KOTA BHARU: Selepas Selangor dan Pulau Pinang, kini Kerajaan Kelantan pula menolak pegawai dan kakitangannya daripada menyertai program Biro Tata Negara (BTN).
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata beliau tidak bersetuju menghantar pegawai dan kakitanganya menyertai program yang dianjurkan BTN selagi modul dan kurikulumnya tidak diubah mengikut acuan Islam.
Malah, beliau mahu kurikulumnya dirombak dan menonjolkan ke arah Islam. Menurutnya, beliau bersama dua negeri di bawah Pakatan Rakyat bersetuju untuk tidak menghantar pegawainya mengikuti kursus BTN itu.
"Kalau dalam keadaan (kurikulum sekarang) saya setuju tak kirim. Kalau Selangor tolak, Pulau Pinang tolak, tak ada sebab saya nak kirim. Kirim wat gapo (buat apa)?," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.
Bagaimanapun, beliau tidak bercadang untuk ''mengharamkan'' pegawainya menyertainya kerana haram itu perkataan Islam, cuma tidak bersetuju dan tidak menggalakkan menghantar pegawai menyertai program anjuran BTN.
Kerajaan Pulau Pinang 2 Disember lalu melarang semua kakitangannya daripada mengikuti kursus BTN berkuat kuasa serta-merta.
Timbalan Ketua Menterinya, Mansor Othman berkata, tindakan itu dibuat kerana mendapati kursus BTN memberikan kesan negatif dan menjadi medan menyebarkan propaganda Barisan Nasional (BN).
Minggu lalu, kerajaan Selangor mengharamkan kakitangannya dan pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT) milik penuh kerajaan negeri mengikuti kursus atau program dikendalikan BTN berkuat kuasa serta-merta.
Nik Abdul Aziz berkata, sudah lama beliau memerhatikan bahawa kurikulumnya tidak diajar mengikut Islam dan bercanggah dengan dasar agama.
"Kalau boleh BTN ini mengadakan forum dengan pakar ekonomi ke atau ahli dalam bidang tertentu ke arah Islam merombakkan semula BTN mengikut acuan Islam," katanya. - Bernama
2 ulasan:
janganlah nak bercakap pasal islam
kalau hidup tidak bercirikan islam sebenar suka fitnah-memfitnah, bersubahat dengan kapir yang menolak islam dan mempersoalkan mesjid yang banyak didirikan oleh kerajaan umno. Bertaubatlah kepada tuhan,dan bersaralah dari politik dan beri peluang orang lain merasa pulak menteri besar kerana dah lama sangat menunggu. Makin lama memerintah makin banyak lagi dosa dalam hidup. Jangan beranggapan pahala kita dah banyak sedangkan kita tahu amalan kita diterima atau tidak kerana malaikat pun tak beritahu. kalau banyak pun entah entah akhirat nanti jadi bankrap kerana membayar dosa kita pada manusia. ambillah nasihat ini kalau tak mau terima terpulang.
Bro, beginilah caranya mereka untuk mendapatkan sokongan dalam piliharaya, menjual bangsa dan agama..... itu sahaja modal yang mereka ada.....
Catat Ulasan