Jimadie Shah Othman | Apr 28, 08 1:07pm
eksklusif Presiden PKR Dr Wan Azizah Wan Ismail - dengan gayanya yang lemah lembut dan tidak agresif - tidak akan menjadi ketua pembangkang yang lemah di Dewan Rakyat, kata naib presidennya Mohd Azmin Ali.
"Walaupun dalam kelembutannya tetapi mesej yang akan disampaikan itu cukup tegas untuk memastikan agenda reformasi diteruskan.
"Dan saya percaya beliau sedang menyiapkan ucapan sulungnya yang akan disampaikan pada pertengahan minggu depan," kata Azmin, yang juga ahli parlimen Gombak, dalam wawancara dengan Malaysiakini, Jumaat lepas.
Wan Azizah, ahli parlimen Permatang Pauh, terpilih sebagai ketua pembangkang selepas partinya menguasai 31 kerusi, manakala DAP 28 dan PAS 23.
Beliau mencipta sejarah sebagai ketua pembangkang wanita pertama di parlimen.
Ketua pembangkang sebelum ini Lim Kit Siang, seorang tokoh utama DAP yang lantang, memegang jawatan itu hampir tiga dekad.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang pernah memegang jawatan itu selepas menggantikan allahyarham Datuk Mohd Fadzil Noor antara 1999 hingga 2004.
Dalam wawancara eksklusif itu, Azmin juga mengakui beliau salah seorang yang terlibat dalam rundingan untuk memujuk wakil-wakil BN melompat kepada Pakatan Rakyat.
"Saya tidak menyatakan bahawa saya penggerak utama. Ketua umum (Datuk Seri Anwar Ibrahim) penggerak utamanya yang memimpin perbincangan dengan mereka tetapi saya menolongnya kerana beliau jua ada komitmen lain," katanya.
"Saya akan memastikan perbincangan diteruskan dan saya laporkan langsung padanya tentang perkembangan terkini tentang perkara ini."
Beliau juga menafikan Anwar tidak serius apabila membuat kenyataan peralihan sokongan lebih 30 ahli parlimen BN itu akan berlaku selewat-lewatnya 16 September ini.
"Beliau mengumumkan perkembangan terkini. Semuanya berasaskan fakta dan nombor (angka mereka yang akan meninggalkan BN) ... Tetapi apa yang penting sekarang, apabila kita mengisytiharkan kerajaan persekutuan yang baru, ia mesti ada kredibiliti.
"Kita tak mahu membentuk kerajaan yang lemah. Jika majoriti (yang menyertai Pakatan) sangat tipis, ia tidak bagus untuk negara dan rakyat. Jadi, kita ada masa yang cukup. Mereka (BN) yang dikejar masa. Jadi, kita akan terus menguatkan posisi kita sebelum buat pengumuman tersebut."
Ditanya kenapa tanggal 16 September dipilih sedangkan tempohnya tidaklah terlalu panjang dari sekarang, Azmin berkata:
"(Tanggal) ini tentang strategi, bagi saya lebih cepat lagi bagus. Tapi kita tidak tergesa-gesa, asas kepada pengumuman kami ialah untuk pastikan pembinaan kerajaan yang kuat dan berwibawa. Itu keutamaan sekarang."
Beliau juga mendedahkan, ahli-ahli parlimen BN yang didekati parti itu bukan sahaja Malaysia timur tetapi juga Semenanjung.
"Tidak saja dari Sabah dan Sarawak, tapi juga daripada Semenanjung, (termasuk) dari ahli parlimen Umno dan seperti saya cakap di awal tadi, isu duit tidak dibincangkan, apa yang kami tawarkan mereka adalah perwakilan yang adil untuk Sabah dan Sarawak.
"Kita akan pastikan mereka dapat perwakilan yang lebih baik (di parlimen dan kerajaan persekutuan) dan hak orang Sarawak dilindungi. Begitu juga dengan pembangunan.
"Jika kita lihat pada Sarawak dan Sabah selepas 50 tahun merdeka, dengan semua petroleum dan royalti ... semua orang Sarawak - Iban, Kadazan, Murut dipinggirkan oleh kerajaan.
"Dan saya tak rasa kita akan sambung dasar (peminggiran) ini."
Tiada ulasan:
Catat Ulasan