Popular Today

Selasa, April 22, 2008

kisah babi - sekarang dan masa lalu

0 Komen!!!
Kisah Sekarang


Kelantan tidak sekat bukan Islam ternak babi

Salmah Mat Husain
Tue Apr 22, 08 6:22:45 pm MYT
PASIR PUTIH, 22 April (Hrkh) - Kerajaan Kelantan tidak akan menyekat mana-mana golongan bukan Islam di negeri itu menternak babi kerana ia merupakan makanan untuk golongan berkenaan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Dato� Nik Abdul Aziz Nik Mat, memberitahu kerajaan negeri tidak membenarkan ianya diusahakan secara besar-besaran kerana masyarakat Cina tidak seramai di Selangor.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam satu majlis yang diadakan di sini semalam sebagai mengulas berhubung ternakan binatang berkenaan yang menjadi isu di negeri Selangor.

Tuan Guru seterusnya memberitahu, kerajaan negeri tidak akan menyekat mana-mana individu kaum itu menternak babi sekiranya ia untuk keperluan harian.

"Bagaimanapun kita tidak membenarkan mana-mana pihak membuka ladang ternakan binatang itu secara komersial kerana keperluan di negeri kita ni agak kecil berbanding negeri lain terutama Selangor.

"Cukuplah ladang yang sedia ada di belakang rumah mereka yang diternak secara kecil-kecilan untuk keperluan sendiri dan ianya sudah mencukupi," ujarnya.

Beliau bagaimanapun menyokong tindakan kerajaan Selangor itu sekiranya ia untuk keperluan masyarakat berkenaan yang begitu ramai berbanding di Kelantan.

Tambahnya, walaupun Islam mengharamkan penganutnya memakan daging binatang itu, tidak bererti kerajaan negeri harus bertindak mengharamkan ianya dari diternak oleh masyarakat bukan Islam.

Menyentuh soal pencemaran alam sekitar ekoran penternakan itu beliau berkata ianya boleh dibincangkan dengan Jabatan Alam Sekitar yang mempunyai cara khusus untuk menanganinya.

laporan ( Harakah Daily)








Kisah lalu

Setelah tersiarnya cerita Nik Aziz dan pertemuan dialog dengan para penternak babi yang kononnya terabai kebajikannya di Bukit Pelandok, Negeri Sembilan sana....penulis menerima hampir sepuluh email dari pihak yang kurang berpuas hati dengan cerita yang penulis paparkan...... Rata rata mereka menuduh penulis telah menghina 'ulama' mereka...dan tak kurang juga sebahagian besar dari mereka meminta penulis bertaubat dan memohon maaf kepada Nik aziz.....

Alangkah bejatnya pemikiran para penganut Pas ini..... bilamana selama ini pemimpin mereka menghina dan mempelekehkan insan yang bernama Datuk Abdullah badawi, sebagai pengembala babi....tiada ada satu suara pun yang berani menegur atau menasihat simulut celupar itu.....

Tetapi, bila keadaan atau situasi yang seakan sama terjadi kepada pemimpin atau ulama idola mereka sendiri.... seperti gasing yang berputar....mereka sedaya upaya cuba untuk membelanya..... malah mereka dengan tanpa segan silu, mendakwa yang janji Nik aziz untuk membela nasib penternak penternak babi yang kononya terabai itu ...adalah sesuatu yang harus diberi penumpuan......

Dimanakah rasionalnya???..... Pak Lah yang dipanggil sebagai penjaga babi, ketika beliau mengetuai satu Jawatan Kuasa Khas membasmi satu wabak(JE) yang telah meragut ramai nyawa dan yang mungkin akan merebak keseluruh negara... atas kapasiti sebagai seorang pemimpin negara yang diamanahkan untuk bertanggung jawab terhadap keselamatan dan kesihatan rakyat..... termasuk rakyat yang menganut ajaran Pas...

Hendak disamakan dengan seorang 'ulama' yang datang dari Kelantan ke Bukit pelandok di Negeri Sembilan yang kononnya ingin membela nasib si penternak penternak babi yang terabai..... yang niat dan tujuannya jelas hanyalah untuk 'political milleage'.......

