Rabu, Jun 11, 2008

BPR siasat pegawai MB S'gor 4 jam

0 Komen!!!
Baru 3 Bulan berkuasa, pegawai kanan pejabat menteri Besar Selangor telah disiasat untuk penyalahgunaan kuasa, kalau 3 tahun berkuasa agaknya berapa ramai yang akan didakwa.

Badan Pencegah Rasuah (BPR) memanggil pegawai kanan pejabat menteri besar Selangor untuk siasatan dakwaan penyalahgunaan kuasa berhubung kelulusan kontrak dan tender pembersihan serta kutipan sampah yang melibatkan kawasan Petaling Jaya.

Pengarahnya BPR Selangor, Ja'afar Mahad berkata pihaknya mengambil masa kira-kira empat jam untuk mengambil keterangan daripada pegawai kanan terbabit yang tiba di pejabatnya di Shah Alam, pada jam 6 petang semalam.

"Kita sudah ambil keterangan pegawai terbabit hari ini dan hasil siasatan akan diketahui dalam jangka masa terdekat ini," katanya kepada Bernama semalam.

Minggu lepas, sekumpulan empat orang yang mendakwa ahli PKR membuat laporan kepada BPR dengan dakwaan pegawai kanan tersebut menggunakan kepala surat pejabatan menteri besar tanpa keizinan.

Mereka mendakwa mempunyai dokumen yang membuktikan pegawai kanan terbabit terlibat dalam meluluskan kontrak dan tender itu kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Kerajaan negeri pula berhasrat menjalankan siasatan sendiri kerana bimbang BPR lambat dan boleh mencemarkan imejnya.

Selangor menyeru kepada empat pengadu itu agar hadir di depan Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan Kebertanggung- jawaban dan Ketelusan yang diketuai speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Teng Chan Kim bagi menentukan kesahihan dakwaan itu.

Menurut agensi berita itu lagi, BPR Selangor kelmarin mengambil keterangan daripada beberapa pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya dan Alam Flora Sdn Bhd bagi membantu siasatan berhubung perkara itu.

BPR tidak siasat pegawai MB S'gor

Badan Pencegah Rasuah (BPR) belum menyiasat pegawai kanan di pejabat menteri besar Selangor berhubung dakwaan salah guna kuasa dalam pengagihan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di Petaling Jaya.

Pejabat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim hari ini laporan sebuah stesen televisyen swasta semalam yang menyebut badan itu telah ke pejabatnya.

"Laporan tersebut tidak benar sama sekali kerana pihak BPR tidak datang ke pejabat menteri besar Selangor bagi menjalankan siasatan berhubung dakwaan seorang pegawai kanan menyalahgunakan kuasa pengagihan kontrak pembersihan dan kutipan sampah di Petaling Jaya," satu kenyataan pejabat itu dipetik.

Menurutnya, kerajaan Selangor berharap laporan stesen televisyen tersebut diperbetulkan kerana ia boleh memberikan gambaran yang tidak benar.

Malaysiakini semalam difahamkan BPR merampas beberapa dokumen dan menyiasat seorang pegawai Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), dipercayai berhubung pengagihan kontrak kontrak tersebut.

Majlis itu mengesahkan BPR menyiasat seorang pegawainya petang semalam.

"Itu adalah prosedur biasa," kata datuk bandar Datuk Hj Mohamad Roslan Sakiman kepada Malaysiakini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan menjelaskan siasatan tersebut sama ada berkaitan dengan pegawai di pejabat Khalid atau kes berlainan.

Siasatan BPR dijalankan selepas satu laporan dibuat minggu lepas oleh sekumpulan lelaki yang mendakwa anggota PKR kepada badan itu dan polis.

Jumaat lepas, sebuah akhbar menyebut, jurucakap kumpulan berempat itu Remy Iskandar berkata mereka mempunyai "semua dokumen yang boleh menjadi bukti" aduan mereka.

Beliau bersama tiga yang lain (foto) juga dilaporkan berkata pegawai kanan itu dipercayai telah meluluskan kontrak dan tender kepada empat buah syarikat tanpa pengetahuan menteri besar.

Remy juga berkata, mereka meragui kelulusan tersebut kerana ia menggunakan kepala surat pejabat menteri besar tanpa nombor rujukan yang jelas dan pegawai tersebut meminta syarikat-syarikat itu diberikan keutamaan dalam pembahagian kontrak itu.

Sumber: Malaysia Kini

Kongsi Link Anda