rafie.azimi@utusan.com.my
NILAI 19 Ogos - Kenyataan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa penyokong UMNO tidak akan masuk syurga adalah menyeleweng daripada ajaran Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan, Prof. Datuk Abdul Shukor Husin berkata, ia selaras dengan ketetapan yang dibuat oleh jawatankuasa itu pada tahun 2000 iaitu ketentuan seseorang Islam masuk syurga atau neraka adalah hak mutlak Allah SWT.
Katanya, keputusan mengenainya telah diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja dalam mesyuarat ke-188 pada Mac 2001.
"Justeru, dakwaan mengatakan pengakuan dan sokongan kepada orang, pertubuhan atau parti-parti tertentu diperlukan sebelum seseorang layak ke syurga atau neraka menyalahi ajaran Islam.

Beliau bercakap pada sidang akhbar di Bangunan Canselori, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di sini hari ini.
Abdul Shukor yang juga Naib Canselor USIM menambah, Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa "semulia-mulia manusia di sisi Allah adalah orang yang bertakwa".
Menurutnya, tidak kira warna kulit, bangsa, keturunan atau kepercayaan politik, asalkan individu itu soleh dan bertakwa maka orang itu mendapat kedudukan yang tinggi di sisi Allah SWT.
Ditanya apa yang sepatutnya dilakukan oleh Nik Abdul Aziz setelah mengeluarkan kenyataan sedemikian, beliau percaya, Mursyidul Am Pas itu tahu apa yang perlu dibuat selain memintanya memperbetulkan kenyataan.
"Sebagai orang yang faham agama, saya fikir dia tahu apa yang perlu dilakukan.
"Cuma saya minta dia memperbetulkan kenyataan agar umat Islam tidak terkeliru dengan pandangannya yang dianggap tokoh agama," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihatkan semua ahli politik agar tidak menggunakan agama hanya untuk kepentingan politik masing-masing.
"Tiada salahnya berpolitik. Tetapi apabila tiba kepada isu agama, bersatulah kita kerana Islam perlu diletakkan di tempat tertinggi di dalam kehidupan," katanya.
Sumber Utusan Malaysia