Apakah sudah terbela nasib anak anak Kelantan disana????.... sudah terbelakah ekonomi rakyat sendiri di Kelantan sana??? sudah terbelakah penternak babi diTumpat sana??? sehinggakan beliau begitu bemurah hati untuk membela nasib para penternak babi di Bukit Pelandok kini....

Penulis jadi hiba bila melihat wajah wajah sayu anak Kelantan dikaca TV tadi.... yang merasa malu dan kecewa dengan sikap NikAziz yang tegar untuk berdialog dan ingin membela nasib penternak penternak babi di Bukit Pelandok sana.....

Antara keluhan yang sempat penulis dengar....."Buat apa lah Nik Aziz dok sibuk nak membela nasib para penternak babi di NS tu... alangkah moleknya kalau beliau menumpu untuk membela nasib rakyat miskin di Kelantan sendiri...yang mana masih ramai lagi yang mengharapkan pembelaan darinya...".....

Begitulah lucu, sadis dan ironisnya 'ulama'? Pas ini...... kesengsaraan rakyat di negeri orang nampak jelas dimatanya....tetapi kesengsaraan rakyat sendiri .....????

Wallahualam

Rakyat pilih Kerajaan Negeri dan rakyat juga pilih Kerajaan Pusat

0 Komen!!!
Sebagaimana yang dijangka, Laporan ( Harakah Daily)mengenai usaha kerajaan Persekutuan BN yang menubuhkan jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP)dianggap mencabuli kedaulatan Raja-raja Melayu adalah satu dakwaan yang tidak tepat dan lari dari asas pengurusan. Demikian kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Mahfuz Omar yang mahu Majlis Raja-raja menasihati Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi segera membubarkan JPP.

Penubuhan JPP amat penting bagi kerajaan Persekutuan terus memberi khidmat kepada rakyat. JPP sebelum ini telah pun terbukti berjaya membangunkan rakyat serta memberi faedah kepada mereka. Apa yang penting ialah manfaat kepada rakyat.

Berbalik kepada asas pengurusan, setiap organisasi perlu mempunyai dasar, objektif dan matlamatnya sendiri dan seterusnya melaksanakan setiap projek yang bersesuaian dengan sesebuah organisasi. Adalah sesuatu yang mustahil untuk melaksanakan sesuatu projek jika dasar dan objektif berbeza di dalam satu-satu organisasi dan apatah lagi jika dasar mereka berlawanan. Bagaimana kerajaan Pakatan Pembangkang boleh buat projek kerajaan BN dan begitu juga sebaliknya. Air dan minyak tidak akan bercampur.

Dengan kata lain kerajaan buat la kerja mereka dan BN buatlah kerja BN. Jangan menyibuk kerja orang sedangkan kerja sendiri tidak buat. Setakat apa yang berlaku, kerajaan Pakatan Pembangkang lebih sibuk mencari kesalahan kerajaan BN dan hampir 100 hari tiada lagi pelan tindakan khusus untuk rakyat negeri yang mereka perintah. Tiada satupun janji manifesto yang mereka telah laksanakan. Cuma untung bagi rakyat Selangor yang dapat ternakan babi. Itupun bukan untuk semua kaum.

Tidak timbul isu mencabul hak Raja-raja Melayu, kerana ianya adalah isu pengurusan semata-mata. Apa yang rakyat pilih adalah peringkat negeri, jadi negeri perlu buat apa yang negeri perlu buat dan rakyat pilih diperingkat pusat ialah kerajaan BN maka kerajaan Pusat buat apa yang kerajaan pusat perlu buat. Kenyataan yang dibuat ini juga umpama tidak menghormati suara rakyat yang telah memilih kerajaan pusat.

"Pertemuan esok yang akan turut dihadiri oleh Perdana Menteri adalah landasan tebaik untuk mendesak kerajaan agar menghormati keputusan rakyat," kata Mahfuz. "Mereka ini (Umno-BN) seolah-olah tidak mengiktiraf kerajaan negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat sedangkan ia adalah pilihan rakyat," katanya.

