Abdul Rahim Sabri | Jun 6, 08 5:11pm
Satu lagi demonstrasi kecil membantah kenaikan mendadak minyak diadakan di hadapan sebuah masjid di Taman Dato' Harun, Petaling Jaya sejurus selepas solat Jumaat hari ini.
Demonstrasi aman itu - keempat diadakan seluruh negara sejak semalam - yang dianjurkan oleh Angkatan Muda (AMK) PKR bahagian Petaling Jaya Selatan (PJ selatan) disertai lebih kurang 50 orang.
Ia disertai ahli parlimen PJ selatan, Hee Loy Sian, timbalan ketua bahagian tersebut Shariffudin Budin dan wakil AMK bahagian Mahhrul Ismail.
Demonstrasi lebih kurang 15 minit bermula 2 petang, sejurus orang ramai selesai menunaikan solat, turut menarik perhatian ahli kariah dan pengguna jalan raya. Kira-kira 60 orang lagi menyaksikan perhimpunan tersebut.
Hee mengajak rakyat menukar kerajaan BN dan meluahkan rasa tidak puas hati mereka. "Adakah kita berpuas hati?" katanya. "Mari tumbangkan kerajaan."
Shariffudin (foto bawah) turut menyatakan rasa tidak berpuas hati dengan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen dan diesel RM1 sejak kelmarin, dengan mengangkat satu keratan akhbar The Star hari ini kepada orang ramai.
"Apakah tanda ini? Kalau tak turun harga petrol, rakyat akan turunkan kerajaan," katanya, sambil mengangkat keratan berita 'Shahrir: Why now and not in August'
"Kita membantah sekeras-kerasnya kenaikan harga minyak."
Sepanduk-sepanduk yang dijulang dalam perhimpunan itu, antaranya, 'Pemimpin munafik berkata... tiada kenaikan minyak untuk tahun ini?', 'Kerajaan Pakatan Rakyat akan turun minyak 24 jam', 'Undilah BN untuk kenaikan harga minyak' dan 'Tahniah! Kepada pengundi BN, inilah hadiah untuk anda'
Ditemui selepas itu, Shariffudin berkata demontrasi itu bertujuan melihat reaksi awal daripada penduduk di situ. Wajah penduduk di situ memang tidak berpuas hati dengan kenaikan harga minyak, tambahnya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan