Selasa, Jun 10, 2008

Larang Pakai Songkok - DAP biadap

Selain keris, songkok juga merupakan simbol utama dan kebesaran bangsa Melayu. Menolak pemakaian songkok boleh dianggap sebagai menolak ketuanan Melayu dan Raja-Raja Melayu.

Sikap ekstrem DAP terhadap Melayu semakin hari semkain jelas. Satu persatu tindakan mencabar kedaulatan dan maruah bangsa Melayu.

DAP bersikap berdolak-dalik mengenai arahan larangan pemakaian songkok kepada empat orang wakil rakyat parti itu di Johor pada pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) itu minggu depan.

Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, wakil rakyat perlu mengikut keadaan di negeri masing-masing.

''Ini isu sensitif. Kita perlu memandang kepada keadaan setiap negeri dan terserah kepada mereka untuk mematuhinya,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Naib Pengerusi DAP Johor, Norman Fernandez dalam sebuah akhbar bahasa Inggeris semalam yang menyatakan empat wakil rakyat parti itu telah menerima arahan daripada ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang meminta mereka tidak memakai songkok pada pembukaan sidang DUN 19 Jun ini.

Empat wakil rakyat tersebut ialah ADUN Skudai, Dr. Boo Cheng Hau yang juga Presiden DAP Johor; Gwee Tong Hiang (Bentayan); Ng Lam Hua (Mengkibol) dan Ong Kow Meng dari Senai.

Arahan tersebut telah membuatkan kesemua wakil rakyat itu berada dalam keadaan serba salah sama ada hendak memakai atau tidak songkok pada majlis yang akan dihadiri oleh Sultan Johor, Sultan Iskandar Ismail.

Menurut Seng Giaw, terdapat wakil rakyat DAP di negeri seperti Perak dan Selangor yang memakai songkok sewaktu angkat sumpah atau pembukaan sidang.

Beliau bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen ketika ditanya adakah benar wujud sebarang arahan yang melarang mana-mana ahli DAP memakai songkok.

Seng Giaw turut meminta keempat-empat wakil rakyat DAP di Johor supaya menghubungi ibu pejabat parti itu bagi mendapatkan penjelasan.

''Berhubung dengan Pusat supaya boleh bagi keterangan jelas mengenai perkara tersebut,'' ujarnya.

Sementara itu, Penasihat parti berkenaan, Lim Kit Siang pula enggan memberikan sebarang komen tetapi menuntut agar bukti mengenai arahan tersebut diberikan kepadanya.

''Tunjuk saya arahan baru itu baru saya boleh komen. Mana saya tahu itu arahan betul-betul dari CEC,'' katanya.

Tiada ulasan:

Kongsi Link Anda