PAS sokong usaha memperkasa BPR

0 Komen!!!
Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang

Tue | Apr 22, 08 | 10:52:44 am MYT
PAS menyokong usaha pihak kerajaan dalam memperkasakan agensi pencegahan rasuah negara, BPR dengan menstrukturnya semula menjadi sebuah suruhanjaya bebas.

Bagi PAS keberkesanan menangani rasuah sesungguhnya tidak terletak semata-mata pada nama atau status tetapi yang lebih penting adalah keikhlasan dan keimanan para petugasnya dan kerajaan yang memerintah serta perlaksanaan yang menepati maksudnya yang sebenar.

PAS merasakan apa yang telah dibentuk dan diasaskan oleh Islam lebih 1400 tahun dahulu merupakan contoh terbaik dalam usaha memerangi dan membenteras rasuah, dan model Islam ini jauh lebih dahulu dari model-model semasa termasuklah apa yang terdapat di Hong Kong pada hari ini.

Islam telah menanam asas memelihara masyarakat dan pemimpin dari rasuah bukan hanya dengan memperkenalkan peraturan dan undang-undang tetapi dimulakan dengan menanam kepercayaan kepada Tuhan yang melihat dan mengetahui segala-galanya.

Islam membentuk masyarakat dan pemimpin sehingga menyedari bahawa perlakuan dan jenayah rasuah tidak hanya akan berakhir di dunia semata-mata tetapi pesalahnya akan turut dihukum di Hari Akhirat kelak.

Bagi PAS sebarang usaha memerangi rasuah mestilah bermula dengan pemerintah yang bersih. Jika parti pemerintah itu sendiri dibebani dengan penyakit rasuah dan mereka pula dipilih melalui amalan rasuah, maka adalah mustahil untuk memberikan kepercayaan kepada mereka ini untuk memerangi rasuah dalam erti kata yang sebenar.

PAS telah berjaya membuktikan corak dan sistem pemerintahan yang bersih dari rasuah di Kelantan, sejak 1990 hingga kini, dan di Terengganu antara tahun 1999-2004.

Insyallah kita akan memperkenalkan model yang sama ini, yang kita yakini dapat diterima oleh semua dinegeri-negeri Pakatan Rakyat dalam usaha melahirkan masyarakat dan pentadbiran yang bersih dan bebas dari rasuah.

22 April, 2008

DATO' SERI TUAN GURU ABDUL HADI AWANG
Presiden Parti Islam Se Malaysia (PAS) - mr

Laporan ( Harakah Daily )

BPR jadi suruhanjaya - Bagi meningkatkan keberkesanan, ketelusan perangi rasuah – PM

0 Komen!!!
Oleh SAIFULIZAM MOHAMAD

KUALA LUMPUR 21 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengumumkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) akan distruktur semula bagi menjadikannya sebuah suruhanjaya bebas yang dikenali sebagai Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia.

Menurut Perdana Menteri, penstrukturan semula institusi membanteras rasuah yang ditubuhkan pada tahun 1967 itu merupakan satu daripada empat inisiatif kerajaan untuk memerangi gejala rasuah di negara ini.

Tiga inisiatif lain ialah:

Menambah jumlah anggota dan pegawai penguat kuasa antirasuah daripada 2,000 orang sekarang kepada 5,000 dalam tempoh lima tahun;

Memperkenalkan undang-undang melindungi pemberi maklumat dan saksi;

Menambah baik sistem pemerolehan awam.

Abdullah berkata, penubuhan Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia itu bertujuan meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam dalam usaha membanteras gejala rasuah di negara ini.

Bagaimanapun, katanya, dari segi pendakwaan, suruhanjaya tersebut perlu merujuk terlebih dahulu kepada Jabatan Peguam Negara sebelum membawa apa jua kes ke mahkamah kerana jabatan itu masih bertindak sebagai pihak pendakwa bagi suruhanjaya berkenaan.

Perdana Menteri mengumumkan pembaharuan kepada institusi BPR itu ketika menyampaikan ucaptama program Dialog Integriti ASEAN di Institut Integriti Malaysia (IIM) di sini.

