Kerajaan negeri Johor, baru-baru ini telah melancarkan Pelan Suara Hati Johor dalam usaha memastikan pentadbiran negeri ini dilaksanakan mengikut dasar dan program yang selari dengan kehendak sebenar rakyat.
Selanjutnya ikuti kenyataan penuh dari YAB. Dato' Mohamed Khaled Nordin, Menteri Besar Johor, berkaitan Pelan Suara Hati Johor yang telah beliau lancarkan, Sabtu lalu.
"Pelan Suara Hati Johor yang saya lancarkan pada Sabtu merupakan pemacu transformasi pentadbiran kerajaan negeri selaras dengan usahanya menangani segala permasalahan rakyat masa kini dalam usaha memastikan pentadbiran negeri ini dilaksanakan mengikut dasar dan program yang selari dengan kehendak sebenar rakyat.
Pelan ini merupakan satu pelan pencapaian yang berlandaskan permantauan, ukuran dan berstrategi bagi menangani tuntutan semasa rakyat sekaligus menjurus ke arah pembangunan negeri yang mapan secara berterusan sehingga tahun 2018. Budaya dipacu prestasi akan terus menjadi budaya baru dalam pentadbiran kerajaan negeri dengan semua projek dan program mempunyai sasaran yang boleh diukur.
Tidak ada lagi retorik, omongan politik dan pembangunan kosong, semua projek dan program akan melalui proses penilaian
Kita buka ruang untuk rakyat Johor menyatakan apa yang mereka perlukan. Kita perhalusi setiap cadangan dengan tekun. Kita bincang bagaimana sesuatu itu boleh dilaksanakan dalam konteks pembangunan mengikut acuan kita
Setiap exco yang bertanggungjawab diberikan petunjuk prestasi tahunan sebagai sasaran untuk dicapai. Mereka kemudiannya akan dipantau dan diukur prestasi masing-masing menggunakan indeks dikenali sebagai Indeks Penilaian Prestasi (INPRES) oleh badan bebas yang dilantik.
Tujuh fokus itu adalah meningkatkan tahap keselamatan, menyediakan perumahan mampu milik, menangani kos sara hidup dan kesejahteraan rakyat, menyediakan kemudahan awam dan infrastruktur, memartabatkan agama Islam, menyediakan perkhidmatan kesihatan yang cekap dan meningkatkan tahap ekonomi dan pembangunan usahawan.
Fokus pertama membabitkan keselamatan selepas semua rakyat menyatakan keprihatinan terhadap keselamatan kerana masing-masing mendambakan Johor yang bebas jenayah.Rakyat mahukan keadaan keselamatan dipertingkatkan dan saya berjanji akan meletakkan keselamatan negeri di atas segala-galanya.
Fokus kedua pula mengenai pertumbuhan ekonomi yang mapan secara adil kerana rakyat mahukan pekerjaan dan bukan ihsan, malah memerlukan kehidupan lebih bermaruah dengan pendapatan yang membolehkan mereka berdikari.
Ketiga pula membabitkan tempat berlindung sebagai hak asasi yang mana memiliki rumah bukan lagi keperluan, tetapi hak yang mesti mampu dimilikiSaya memahami betapa peritnya untuk melihat sektor perumahan tumbuh dengan pesat, tetapi tujuannya untuk ditawarkan kepada warga asing dengan harga yang amat luar biasa tingginya.
Keempat pula mengenai kos kehidupan di Johor yang diharapkan lebih munasabah dan sesuai dengan pendapatan.Rakyat merasa terbeban dengan kos hidup yang semakin meningkat. Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan dan perlu ditangani
Ramai yang merasakan kemudahan awam Johor jauh dari memuaskan, sedangkan Johor yang maju dan moden mesti mempunyai prasarana setara negara maju sebagai perkara asasi sebagai fokus kelima.
Kemudahan kesihatan yang baik dan bermutu tinggi menjadi fokus keenam kerana rakyat bukan sahaja memerlukan kemudahan kesihatan yang mudah didapati, malah kepakaran yang terbaik.
Akhirnya, di sebalik semua keperluan material dan asasi, rakyat juga mahukan pemerintahan dan masyarakat Johor yang Islamik serta berpegang kepada agama dan nilai. Semua ini adalah hasrat sebenar rakyat Johor. Ia adalah setulusnya suara hati rakyat Johor, tetapi saya tidak boleh hanya menjadi pendengar yang baik sahaja.
Saya dan rakan-rakan dalam pentadbiran negeri mesti respons secara objektif, praktikal, terancang dan mempunyai impak kepada tujuh fokus utama ini.
- YAB Dato' Mohamed Khaled Nordin.
Menteri Besar Johor.
Dibawah: Gambar sekitar Hari Terbuka Pelan Suara Hati Johor yang telah berlangsung di Madini Mall, Nusajaya pada Sabtu, 31Mei lalu.
sumber : Mael Pengerang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan