi Pegawai Kerajaan Pulau Pinang dan membayar pampasan kepada pemaju, Nusmetro Ventures (P) Sdn Bhd.

Hakikatnya DAP Pulau Pinang tidaklah berusaha untuk membantu penduduk buah pala untuk kekal... cuma hanya membantu menggali kubur penduduk kg Buah Pala... supaya impian mereka kekal duduk disitu akan terus terkubur!

Usahawan Malaysia mahu beli kelab Newcastle United

0 Komen!!!
KUALA LUMPUR 3 Julai – Sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dikaitkan berminat untuk membeli kelab bola sepak England, Newcastle United, lapor media Britain hari ini.

Akhbar Mirror dalam laman webnya, www.mirror.co.uk memetik kenyataan pemilik Newcastle, Mike Ashley yang mengakui telah dikunjungi prospek pembeli - iaitu sekumpulan ahli perniagaan dari Malaysia dalam satu pertemuan rahsia.

Ashley, seorang ahli perniagaan yang membina kekayaan menerusi rangkaian kedai barangan sukan mula menyuarakan hasrat untuk menjual kelab England itu selepas ia tersingkir daripada saingan Liga Perdana, musim lalu.

Identiti ahli perniagaan dari Malaysia itu tidak didedahkan, namun kehadiran mereka dikesan oleh kakitangan dan para pemain kelab ketika keempat-empat mereka dibawa melawat stadium dan gelanggang latihan.

Ashley yang membeli Newcastle dengan harga 135 juta pound (RM752 juta) pada 2006 dikatakan tidak sabar lagi untuk menjual kelab tersebut yang hingga kini masih belum memiliki pengurus, sebulan sebelum cabaran kejuaraan bermula.

Bulan lalu, ahli Lembaga Pengarah Newcastle United mengumumkan bahawa kelab itu akan dijual dengan harga 100 juta pound (RM555.7 juta).

Untuk rekod, syarikat automobil nasional, Proton merupakan syarikat Malaysia pertama melibatkan diri dalam bola sepak England menerusi penajaan jersi bekas kelab Liga Perdana, Norwich City pada musim 2003-2006.

Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia pula menjadi penaja jersi pengadil perlawanan Liga Perdana, yang mana logo mereka tertera di lengan baju pengadil dan pembantu pengadil dalam lebih 50 perlawanan.

Nanti ada sahaja yang kata membazir, lebih baik sponsor dalam negara dari kelab leuar negara... bagi aspirasi... ini mungkin jalan terbaik jika pemain Malaysia dapat didedahkan di sana....

Pentadbiran DAP, PKR dan Pas lebih teruk daripada BN?

1 Komen!!!
Oleh AZMAN ANUAR
rencana@utusan.com.my

KERANA 'masalah babi,' DAP mengisytihar keluar daripada kerajaan pakatan pembangkang negeri Kedah.

Kerana gagal menyelamatkan Kampung Buah Pala daripada diambil alih oleh pihak pemaju, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng diminta letak jawatan dan balik ke Melaka.

Inilah senario kemelut politik pakatan pembangkang di utara tanah air.

Kini tidak boleh disembunyikan bahawa di Kedah, DAP dan Pas bergaduh kerana babi.

Di Pulau Pinang, hubungan antara DAP dan PKR sedang bergelora berikutan penyingkiran Johari Kassim, wakil PKR dalam Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Orang Hindraf Pulau Pinang pun sudah marah dengan DAP. Yang peliknya, kira-kira 200 penduduk Kampung Buah Pala yang dikatakan anggota pertubuhan haram Hindraf itu boleh membuat pelbagai tuntutan.

Kini mula terdedah tembelang pakatan DAP, PKR dan Pas. Apa yang mereka janjikan semasa kempen pilihan raya umum 15 bulan lalu ibarat menabur janji kosong.

Pentadbiran negeri Kedah dan Pulau Pinang nampaknya tidak terurus dengan lancar. Kepincangan mula terserlah. Kerjasama untuk memberi keyakinan kepada rakyat bahawa pakatan pembangkang akan menjadi kerajaan yang lebih baik daripada Barisan Nasional (BN) hanya cakap kosong.

Ini semua akibat kepura-puraan dan tiada keikhlasan sebenar dalam pakatan pembangkang. Imej pakatan pembangkang sebagai gabungan parti yang memperjuangkan untuk semua kaum hanya sedap didengar tetapi hakikatnya hala tujunya memeningkan kepala rakyat.

DAP, PKR dan Pas mempunyai impian yang berlainan. Dalam pilihan raya sebelum ini pun kita dapat melihat pakatan yang mengguna nama Barisan Alternatif dan kini Pakatan Rakyat berusaha untuk menunjukkan mereka boleh bersatu tetapi ternyata palsu.

Matlamat dan idealisme parti masing-masing jauh berbeza.

Sindrom menyalahkan pihak lain dan penafian keretakan berlaku dalam pakatan pembangkang bukan suatu yang baru.

Lihatlah gelagat Guan Eng menyalahkan kerajaan sebelum ini dan memberi amaran kepada pemaju yang mengarah penduduk Kampung Buah Pala mengosongkan tanah di sana.

Kerajaan negeri BN sebelum ini pun banyak berhadapan dengan masalah membabitkan kampung setinggan tapi tidaklah sampai hendak ugut atau cari salah pihak lain.

DAP Kedah pula membelitkan kata-kata menggesa rakyat harus menghormati undang-undang tetapi dalam kes pusat penyembelihan babi tanpa lesen di Kampung Berjaya, Alor Setar, parti itu pula cuba membela pihak yang melanggar undang-undang.

Tindakan itu jelas mencerminkan sikap hipokrit para pemimpin politik pembangkang dalam menangani kemelut.

Unsur-unsur menyalahkan pihak lain akan jadi mainan pakatan pembangkang selagi pemimpin DAP, PKR dan Pas hanya menjaga kepentingan, kedudukan, pangkat dan status semata-mata.

Sebab itu jika diperhatikan, jalan mudah bagi gabungan pembangkang apabila tidak dapat menyelesaikan masalah rakyat adalah dengan menyalahkan BN.

Menuding jari kepada kerajaan negeri terdahulu memang jalan paling mudah tetapi bukan bermakna pakatan pembangkang boleh melepaskan diri.

Kalau benar kerajaan BN buat silap, tidak mampukah kerajaan campuran pakatan pembangkang membetulkannya?

Kongsi Link Anda