Dalam ucapannya, Abdullah melahirkan harapannya untuk melihat para pegawai BPR menjalankan tugas tanpa rasa takut dan berat sebelah.

“Saya selalu percaya dengan memberi lebih kebebasan kepada BPR, ia akan membolehkan agensi itu melaksanakan setiap tugas dengan lebih baik.

“Justeru, kesungguhan kerajaan menstrukturkan semula BPR (dengan menjadikannya sebuah suruhanjaya) diharap dapat meningkatkan keberkesanan, ketelusan dan akauntabiliti awam selain mengukuhkan lagi kepercayaan rakyat terhadap agensi ini,’’ katanya.

Perdana Menteri menjangkakan proses penstrukturan semula BPR kepada suruhanjaya akan selesai sepenuhnya sebelum hujung tahun ini.

Beliau berkata, sebuah lembaga penasihat akan ditubuhkan di bawah suruhanjaya tersebut yang dikenali sebagai Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah.

Ujarnya, semua anggota lembaga penasihat berkenaan akan dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.

“Anggota lembaga ini bertanggungjawab memberi nasihat kepada suruhanjaya sama ada mengenai pentadbiran atau operasi. Mereka juga akan diberikan taklimat terutama yang melibatkan kes-kes berkepentingan awam.

“Dalam hal ini, mereka boleh mempersoalkan mengenai tindakan yang telah diambil oleh suruhanjaya dan boleh mencadangkan jenis tindakan yang seharusnya diambil,’’ ujar beliau.

Paling penting, kata Abdullah, lembaga itu akan bertindak meyakinkan orang ramai bahawa kes-kes yang berkepentingan awam ditangani dengan sewajarnya oleh suruhanjaya terbabit.

Selain mempunyai lembaga penasihat, Perdana Menteri menjelaskan, sebuah jawatankuasa Parlimen juga akan ditubuhkan dikenali sebagai Jawatankuasa Parlimen Mencegah Rasuah.

Beliau berkata, Suruhanjaya Anti Rasuah Malaysia bertanggungjawab membentangkan laporan tahunannya kepada jawatankuasa berkenaan.

“Anggota jawatankuasa ini juga ditugaskan untuk menyemak serta mendapatkan penjelasan terhadap segala yang terdapat dalam laporan tersebut,’’ katanya.

Sejajar dengan statusnya sebagai suruhanjaya, agensi membanteras rasuah dengan kuasa baru itu, kata Abdullah, akan mempunyai kebebasan untuk merekrut pegawai dan kakitangan termasuk menawarkan tangga gaji yang lebih menarik.

“Ini merupakan inisiatif kerajaan yang kedua (dalam membanteras rasuah).

“Tujuan kerajaan memberi kebebasan kepada suruhanjaya untuk mempunyai tangga gaji yang lebih menarik dan berbeza bertujuan menarik lebih ramai profesional menyertai agensi itu,’’ katanya.

Perdana Menteri yakin usaha terbaru kerajaan itu bakal meningkatkan taraf BPR pada kedudukan yang lebih baik.

(Utusan Malaysia 22/3/08)

Antara akal dan emosi

0 Komen!!!
'Saya bukan penakut, tidak mahu pecah belahkan parti'

Oleh HATA WAHARI

KUALA LUMPUR 21 April - Datuk Seri Najib Tun Razak (gambar) menegaskan, beliau bukan takut untuk bersuara dalam isu-isu politik, sebaliknya berpegang kepada prinsip penyerahan kuasa secara tersusun serta terhormat demi kepentingan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Timbalan Perdana Menteri berkata, kepentingan UMNO tidak boleh terjejas dan sejarah membuktikan bahawa peralihan kuasa dalam parti itu berlaku dengan tersusun dan baik.

"Ia bukan masalah Mr. Yes Man, tak berani atau takut sebab saya berpegang kepada prinsip bahawa cara yang terbaik ialah penyerahan kuasa secara tersusun dan terhormat.

