Laporan Saufi Hamzah Magendran Rajagopal dan Sazarina Shahrim
Ketiadaan garis panduan jelas timbul pelbagai masalah kes keluar Islam
KUALA LUMPUR: Penggubalan undang-undang khusus lebih terperinci mengenai isu murtad perlu disegerakan bagi meleraikan segala kekusutan berhubung perkara itu, baik di kalangan umat Islam atau bukan Islam.
Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat), berkata ketiadaan garis panduan jelas mengenai murtad kini menimbulkan banyak masalah, terutama apabila seseorang yang memeluk agama Islam mahu kembali kepada agama asalnya.
"Kita tidak boleh biarkan seseorang itu keluar dan masuk sesuatu agama sewenang-wenangnya walaupun Perlembagaan negara membenarkan kebebasan beragama.
"Kalau kita hormati sebarang agama, kita harus hormati ajaran yang disampaikan. Islam tak benarkan seseorang murtad sesuka hati, itulah sebabnya kita perlu ada garis panduan yang jelas.
"Kita hormati agama lain. Kalau agama lain boleh keluar masuk sesuka hati, kita hormati ajaran agama itu seperti orang lain harus hormati ajaran Islam," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat semalam.
Menjawab kemusykilan Chong Eng (DAP-Bukit Mertajam), Mohd Puad menjelaskan tidak ada paksaan untuk memeluk agama Islam, tetapi perlu ada rasional yang munasabah jika seseorang itu ingin kembali kepada agama asalnya.
Katanya, kewujudan akta yang khusus berhubung murtad dan menjawab segala persoalan yang dihadapi terutama bagi golongan bukan beragama Islam yang mempunyai anggota keluarga memeluk agama Islam.
Nasharuddin Mat Isa (Pas-Bachok), yang bangun mencelah, mengesyorkan akta yang dicadangkan itu perlu membuat perbezaan jelas antara undang-undang substantif dan yang berkaitan prosedur.
"Kita tak boleh paksa sesiapa untuk menerima sesuatu agama dan begitu juga dalam Islam, apabila seseorang itu sudah menganuti agama Islam, dia tertakluk kepada akidah dan ajaran dalam Islam.
"Banyak pertikaian yang kita lihat sekarang adalah berkaitan prosedur walaupun dari segi substantif sudah agak jelas," katanya.
Taib Azamuddin Md Taib (Pas-Baling) pula mahu pendekatan terperinci digubal dalam perkara berkaitan cara menangani permasalahan seseorang yang mahu meninggalkan Islam untuk kembali kepada agama asal.
"Bila seseorang memeluk Islam, dia tertakluk dengan apa saja ajaran Islam secara menyeluruh.
"Oleh itu, perlu ada akta menyeluruh bagi membolehkan seseorang yang mahu meninggalkan agama Islam itu menemui orang berkenaan untuk dikenal pasti permasalahan, sebab musabab kenapa beliau nak meninggalkan Islam.
"Jangan ada yang salah tafsir boleh memeluk agama Islam dan meninggalkannya secara mudah ikut suka hati," katanya.
Berita Harian 7/5/08
Tiada ulasan:
Catat Ulasan