"Itulah yang akan memberi makna dan menentukan kepentingan parti tidak terjejas dan tidak berpecah-belah," kata Timbalan Presiden UMNO itu.

Najib berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan bekas Presiden UMNO, Tun Dr. Mahathir Mohamad bahawa beliau tidak seharusnya dilantik sebagai Perdana Menteri kerana 'tidak berani' mendedahkan sebab sebenar kekalahan BN di beberapa negeri dalam pilihan raya umum 8 Mac lalu.

Bercakap kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Kontrak dan Surat Hasrat sempena Pameran dan Persidangan Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA 2008) di sini hari ini, Najib berkata, UMNO mempunyai tradisi peralihan kuasa yang lancar.

Menurut beliau, sejarah UMNO memperlihatkan penyerahan kuasa dilakukan dengan tersusun.

"Sudah ada tradisi dan cara baik yang diamalkan dalam parti.

"Pada hemat saya itulah cara terbaik dan kaedah untuk kita melakukan perubahan kepada kepimpinan negara seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri dan Presiden parti," katanya.

Najib percaya peluang perlu diberikan agar peralihan kuasa tersebut berjalan dengan cara yang terhormat memandangkan segala keputusan politik dalam jangka masa terdekat akan memberikan kesan kepada UMNO.

"UMNO dan BN berada dalam keadaan yang lemah selepas pilihan raya umum, ia tidak sekuat dulu dan kita memerlukan masa untuk memulihkan kekuatan UMNO,'' katanya.

Perbalahan dan pergeseran dalaman, ujar Najib, jika berlaku pasti akan membentuk dua atau tiga puak dalam parti yang akan melemahkan UMNO dan BN secara langsung.

Ketika ditanya sama ada UMNO kini dilanda keretakan, beliau menyangkal dakwaan tersebut tetapi tidak menolak kemungkinan ia akan terjadi jika wujud pergeseran kuasa dan kepimpinan.

"Saya tidak kata wujud perpecahan tapi jika ada krisis kepimpinan, ia akan mengulangi (krisis) tahun 1987 dan krisis (Datuk Seri) Anwar Ibrahim. Persoalannya, apakah BN dan UMNO mampu melalui senario seumpama itu lagi?" kata Najib.

(Utusan Malaysia 22/4/08)

Bau najis babi Jerman paling busuk

0 Komen!!!
Terdapat laporan Akhbar tentang ternakan babi ini. Dunia sebenarnya telah akui bahawa ternakan babi ini akan membawa bencana kepada alam sekitar serta menceamarkan bau sebagaimana berlaku di Jerman. Apa agaknya akan terjadi kepada penduduk Sepang sekiranya projek babi kerajaan PKR Selangor dilaksanakan. Walaupun Jerman terkenal sebagai negara maju dan termoden namun hakikatnya babi tetap babi dan baunya tetap busuk. Sila lihat berita ini:-

LONDON: Berjuta-juta penduduk Britain dilaporkan terpaksa menahan bau busuk najis babi dari Jerman yang disifatkan sebagai bau paling busuk bagi kawasan Eropah, lapor akhbar paling popular, The Sun.

Bau berkenaan dari ladang ternak di Jerman merentasi hingga Selat Inggeris dan memenuhi ruang udara di England dari Essex hingga ke seluruh London dan sejauh Swindon di Wiltshire, lapor akhbar itu, Sabtu lalu.

Apa yang paling buruk bau berkenaan dilaporkan akan terus dinikmati penduduk di Britain sehingga semalam malah bau berkenaan juga dapat 'dinikmati' Ratu England yang menghuni di Istana Windsor.

Jurucakap pejabat pelancongan di Windsor, Berkshire berkata: "Ketika saya meninggalkan rumah pagi ini, bau berkenaan amat kuat. Saya berharap Ratu menutup tingkap istananya."

Thames Water berkata: "Penduduk kawasan kami hingga Swindon dan Reading yang jauh, terhidu bau pelik berkenaan.

"Sesetengah mereka mengatakan ia hanyir manakala yang lain menyifatkan ia seperti baja.

Seorang pemandu trak, Jim Forrest, 55 dari Maidstone, Kent berkata bau berkenaan memualkan tekak hingga menyebabkan mata berair.

"Baunya hingga ke kawasan flat kediaman saya.

"Saya sukar bernafas dan ia seperti bau najis dan amat teruk sekali," kata Ann Schlachter dari East London.

The Sun melaporkan, bau itu berpunca daripada penggunaan baja najis babi yang dihasilkan daripada penternakan kira-kira 25 juta khinzir di Jerman.

Penternak babi, Hauke Jaacks, mengakui bahawa beliau menyembur 5,000 gelen baja di kawasan ladangnya di Rissen di barat laut Jerman.

"Maaf kerana bau itu tetapi anda perlu menghadapinya. Saya perlukan rumput untuk ditanam bagi makanan ternakan saya."

Sementara itu pakar meteorologi, John Hammond berkata bahawa bau busuk luar biasa berkenaan disebabkan keadaan cuaca di mana angin membawa bau berkenaan dan menjejaskan seluruh kawasan tenggara England.

Pejabat polis, jabatan perkhidmatan kecemasan dan stesen radio tempatan menerima banyak aduan daripada penduduk yang menuntut pihak berkuasa memberitahu punca bau berkenaan.

Kira-kira 1,000 aduan diterima Perbadanan Penyiaran Britain (BBC).

Agensi akhbar nasional Jerman, DPA, akur negara itu bersalah dengan berkata:

"Punca bau busuk kini diketahui - angin sebelah timur dan babi Jerman - mewujudkan bom busuk." – Agensi

(Berita Harian:22/4/08)

Tawaran Ketua Menteri Pulau Pinang kepada tokoh BN untuk muslihat politik

0 Komen!!!
Tawaran Ketua Menteri Pulau Pinang kepada tokoh-tokoh BN hanyalah bertujuan politik semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kebaikan mereka. Selain untuk memujuk hati orang Melayu untuk menyokong mereka. Hakikatnya di Pulau Pinang dari 15 kerusi majoriti Melayu, Pakatan Pembangkang hanya memenangi 3 kerusi sahaja iaitu di Permatang Pasir, Sungai Bakap dan Batu Maung, selainnya dimenangi oleh UMNO.

Kerajaan Pulau Pinang dikatakan turut menawarkan peranan dalam pentadbiran kerajaan kepada tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Umno negeri itu.

Mereka adalah Adun Sungai Acheh, Dato' Mahmud Zakaria; Adun Seberang Jaya, Dato' Ariff Shah Omar Shah dan Adun Pulau Betong, Muhamad Farid Saad.

Dalam akhbar Berita Harian hari ini (21 April), ketiga-tiga mereka mengesahkan telah ditawarkan tempat sebagai ahli jawatankuasa pentadbiran kerajaan. Mereka bagaimanapun sepakat menolak pelawaan tersebut.

"Biarlah mereka mentadbir dengan cara mereka. Kita beri peluang dan ruang yang cukup kepada mereka," kata Muhammad Farid.

Ketua Pembangkang, Dato' Azhar Ibrahim pula menganggap penyertaan Adun Umno dalam pentadbiran kerajaan negeri dibimbangi akan menyukarkan pihaknya untuk membawa suara rakyat.

"Kita tidak mahu mereka menuding jari kepada kita apabila Umno membangkitkan sesuatu isu hanya kerana ada Adun dari Umno menganggotai jawatankuasa yang dikritik," katanya, sebagaimana disiarkan Berita Harian.

Sebenarnya sikap seperti ini harus diberikan pujian. Inilah sebenarnya bukan pendirian UMNO semata-mata tetapi ianya perlu dilihat sebagai pendirian orang Melayu terhadap DAP. Apabila bekas Timbalan Setiausaha Agung Gerakan, Dato' Lee Kah Choon menerima pelawaan tersebut, sebenarnya ianya bukanlah satu kejutan kerana sikap seperti ini telah ditunjukkan oleh kebanyakan pengundi kaum Cina di Pulau Pinang yang mimlih DAP dan menolak BN.

Kongsi Link Anda